Takaichi usaha raih mandat rakyat, dapat sokongan Trump jelang pilihan raya Jepun
Takaichi usaha raih mandat rakyat, dapat sokongan Trump jelang pilihan raya Jepun
TOKYO: Perdana Menteri wanita pertama Jepun, Cik Sanae Takaichi, berusaha mengukuhkan kedudukannya melalui pilihan raya nasional pada 8 Februari, dengan tinjauan pendapat menunjukkan kemenangan besar untuk parti konservatif pimpinannya.
Pilihan raya kilat itu berlangsung ketika beliau menerima sokongan terbuka Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, di tengah-tengah kebimbangan pasaran terhadap dasar fiskal dan ketegangan geopolitik serantau.
Encik Trump menyatakan sokongannya dalam satu hantaran di Truth Social pada 5 Februari, menyifatkan Cik Takaichi sebagai “pemimpin yang kuat, berkuasa dan bijaksana, yang benar-benar mencintai negaranya dan tidak akan mengecewakan rakyat Jepun”.
Cik Takaichi, 64 tahun, dilantik sebagai perdana menteri pada Oktober 2025, selepas memenangi perebutan kepimpinan parti dan memperoleh sokongan mencukupi di Parlimen.
Namun, beliau mengumumkan pilihan raya awal Januari lalu bagi mendapatkan mandat rakyat secara langsung.
Hubungan rapat Cik Takaichi dengan Encik Trump dipamerkan seawal minggu pertamanya memegang jawatan, apabila Tokyo memberikan sambutan penuh protokol kepada presiden Amerika itu di Istana Akasaka, rumah tamu rasmi kerajaan.
Lawatan itu menjadi penampilan diplomatik sulung Cik Takaichi, dengan imej simbolik termasuk beliau berada di atas kapal pengangkut pesawat, USS George Washington, yang disiarkan ke seluruh dunia, ketika Encik Trump memuji kepimpinannya di hadapan ribuan anggota tentera Amerika.
Pemerhati melihat pendekatan itu sebagai usaha Cik Takaichi menonjolkan dirinya sebagai rakan yang serasi dengan Encik Trump, baik dari sudut peribadi mahupun strategik.
Kedua-dua pemimpin berkongsi pandangan mengenai pertahanan, dengan Encik Trump mendesak Tokyo meningkatkan perbelanjaan keselamatan, satu pendirian yang turut disokong Cik Takaichi ketika sentimen awam di Jepun semakin cenderung kepada pengukuhan ketenteraan.
Semasa lawatan itu, kedua-dua pihak menandatangani perjanjian berkaitan unsur nadir bumi dan mengisytiharkan permulaan ‘era emas’ hubungan Amerika Syarikat-Jepun.
Cik Takaichi menyifatkan Encik Trump sebagai “rakan kongsi dalam era baru” dan memuji peranannya dalam usaha membawa keamanan ke Asia Barat.
“Dalam lawatan saya ke Jepun, saya dan wakil-wakil saya sangat terkesan dengan kepimpinannya,” tulis Encik Trump, sambil menyatakan kemajuan dicapai dalam kerjasama keselamatan dan ekonomi.
Encik Trump mengumumkan akan menerima kunjungan Cik Takaichi ke Rumah Putih pada 19 Mac.
Di peringkat domestik, tinjauan menunjukkan Parti Demokratik Liberal (LDP) pimpinan Cik Takaichi bersama rakan gabungannya, Parti Inovasi Jepun (Ishin), berpotensi meraih sekitar 300 daripada 465 kerusi Dewan Rendah, peningkatan besar berbanding majoriti tipis yang dipegang kini.
Jika gabungan itu mencapai 261 kerusi, ia akan menikmati ‘majoriti stabil mutlak’ yang membolehkan kawalan jawatankuasa Parlimen dan memudahkan kelulusan rang undang-undang termasuk belanjawan utama.
Majoriti dua pertiga, iaitu 310 kerusi, pula akan membolehkan kerajaan mengatasi tentangan Dewan Tinggi.
Cik Takaichi menegaskan beliau akan berundur jika gabungannya gagal mengekalkan majoriti Dewan Rendah.
Namun, kempen Cik Takaichi tidak terlepas daripada kontroversi ekonomi.
Janji beliau membantu isi rumah menghadapi kenaikan harga dengan menggantung cukai jualan 8 peratus ke atas makanan, mencetuskan jualan besar-besaran pasaran pada Januari.
Pelabur bimbang bagaimana ekonomi dengan beban hutang tertinggi dalam kalangan negara maju akan menampung kehilangan hasil tahunan dianggarkan sekitar 5 trilion yen (S$40.6 bilion).
Pengamat pasaran kini meneliti dengan rapi penjelasan Cik Takaichi mengenai pelaksanaan dasar itu.
Laporan agensi berita, Reuters, menyatakan Bank Pusat Japan mungkin tidak akan campur tangan untuk menenangkan pasaran jika berlaku kegawatan baharu, meningkatkan tekanan ke atas yen dan bon kerajaan.
Sokongan terhadap Cik Takaichi paling kukuh dalam kalangan pengundi muda, berbeza dengan asas tradisi LDP yang lazimnya tertumpu kepada pengundi warga emas.
Latar belakangnya yang sederhana serta retorik nasionalis dilihat lebih dekat dengan sentimen generasi muda yang berasa terpinggir, oleh kemerosotan ekonomi yang berlarutan selama beberapa dekad.
Seorang pengundi muda di Tokyo berkata: “Kami mahukan pemimpin yang berani membuat keputusan dan mengubah keadaan, bukan sekadar mengekalkan status quo.”
Cik Takaichi, yang sering dibandingkan dengan mantan Perdana Menteri Britain, Cik Margaret Thatcher, memanfaatkan media sosial dan secara tidak dijangka muncul sebagai ikon gaya, dengan peminat berlumba-lumba membeli beg tangan dan pen berwarna merah jambu yang sering digunakannya.
Namun, persoalan utama adalah sama ada golongan belia akan keluar mengundi.
Pada pilihan raya Oktober 2025, hanya 36 peratus pengundi berusia 21 hingga 24 tahun di Tokyo mengundi, berbanding 71 peratus dalam kalangan mereka yang berusia 70 hingga 74 tahun.
Kemenangan besar berpotensi mengukuhkan kedudukan Cik Takaichi dalam pertikaian yang semakin memuncak dengan China.
Beberapa minggu selepas memegang jawatan, beliau mencetuskan ketegangan terbesar dalam lebih sedekad dengan menggariskan secara terbuka tindak balas Tokyo sekiranya China menyerang Taiwan.
Beijing mengecam rancangan pengukuhan ketenteraan Jepun sebagai usaha menghidupkan semula masa lalu ketenteraan negara itu.
Dalam masa yang sama, parti sayap kanan Sanseito yang menampilkan rekod 190 calon dijangka mencatat peningkatan kerusi, mencerminkan peralihan wacana politik Jepun ke arah kanan, satu trend yang turut berlaku di negara maju lain.
Faktor cuaca turut berpotensi mempengaruhi peratusan keluar mengundi.
Pilihan raya kali ini yang diadakan pada pertengahan musim sejuk, pertama sejak 1990, menyaksikan beberapa wilayah dilanda salji tebal, dengan kemungkinan salji jarang turun di Tokyo yang boleh mengganggu perjalanan.
Secara keseluruhan, kadar keluar mengundi Jepun sekitar 55 peratus lebih rendah berbanding kebanyakan demokrasi maju.
Walaupun tinjauan meramalkan kemenangan besar untuk Cik Takaichi, pilihan raya 8 Februari itu hanyalah langkah awal.
Kepimpinannya selepas itu akan dinilai berdasarkan keupayaannya menangani ekonomi yang mendatar, mengurus hubungan halus dengan Amerika sebagai sekutu keselamatan terpenting, serta menyeimbangkan persaingan strategik dengan China rakan dagang terbesar Jepun. – Agensi berita.

