Taikun media HK, Jimmy Lai dijatuhi hukuman penjara 20 tahun dalam kes keselamatan negara
Taikun media HK, Jimmy Lai dijatuhi hukuman penjara 20 tahun dalam kes keselamatan negara
HONG KONG: Taikun media Hong Kong dan tokoh demokrasi paling berprofil tinggi di bandar itu, Jimmy Lai, pada Isnin, 9 Februari dijatuhi hukuman penjara selama 20 tahun dalam kes keselamatan negara yang disifatkan sebagai antara paling penting dan kontroversi sejak undang-undang keselamatan negara dikuatkuasakan oleh Beijing pada 2020.
Pengasas akhbar Apple Daily yang kini telah ditutup itu dijatuhi hukuman di Mahkamah Undang-undang Kowloon Barat, sekali gus menamatkan perbicaraan panjang yang berlarutan lebih dua tahun dan telah menyaksikan lelaki berusia 78 tahun itu menghabiskan lebih lima tahun dalam tahanan.
Prosiding hukuman bermula sekitar jam 10 pagi, disaksikan oleh dewan mahkamah yang penuh dengan wartawan, diplomat asing serta orang awam. Lai mempunyai tempoh 28 hari untuk mengemukakan rayuan terhadap keputusan tersebut.
Pertubuhan pemantau kebebasan media antarabangsa, Jawatankuasa Perlindungan Wartawan (CPJ), mengecam keras hukuman itu. Ketua Pegawai Eksekutifnya, Cik Jodie Ginsberg, berkata keputusan berkenaan menandakan kemerosotan serius kebebasan media di Hong Kong.
“Hukuman ini menandakan berakhirnya kebebasan media di Hong Kong,” katanya dalam satu kenyataan. “Komuniti antarabangsa perlu meningkatkan tekanan bagi membebaskan Jimmy Lai sekiranya kebebasan media mahu terus dihormati di mana-mana sahaja di dunia.”
Lai, yang merupakan pengkritik tegar Parti Komunis China, disabitkan kesalahan pada Disember lalu atas dua pertuduhan konspirasi untuk bersekongkol dengan kuasa asing serta satu pertuduhan berkonspirasi menerbitkan bahan berunsur hasutan. Beliau menafikan semua pertuduhan dan mengaku tidak bersalah sepanjang perbicaraan.
Kes ini menjadikan Lai individu paling berprofil tinggi setakat ini yang disabitkan kesalahan di bawah undang-undang keselamatan negara Hong Kong, yang digubal selepas gelombang protes besar-besaran pada 2019.
Lapan tertuduh lain turut menunggu hukuman pada hari yang sama. Mereka termasuk aktivis Andy Li; pembantu guaman Chan Tsz-wah, serta enam bekas eksekutif kanan Apple Daily, iaitu penerbit Cheung Kim-hung; penerbit bersekutu Chan Pui-man; ketua pengarang Ryan Law; ketua editor eksekutif Lam Man-chung, dan penulis editorial Fung Wai-kong serta Yeung Ching-kee. Kesemua mereka mengaku bersalah atas satu pertuduhan masing-masing berhubung konspirasi dengan kuasa asing
Perbicaraan Lai dan rakan-rakannya menerima kecaman meluas daripada negara Barat, termasuk Amerika Syarikat dan Britain, yang menyifatkannya sebagai bermotifkan politik serta mencerminkan penyusutan kebebasan bersuara dan kebebasan media di Hong Kong.
Presiden Amerika Syarikat Donald Trump mendakwa beliau telah menggesa Presiden China Xi Jinping supaya membebaskan Lai. Perdana Menteri Britain Keir Starmer turut mengesahkan bahawa beliau telah membangkitkan kes Lai secara langsung dalam pertemuan dengan Xi di Beijing pada Januar.
“Saya telah membangkitkan kes Jimmy Lai dan menyeru pembebasannya,” kata Encik Starmer kepada Parlimen Britain selepas lawatan tersebut. “Perbincangan ini akan diteruskan, dan setiausaha luar kami terus berhubung dengan keluarga beliau.”
Parlimen Eropah pula mengancam untuk mengenakan sekatan terhadap Ketua Eksekutif Hong Kong John Lee dan beberapa pegawai kanan lain, dengan menyifatkan kes itu sebagai penindasan terhadap kebebasan serta pelanggaran hak asasi penduduk Hong Kong.
Bagaimanapun, pegawai Beijing dan Hong Kong menolak kritikan tersebut, menyifatkannya sebagai “manipulasi politik yang keji”. Ketua Hakim Hong Kong Andrew Cheung menegaskan bahawa tuntutan pembebasan Lai “menyerang teras kedaulatan undang-undang”, sambil menekankan bahawa perbicaraan itu dijalankan secara adil.
Dalam rayuan meringankan hukuman, peguam Lai, Encik Robert Pang, memohon belas ihsan mahkamah atas faktor usia lanjut dan tahap kesihatan anak guamnya yang semakin merosot. Antara penyakit yang dihidapi Lai ialah tekanan darah tinggi, diabetes, katarak, gangguan pembuluh darah mata serta masalah degupan jantung.
“Setiap hari beliau berada di penjara akan membawa beliau semakin hampir ke penghujung hayatnya,” kata Encik Pang kepada mahkamah.
Lai telah ditahan hampir tanpa henti sejak Disember 2020. Perbicaraan bermula pada 18 Disember 2023 dan berlangsung selama 156 hari, hampir dua kali ganda daripada tempoh yang dijadualkan.
Di luar mahkamah, puluhan penyokong berkumpul sejak beberapa hari sebelum hukuman dijatuhkan. Encik Simon Ng, 65 tahun, antara mereka yang beratur dengan beg tidur dan khemah, berkata kebimbangannya tertumpu kepada kesihatan Lai. “Saya paling risau tentang kesihatannya. Saya harap dia dan keluarganya dapat menemui ketenangan,” katanya.
Beijing pula menegaskan bahawa undang-undang keselamatan negara telah “memulihkan ketenteraman” di Hong Kong dan semua tertuduh, termasuk Lai, dilayan sama rata di bawah undang-undang. Namun bagi pengkritik, hukuman 20 tahun ke atas tokoh media terkemuka itu dilihat sebagai simbol penamatan era kebebasan media yang pernah menjadi identiti utama Hong Kong.- Agensi berita

