Subuh
5:37
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Dunia
28
0

Taleban gantung akses pelajar wanita Afghanistan ke universiti

Tindakan undang kecaman hebat Amerika, Britain dan PBB
Dec 22, 2022 | 05:30 AM



KABUL (Afghanistan): Kementerian Pendidikan Tinggi Afghanistan, yang ditadbir oleh Taleban, semalam menggantung akses pelajar wanita ke universiti sehingga satu tempoh yang akan dimaklumkan kelak.



Tindakan itu mengundang kecaman hebat daripada Amerika Syarikat, Britain dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).



Sepucuk surat yang disahkan oleh jurucakap Kementerian Pengajian Tinggi mengarahkan universiti awam dan swasta di Afghanistan menggantung akses kepada pelajar wanita dengan serta-merta berdasarkan keputusan Kabinet.



"Anda semua dimaklumkan untuk melaksanakan perintah menggantung pendidikan bagi wanita sehingga dimaklumkan kelak," menurut surat yang ditandatangani Menteri Pendidikan Tinggi Afghanistan, Encik Neda Mohammad Nadeem.



Pengumuman yang dibuat oleh pentadbiran Taleban, yang belum diiktiraf di peringkat antarabangsa itu, diumumkan ketika Majlis Keselamatan PBB bertemu di New York bagi membincangkan mengenai Afghanistan.



Kerajaan asing, termasuk Amerika, berkata perubahan dalam dasar mengenai pendidikan wanita diperlukan sebelum ia boleh mempertimbangkan secara rasmi untuk mengiktiraf pentadbiran Taleban yang juga tertakluk kepada sekatan berat.



Timbalan Duta Besar Amerika, Encik Robert Wood, berkata Taleban tidak boleh berharap menjadi ahli yang sah dalam masyarakat antarabangsa sehingga mereka menghormati hak semua warga Afghanistan, terutama hak asasi manusia dan kebebasan asasi wanita serta kanak-kanak perempuan.



Malah, beliau menyifatkan langkah yang diambil itu 'benar-benar tidak dapat dipertahankan'.



Di Washington, jurucakap Jabatan Negara, Encik Ned Price, berkata Amerika akan melihat apa lagi yang boleh dilakukan supaya Taleban dipertanggungjawabkan.



Duta Besar Britain di PBB, Cik Barbara Woodward, berkata penggantungan itu adalah satu lagi tindakan teruk menyekat hak dan kekecewaan yang besar serta mendalam bagi setiap pelajar wanita.



Pada Mac lalu, Taleban menerima kritikan daripada banyak kerajaan asing dan beberapa warga Afghanistan kerana membuat pusingan-U berhubung pembukaan sekolah menengah wanita.



Jurucakap PBB, Cik Stephane Dujarric, berkata tindakan itu adalah 'jelas satu lagi janji yang dimungkiri oleh Taleban'.



"Ini adalah langkah yang sangat membimbangkan dan sukar untuk bayangkan bagaimana sebuah negara boleh membangun dan menangani semua cabaran yang dihadapinya, tanpa penyertaan aktif dan pendidikan wanita," katanya.



Utusan khas PBB Afghanistan, Cik Roza Otunbayeva, berkata dalam satu kenyataan bahawa keputusan itu 'menghancurkan'.



Lewat bulan lalu, pakar PBB berpendapat layanan Taleban terhadap wanita dan gadis Afghanistan, termasuk pengecualian mereka dari taman dan gim serta sekolah dan universiti, mungkin menyamai jenayah terhadap kemanusiaan.



Penilaian oleh Pelapor Khas PBB mengenai Afghanistan, Encik Richard Bennett, dan sembilan pakar PBB yang lain berkata layanan terhadap wanita dan kanak-kanak perempuan mungkin sama dengan 'penganiayaan jantina' di bawah Statut Rom yang mana Afghanistan adalah sebahagian anggotanya.



"Mengurung wanita dalam rumah mereka adalah sama dengan pemenjaraan," kata pakar dalam satu kenyataan, sambil menambah bahawa ia berkemungkinan membawa kepada peningkatan tahap keganasan rumah tangga dan masalah kesihatan mental.



Pakar itu juga menyebut sebagai contoh penahanan awal bulan ini terhadap aktivis wanita, Cik Zarifa Yaqobi, dan empat rakan sekerja lelaki, di mana mereka kekal dalam tahanan.



Pihak Taleban enggan mengulas lanjut mengenai penilaian pakar PBB itu.



Pada Ogos 2021, penguasa Taleban mengambil alih daripada pemerintah yang disokong Barat dan berjanji akan menghormati hak wanita mengikut tafsiran mereka terhadap undang-undang Islam. - Reuters.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >