Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Taiwan siap siaga hadapi Taufan Krathon

Oct 3, 2024 | 12:49 PM
Taiwan kini mengambil langkah berjaga-jaga bagi menghadapi Taufan Krathon yang bakal melanda sepenuhnya dan setakat ini telah mengorbankan dua jiwa.
Taiwan kini mengambil langkah berjaga-jaga bagi menghadapi Taufan Krathon yang bakal melanda sepenuhnya dan setakat ini telah mengorbankan dua jiwa. - Foto REUTERS

KAOHSIUNG: Taiwan pada 3 Oktober bersiap sedia untuk menghadapi ketibaan Taufan Krathon yang telah mengorbankan dua orang setakat ini, apabila pulau itu ditutup untuk hari kedua dengan ratusan penerbangan dibatalkan.

Pihak berkuasa pulau itu juga telah menutup pasaran kewangannya meskipun taufan tersebut semakin melemah apabila tiba kelak.

Taufan Krathon diramal melanda sekitar tengah hari di bandar pelabuhan utama di barat daya Kaohsiung.

Meskipun taufan tersebut dikategorikan sebagai taufan peringkat kedua yang jauh lebih lemah, namun pihak pemerintah memberi amaran tentang hujan lebat dan ribut yang bakal membadai sepanjang pantai.

Sejurus selepas matahari terbit, penduduk di Kaohsiung, sebuah bandar dengan kira-kira 2.7 juta penduduk, menerima amaran menerusi khidmat pesanan ringkas yang memberitahu mereka supaya mencari perlindungan di tempat lebih selamat daripada ribut yang bertiup lebih 160 kilometer sejam.

Jabatan bomba melaporkan dua kematian ketika taufan yang semakin hampir itu membawa hujan lebat di seluruh pulau.

Kedua-dua mereka dilaporkan maut di kawasan pergunungan dan pantai timur yang kurang didiami.

Salah seorang daripada mereka maut setelah terjatuh ketika memotong pokok dan seorang lagi maut apabila kenderaannya terkena batu yang menggelongsor dari dataran tinggi.

Ribut taufan itu diramalkan akan bergerak perlahan-lahan ke dataran barat Taiwan dan semakin lemah menjelang lewat 11 Oktober.

Taufan sering melanda pantai timur Taiwan yang menghadap ke Pasifik, tetapi Taufan Krathon agak luar biasa kerana ia akan terus melanda pantai barat.

Pihak berkuasa Kaohsiung sangat berhati-hati dalam persiapannya memandangkan kali terakhir ia dilanda ribut seperti itu ialah Taufan Thelma pada 1977 yang membunuh 37 orang.

Taufan tersebut juga turut menyebabkan kemusnahan besar di bandar itu. – Reuters.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg