Topik diikuti
Pergi ke BHkuKaabah dihiasi kiswah baru sempena bermula tahun Hijrah 1448
Kaabah dihiasi kiswah baru sempena bermula tahun Hijrah 1448
Kiswah dihasil guna 825 kg sutera asli, 400 kg kapas mentah, 60 kg perak, 120 kg perak bersadur emas
Kaabah dihiasi kiswah baru sempena bermula tahun Hijrah 1448
MAKKAH: Umat Islam di seluruh dunia menyambut ketibaan Tahun Baru Islam 1448 Hijrah selepas anak bulan Muharam dilihat di beberapa negara Islam, sekali gus menandakan bermulanya tahun Hijrah baru.
Arab Saudi, Amiriah Arab Bersatu (UAE), Oman, Qatar dan beberapa negara lain mengumumkan 16 Jun sebagai hari pertama Muharam dan permulaan tahun 1448 Hijrah selepas jawatankuasa cerapan anak bulan mengesahkan kenampakan hilal bagi menentukan permulaan bulan Islam.
Bersempena kedatangan tahun baru Hijrah itu, pihak berkuasa Arab Saudi turut melaksanakan upacara tahunan menggantikan kiswah Kaabah, iaitu kain hitam sutera yang menyelubungi Kaabah di Masjidil Haram, Makkah.
Upacara yang dianggap antara acara paling penting di lokasi paling suci umat Islam itu menyaksikan pasukan khas menanggalkan kiswah lama sebelum memasang kiswah baru menjelang hari pertama Muharam.
Penguasa Am bagi Hal Ehwal Masjidil Haram dan Masjid Nabawi Arab Saudi berkata persiapan dimulakan sejak 15 Jun dengan menanggalkan sulaman, hiasan bersalut emas dan tirai pintu Kaabah sebelum kiswah lama diganti sepenuhnya.
“Proses ini merupakan hasil kerja berbulan-bulan di Kompleks Raja Abdulaziz bagi kiswah Kaabah yang melibatkan kepakaran tinggi serta penelitian yang sangat teliti,” menurut media rasmi Arab Saudi.
Menurut Agensi Berita Arab Saudi (SPA ), kiswah baru bagi tahun 1448 Hijrah dihasilkan oleh kira-kira 150 pakar kraf tempatan Arab Saudi di Kompleks Raja Abdulaziz bagi kiswah Kaabah menerusi proses pembuatan sepanjang tahun.
“Setiap peringkat penghasilan menggabungkan teknik moden, kepakaran khusus dan perhatian mendalam terhadap setiap perincian,” menurut laporan itu.
Tradisi menggantikan kiswah dilakukan sekali setahun dan sentiasa menjadi perhatian umat Islam di seluruh dunia kerana melambangkan penghormatan terhadap Kaabah serta kesinambungan warisan Islam sejak sekian lama.
Kiswah baru itu dihasilkan menggunakan 825 kilogram (kg) sutera asli, 400 kg kapas mentah, 60 kg perak serta 120 kg perak bersadur emas yang digunakan untuk menyulam ayat suci Al-Quran dan corak hiasan Islamik.
Penghasilannya melalui tujuh peringkat utama termasuk proses pewarnaan, tenunan, percetakan, sulaman, tenunan tangan dan pemasangan akhir sebelum dipasang pada Kaabah.
Menurut pihak berkuasa Arab Saudi, penggantian kiswah setiap tahun mencerminkan komitmen berterusan negara itu dalam menjaga dua masjid suci umat Islam serta memelihara seni pertukangan Islam yang diwarisi turun-temurun.
Upacara berkenaan berlangsung hanya beberapa hari selepas berakhirnya musim haji 1447 Hijrah yang menyaksikan lebih 1.7 juta anggota jemaah menunaikan ibadah haji, termasuk lebih 1.5 juta anggota jemaah luar negara dari 165 negara.
Menjelang awal pagi 16 Jun, Kaabah selesai diselubungi sepenuhnya dengan kiswah baru sekali gus menandakan bermulanya tahun Hijrah baru dalam satu ritual yang menjadi simbol penghormatan dan kesinambungan rohani umat Islam seluruh dunia.
SPA melaporkan kiswah Kaabah merupakan antara manifestasi seni Islam paling istimewa yang menampilkan keindahan kaligrafi Arab dan ketukangan halus.
Kelambu Kaabah itu dihiasi dengan ayat suci Al-Quran serta ungkapan keimanan menggunakan seni khat Thuluth Jali yang terkenal dengan bentuk hurufnya yang rumit, mengalir dan kaya dengan unsur dekoratif.
Seni khat berkenaan sejak sekian lama menjadi pilihan utama dalam menghiasi kiswah Kaabah dan dianggap antara warisan budaya visual Islam paling halus serta bernilai tinggi.
Bukan sahaja bahagian luar Kaabah dihiasi dengan hasil seni itu, malah bahagian dalam Kaabah turut dilapisi fabrik hijau mewah yang disulam dengan ayat Al-Quran dan doa dalam bentuk kaligrafi Thuluth.
Keadaan itu mewujudkan suasana penuh ketakwaan dan mencerminkan kehebatan seni pertukangan Islam yang diwarisi sejak berabad-abad lamanya.
Tambah laporan berkenaan, kiswah baru menonjolkan gabungan harmoni antara seni Islam tradisional dengan kemahiran moden Arab Saudi, dengan kaligrafi Arab kekal menjadi elemen utama yang melambangkan Al-Quran, bahasa Arab dan warisan tamadun Islam.
Tahun Baru Islam atau Awal Muharam menandakan permulaan kalendar Hijrah yang digunakan umat Islam bagi menentukan pelbagai ibadah dan peristiwa penting keagamaan sepanjang tahun.
Kalendar Hijrah berdasarkan kitaran bulan dan mengandungi 12 bulan.
Oleh sebab jumlah harinya lebih pendek sekitar 11 hari berbanding kalendar Gregorian, tarikh Tahun Baru Islam berubah setiap tahun.
Kalendar Hijrah bermula daripada peristiwa penghijrahan Nabi Muhammad saw bersama para sahabat dari Makkah ke Madinah pada tahun 622 Masihi, yang dikenali sebagai Hijrah.
Peristiwa itu dianggap titik penting dalam sejarah Islam kerana membawa kepada pembentukan masyarakat Islam pertama dan sejak itu dijadikan permulaan kiraan tahun Islam.
Muharam pula mempunyai kedudukan istimewa dalam Islam dan termasuk dalam empat bulan suci yang disebut dalam ajaran Islam.
Sepanjang bulan itu, umat Islam digalakkan memperbanyak ibadah, melakukan muhasabah diri, meningkatkan sedekah dan memperkukuh hubungan sesama masyarakat.
Di beberapa negara Islam Tahun Baru Hijrah turut diisytiharkan sebagai cuti umum bagi membolehkan masyarakat menyambutnya bersama keluarga serta menghadiri aktiviti keagamaan.
Pemimpin agama di pelbagai negara turut menggunakan kesempatan itu untuk menyeru umat Islam agar menjadikan kedatangan tahun baru sebagai ruang memperbaiki diri dan memperkukuh semangat membantu golongan memerlukan.
“Muharam adalah masa untuk muhasabah, memperbaharui keimanan dan memperkukuh tanggungjawab terhadap masyarakat,” menurut beberapa mesej yang dikongsi pemimpin dan institusi Islam sempena sambutan Awal Muharam tahun ini. – Agensi berita.
