Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Tambang feri Batam-S’pura turun 30,000 rupiah selepas aduan penumpang

Sep 26, 2024 | 11:00 AM
Ramai pengunjung beratur menaiki feri dan ramai dalam kalangan penumpang berasa harga tambang feri Batam-Singapura kini lebih mahal.
Ramai pengunjung beratur menaiki feri dan ramai dalam kalangan penumpang berasa harga tambang feri Batam-Singapura kini lebih mahal. - Foto INSTAGRAM KEPRI

BATAM: Pentadbir Wilayah Riau dan pengendali feri Batam-Singapura telah bersetuju menurunkan harga tiket feri sebanyak 30,000 rupiah ($2.54) bagi perjalanan pergi balik.

Keputusan itu diumumkan oleh Ketua Perhubungan Kepulauan Riau, Encik Junaidi, selepas pertemuan antara pihak penguasa Wilayah Riau dan pengendali feri pada 22 dan 23 September.

“Harga tiket perjalanan pergi balik diturunkan sebanyak 30,000 rupiah bermula hari ini,” ujar Encik Junaidi pada 24 September seperti yang dilaporkan oleh Tempo.co.

Pengurangan itu katanya adalah langkah awal dalam usaha lebih besar untuk menilai harga tiket feri Batam-Singapura.

Menurut Encik Junaidi, penurunan harga tiket itu berdasarkan pengiraan daripada pihak pengendali.

Ini katanya hanyalah fasa pertama dalam proses penilaian yang lebih menyeluruh untuk menentukan harga yang sesuai.

“Seperti yang disebutkan oleh Gabenor (Kepulauan Riau atau Kepri, Encik) Ansar Ahmad, satu tinjauan akan dijalankan bagi mengenal pasti punca kenaikan harga tiket yang tinggi.

“Ini akan membantu kami menentukan harga tiket yang lebih sesuai,” tambah Encik Junaidi.

Semasa pertemuan tersebut, pengendali feri menjelaskan bahawa beberapa faktor menyumbang kepada kenaikan harga tambang.

Ini termasuk kadar tukaran mata wang yang meningkat, kenaikan kos bahan bakar, sewa kaunter yang lebih tinggi serta gaji kru yang meningkat.

Encik Junaidi mengakui faktor itu tetapi menegaskan perlunya tinjauan menyeluruh untuk membuktikan dakwaan tersebut.

Encik Junaidi juga menyuarakan kebimbangan mengenai peraturan visa ketibaan (VoA) untuk pelancong asing yang masih belum dimuktamadkan.

Beliau menekankan bahawa fleksibiliti peraturan itu akan memberikan kesan besar kepada jumlah penumpang feri.

“Ketidakpastian mengenai peraturan visa ini boleh menghalang lebih ramai pelancong daripada menggunakan feri untuk ke Batam,” katanya.

Terdahulu Encik Ansar telah merancang membentuk pasukan penyiasat bagi menyiasat lonjakan harga tiket feri Batam-Singapura.

Menurutnya, sejak pandemik Covid-19, harga tiket perjalanan pergi balik telah meningkat daripada sekitar 480,000 rupiah kepada 760,000 rupiah sekali gus menyebabkan ramai pelancong mengeluh.

“Ramai pihak telah mengeluh mengenai kenaikan harga ini,” ujar Encik Ansar dalam satu kenyataan akhbar pada 22 September.

Beliau percaya dengan menurunkan harga tiket, kadar penumpang feri akan meningkat, sekali gus menarik lebih ramai pelancong asing ke Kepulauan Riau.

Lonjakan harga tiket feri Batam-Singapura telah mencetuskan siasatan oleh Suruhanjaya Pengawas Persaingan Usaha (KPPU) Indonesia pada 2022, susulan aduan penumpang.

KPPU mendapati pengendali feri mengenakan caj antara 800,000 rupiah dengan 900,000 rupiah untuk tiket pergi balik dari Januari hingga Jun 2022.

Ia dua kali ganda lebih tinggi daripada harga biasa yang berada antara 270,000 rupiah dengan 450,000 rupiah.

Satu tinjauan oleh Berita Harian menunjukkan bahawa harga tiket feri pergi balik dari Singapura ke Batam telah meningkat daripada $34 ke $60 pada 2021; dan antara $56 dengan $76 pada 2024.

Kenaikan harga itu mencetuskan pelbagai spekulasi tentang kemungkinan terdapat pakatan harga antara pengendali feri, yang kini sedang disiasat oleh pihak berkuasa.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg