Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Tanah jerlus Masjid India: Anwar jamin operasi cari wanita diteruskan

Aug 25, 2024 | 6:59 PM
Seorang wanita terjatuh ke dalam lubang sedalam lapan meter akibat tanah jerlus di Jalan Masjid India, Kuala Lumpur pada 23 Ogos.
Seorang wanita terjatuh ke dalam lubang sedalam lapan meter akibat tanah jerlus di Jalan Masjid India, Kuala Lumpur pada 23 Ogos. - Foto EPA-EFE

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim, memberi jaminan operasi mencari dan menyelamat wanita warga India yang terjatuh ke dalam tanah jerlus di Jalan Masjid India, akan diteruskan.

Datuk Anwar yang menzahirkan rasa simpati terhadap kejadian yang menimpa seorang wanita dikenali sebagai Cik Vijayaletchumy berusia 48 tahun itu berkata, beliau telah meminta Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk menemui keluarga mangsa.

“Saya sudah minta DBKL jumpa keluarga (mangsa) dan kita lahirkan simpati (dengan kejadian) dan kerja (mencari dan menyelamat) harus diteruskan.

“Ada masalah dengan tanah itu, kita kena selesaikan,” katanya kepada pemberita pada 25 Ogos.

Dalam insiden 8.22 pagi pada 23 Ogos, mangsa sedang berjalan di hadapan Malayan Mansion, Jalan Masjid India, sebelum tiba-tiba terjatuh ke dalam lubang sedalam lapan meter akibat tanah jerlus.

Sehingga lewat petang 25 Ogos, mangsa yang ‘ditelan’ tanah benam itu masih belum ditemui, namun saudara-mara yang menanti di kawasan itu masih menaruh harapan beliau masih boleh diselamatkan.

Difahamkan mangsa dan keluarganya dijadualkan pulang ke India pada 26 Ogos, selepas dua bulan melancong di Malaysia.

Operasi mencari dan menyelamat telah diperluaskan termasuk di enam lurang kumbahan (manhole) berhampiran lokasi tanah jerlus di mana Cik Vijayaletchumy terjatuh.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Penolong Pesuruhjaya Sulizmie Sulaiman, berkata enam lurang kumbahan itu termasuk di persimpangan Jalan Melayu dan Dataran Merdeka.

Dalam pada itu, anggota bomba Kuala Lumpur yang terlibat dalam operasi pencarian mangsa itu tetap tenang menjalankan tugas.

Seorang pegawai operasi bomba, Encik Alimaddia Bukri berkata rasa tanggungjawab pasukannya mengatasi apa jua perasaan takut yang dirasai ketika menjalankan tugas itu.

“Masa turun ke bawah lubang... memang takut, tapi ini memang tugas anggota bomba, kena lawan perasaan takut dan berserah kepada-Nya.

“Kami terpaksa membuat selaman di dalam air kumbahan, arus deras dengan penglihatan terhad, serta akses kecil menyukarkan pergerakan dan pencarian mangsa,” ujar beliau.

Hujan turut menjadikan keadaan berisiko terhadap pasukan penyelamat dalam operasi itu, tambah Encik Alimaddia.

“Kami akan buat apa sahaja, sedaya upaya kepada sesiapa sahaja yang berada dalam kesusahan atau malapetaka, setiap kami mempunyai jiwa penyelamat yang sangat tinggi.

“Kepada keluarga mangsa, usah khuatir... kami akan cari mangsa seperti kami mencari dan menyelamat keluarga kami yang berada dalam kesusahan,” katanya.

Beliau turut berkongsi video berdurasi 57 saat memaparkan keadaan sebenar operasi tersebut yang dihadapi Unit Skuba Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg