BEIJING: Taufan ‘Bebinca’ mendarat di Shanghai pada pagi 16 September sebagai ribut Kategori 1, taufan tropika paling kuat yang pernah melanda hab kewangan China itu secara langsung dalam lebih 70 tahun.
Dengan kelajuan angin paling kencang 151 kilometer sejam (km/j) berhampiran matanya, ‘Bebinca’ mendarat di bandar dengan hampir 25 juta penduduk itu sekitar 7.30 pagi, lapor media pemerintah.
Ia ribut paling kuat melanda Shanghai sejak taufan ‘Gloria’ pada 1949.
Shanghai jarang terus dibadai taufan kuat, yang biasanya mendarat lebih jauh ke selatan di China.
Taufan ‘Yagi’, ribut Kategori 4 yang menyebabkan kerosakan, melanda wilayah Hainan selatan pada 6 September.
Ratusan penerbangan dibatalkan dari dua lapangan terbang di bandar itu sejak malam 15 September.
Stesen kereta api Shanghai telah menggantung beberapa perkhidmatan kereta api.
Gangguan itu berlaku semasa China meraikan cuti umum Pesta Pertengahan Musim Luruh selama tiga hari.
Pusat peranginan di Shanghai, termasuk Shanghai Disney Resort, Jinjiang Amusement Park dan Shanghai Wild Animal Park, ditutup buat sementara waktu dan banyak feri dihentikan.
Kementerian Pengurusan Kecemasan Beijing berkata dalam satu kenyataan pada 14 September bahawa ribut itu akan menyebabkan hujan “lebat hingga sangat lebat”, dengan “ribut hujan lebat atau sangat lebat di tempat tertentu” antara 15 dengan 17 September.
Para pegawai mengadakan mesyuarat pada 14 September untuk “menyelidik dan mengerahkan kerja kawalan banjir dan taufan di kawasan-kawasan utama”, katanya.
Ribut terkuat yang mendarat di Shanghai dalam beberapa dekad kebelakangan ini ialah ‘Gloria’ pada 1949, yang melanda bandar itu dengan tiupan angin selaju 144 km/j.
Kali terakhir Shanghai diancam oleh serangan langsung ialah pada 2022, oleh taufan ‘Muifa’, yang amat kuat.
Namun, ia sebaliknya mendarat di bandar Zhoushan, di wilayah Zhejiang, 300 kilometer dari Shanghai. – Reuters, AFP.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg