Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Taman Negara Indonesia perkenal alat kesan jejak pendaki

Jul 8, 2025 | 1:28 PM
Pihak berkuasa di Taman Negara Bromo Tengger Semeru (TNBTS) di Jawa Timur, Indonesia, telah mula mewajibkan semua pendaki Gunung Semeru memakai kad pengesan atau gelang tangan berasaskan Pengenalan Frekuensi Radio (RFID) sebagai langkah meningkatkan keselamatan. 
Pihak berkuasa di Taman Negara Bromo Tengger Semeru (TNBTS) di Jawa Timur, Indonesia, telah mula mewajibkan semua pendaki Gunung Semeru memakai kad pengesan atau gelang tangan berasaskan Pengenalan Frekuensi Radio (RFID) sebagai langkah meningkatkan keselamatan.  - Foto fail

MALANG (Indonesia): Pihak berkuasa di Taman Negara Bromo Tengger Semeru (TNBTS) di Jawa Timur telah mula mewajibkan semua pendaki Gunung Semeru memakai kad pengesan atau gelang tangan berasaskan Pengenalan Frekuensi Radio (RFID) sebagai langkah meningkatkan keselamatan dan pemantauan.

Peraturan baru itu berkuat kuasa mulai Jun 2025.

Langkah itu dibuat beberapa minggu selepas pendaki dari Brazil, Cik Juliana Marins, dilaporkan meninggal dunia di Gunung Rinjani di Nusa Tenggara Barat.

Cik Marins dilaporkan jatuh kira-kira 600 meter dari lokasi terakhirnya pada 21 Jun, dan mayatnya ditemui pada 24 Jun selepas cuaca buruk menghalang usaha mencari dan menyelamat termasuk dengan menggunakan helikopter.

“Keadaan cuaca dan rupa bumi di Semeru berisiko. Pengunjung boleh tersesat, jatuh atau hilang, dan pemindahan boleh mengambil masa yang lama kerana kesukaran untuk mengesan mereka,” kata Pegawai Perhubungan Awam TNBTS, Encik Endrip Wahyutama, pada 4 Julai.

Kad RFID dan gelang tangan dilengkapi dengan cip kecil dan antena yang menghantar isyarat kepada penerima yang diletakkan di beberapa titik di sepanjang laluan mendaki.

Data daripada cip, termasuk identiti pengguna dan lokasi terakhir yang diketahui, boleh diakses oleh pegawai taman dalam masa nyata bagi membantu dalam operasi mencari jika diperlukan.

Pada masa ini, sistem itu dalam fasa percubaan, dengan pengimbas RFID dipasang hanya di pusat pangkalan Ranupani dan Ranu Kumbolo.

“Kami berharap pada masa depan setiap pusat pangkalan akan mempunyai pengimbas ini untuk memudahkan pemantauan para pendaki,” tambah Encik Endrip.

Untuk mendaki Gunung Semeru, pengunjung mesti menyediakan dokumen seperti kad pengenalan dan kad pendaftaran keluarga.

Pendaki mesti mendaftar di pusat pangkalan Ranupani antara 8 pagi dengan 2 petang sebelum memulakan pendakian mereka pada 3 petang.

Daftar keluar dan pemeriksaan daftar diri disediakan dari 8 pagi hingga 4 petang.

Pendaki mesti turun selepas 4 petang dan melaporkan diri untuk mengelak daripada dianggap melebihi masa yang ditetapkan.

Kuota mendaki Semeru dibuka 30 hari lebih awal pada 8 pagi, dengan had harian 200 pendaki. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg