Menjelang ketibaan Tahun Baru Cina, lazimnya ada beberapa jiran Cina saya yang datang ke depan rumah – ada bersama anak kecil mereka – dan memberi buah tangan berupa kuih dan kek berserta sepasang buah limau.
Kuih dan kek yang mereka berikan juga ada logo halal, menunjukkan keprihatinan terhadap keperluan pemakanan Muslim.
Walaupun kegiatan itu mungkin kelihatan biasa-biasa pada sesetengah orang, bagi saya ia tetap perkara istimewa.
Tahun ini tidak terkecuali.
Beberapa jiran membawa buah tangan kepada kami sekeluarga.
Sebagai tanda penghargaan, kami juga memberikan mereka cenderahati.
Saya bersyukur kerana mendapat jiran yang agak baik setakat ini.
Menurut apa yang saya ketahui, Tahun Baru Cina ialah perayaan penting bagi masyarakat Cina bagi menyambut tahun baru dalam kalendar masyarakat berkenaan.
Kalendar Cina terbahagi kepada kitaran 12 tahun dengan setiap tahun dinamakan sempena satu nama haiwan.
Tahun Baru Cina kali ini merupakan Tahun Ular.
Menjelang atau semasa Tahun Baru itu, ahli keluarga dan saudara terdekat selalunya akan berkumpul dengan kebanyakan mengadakan makan besar beramai-ramai.
Golongan muda pula akan melawat golongan tua dengan hongbao – sampul merah berisi wang bagi melambangkan nasib yang baik – diberikan mereka yang sudah berkeluarga kepada mereka yang masih belum berkahwin.
Tahun Baru Cina ini bukan sahaja disambut penduduk di negara yang mempunyai majoriti orang Cina, bahkan di negara dengan mereka sebagai minoriti.
Ini termasuk di Amerika Syarikat dan di negara Asean seperti Thailand, Filipina, Indonesia dan Malaysia.
Bagi saya, Tahun Baru Cina juga ialah cuti rehat umum yang amat dialu-alukan dan membolehkan pekerja berehat bersama keluarga.
Sama penting, ia juga membolehkan kita memahami dan menghormati mereka yang menyambut hari istimewa itu, antaranya memberi ucapan seperti ‘Gong Xi Fa Cai’ yang bermakna ‘Tahniah, semoga mendapat lebih banyak kekayaan’.
Lazimnya mereka berasa gembira apabila menerima ucapan tersebut, dan selalunya akan membalas ucapan tersebut kepada si pemberi ucapan.
Dengan Singapura merupakan masyarakat majmuk merangkumi pelbagai bangsa dan masyarakat, ambil peluang ini untuk berinteraksi dengan anggota masyarakat lain, di samping menumpang kebahagiaan mereka menyambut tahun baru itu.
Tiada ruginya kita melemparkan senyuman dan memberi ucapan yang baik kepada mereka, tidak kira jiran dekat, atau mereka yang tinggal di dalam kawasan kejiranan sama.
Lagipun, pemahaman kebudayaan antara kaum akan mewujudkan sikap toleransi dan sikap saling menghormati yang tinggi, sekali gus dapat mengukuhkan perpaduan.
Sebagai satu bangsa Singapura yang walaupun majmuk, kita harus saling berbaik sesama warga seperti lafaz ikrar negara yang sering disebutkan di sekolah, “tidak kira bangsa, bahasa atau agama”.
Ikrar ini sebenarnya penting, dan bukan hanya disebut di bibir pada setiap permulaan waktu sekolah, bahkan harus diamalkan sebagai cara hidup kita sedang kita semakin dewasa.
Kekuatan, keutuhan Singapura terletak kepada perpaduan dalam kalangan warganya yang pelbagai bangsa, bahasa dan agama.
Jika ini gagal dipertahankan, keretakan boleh berlaku yang kemudian berisiko membawa kepada keadaan kucar-kacir yang telah kita saksikan pada sebilangan negara.
Dalam negara seperti ini, isu kecil yang ada kaitan dengan perbezaan kaum, bahasa dan agama kadangkala diperbesar demi mendapat ‘markah politik’ dan meraih sokongan pengundi.
Ini dilakukan walaupun pelakunya sedar ada kesan negatif kepada keharmonian bangsa dan agama.
Perkara ini tidak boleh dibiarkan berlaku di Singapura.
Pihak atau individu yang mahu menangguk di air keruh mesti ditangani secara tegas oleh undang-undang, agar menjadi contoh kepada pihak lain.
Kemakmuran yang dinikmati Singapura tidak boleh diganggu gugat oleh mereka yang mahu menggunakan bangsa, bahasa atau agama untuk meraih sokongan atau mahukan populariti, memandangkan tindakan itu merupakan satu permainan bahaya.
Telah banyak kita saksikan sebilangan kemakmuran negara menjadi kucar-kacir angkara terlalu banyak penekanan kepada perbezaan kaum, bahasa dan agama, serta tidak mempedulikan isu perpaduan dan keharmonian sesama rakyat.
Singapura tidak harus dibiarkan mengambil laluan bahaya ini.
Semua pihak perlu sedar bahawa laluan ekstremisme agama, bangsa dan bahasa akan ditangani secara tegas dan tidak boleh dibiarkan menular ke akar umbi.
Berbalik kepada Tahun Baru Cina ini, kita berharap Singapura akan terus harmoni, makmur dan maju dari segi ekonomi dan sosial yang akan memberi manfaat besar kepada rakyatnya secara berterusan.
Usah kita rosakkan dengan sikap tidak mahu memahami dan menghormati amalan masyarakat lain.
Mari kita jadikan negara Singapura ini tempat kediaman terbaik buat kita semua. Selamat Tahun Baru, Gong Xi Fa Cai.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg