Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Tarif AS: Trump akhirnya mengalah selepas pasaran kewangan bergolak

 Krisis bon pemerintah paksa Trump ubah pendirian
Apr 10, 2025 | 12:24 PM
Para pekerja di kawasan ladang di selatan Bakersfield, daerah Kern, kawasan utama pertanian di California, pada 9 April. Ketika dasar tarif besar-besaran Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, mula berkuat kuasa, para petani Amerika yang sebelum ini mengharapkan keuntungan bagi musim ini kini berdepan dengan harga hasil tanaman yang semakin rendah – serta kemungkinan kehilangan lebih banyak pasaran luar negara.
Para pekerja di kawasan ladang di selatan Bakersfield, daerah Kern, kawasan utama pertanian di California, pada 9 April. Ketika dasar tarif besar-besaran Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, mula berkuat kuasa, para petani Amerika yang sebelum ini mengharapkan keuntungan bagi musim ini kini berdepan dengan harga hasil tanaman yang semakin rendah – serta kemungkinan kehilangan lebih banyak pasaran luar negara. - Foto AFP

WASHINGTON: Selepas seminggu mempertahankan dasar tarif besar-besaran yang mencetuskan krisis kewangan sejagat, Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, akhirnya mengalah berikutan tekanan pasaran.

Pada petang 9 April, Encik Trump mengumumkan penangguhan selama 90 hari bagi kebanyakan tarif yang dikenakan terhadap negara-negara di seluruh dunia.

Ia tindakan dramatik selepas pasaran saham Amerika dan sejagat merosot teruk dalam beberapa hari.

Sebelum ini, Encik Trump dilihat begitu tegas mempertahankan langkahnya itu.

Dalam pertemuan dengan ahli Republikan pada 8 April, dengan penuh keyakinan, beliau berkata: “Saya tahu apa yang saya lakukan.”

Beliau merujuk kepada tarif besar-besaran yang beliau kenakan hingga menyebabkan kekacauan pasaran dunia.

Lebih mengejutkan, pada pagi 9 April, Encik Trump menyeru rakyat Amerika agar bertenang dan tidak panik dengan keadaan pasaran.

Dalam satu hantaran di platform Truth Social, beliau menulis, “Be Cool! Segala-galanya akan berjalan lancar”.

Malah, pada 9.37 pagi waktu Washington, beliau masih yakin dan memuat naik hantaran yang berbunyi, “Ini masa terbaik untuk membeliI!!!”

Namun, realiti pasaran memaksa Encik Trump mengubah pendiriannya.

Menurut sumber rapat di Rumah Putih, lonjakan mendadak hasil bon pemerintah Amerika, satu petanda bahawa pelabur kehilangan keyakinan terhadap kestabilan kewangan negara telah mendorong Encik Trump agar bertindak.

Pasaran saham Amerika merudum, nilai trilion dolar lenyap dalam masa beberapa hari.

Mata wang dolar Amerika juga melemah, manakala pasaran bon pemerintah mengalami kejatuhan harga yang ketara.

Menurut laporan, Setiausaha Perbendaharaan Amerika, Encik Scott Bessent, memainkan peranan besar dalam meyakinkan Encik Trump supaya mengurangkan tekanan pasaran dengan menangguhkan tarif itu.

Bersama Naib Presiden, Encik J.D. Vance, dan beberapa pegawai kanan lain, Encik Bessent memberi amaran kepada Encik Trump bahawa keadaan pasaran kewangan mungkin menjadi lebih buruk dan boleh menyebabkan krisis ekonomi besar-besaran.

“Kami bimbang krisis ini boleh menjadi lebih parah dan menghancurkan ekonomi,” kata salah seorang pegawai kanan Rumah Putih yang enggan namanya didedahkan.

Mereka menasihatkan Encik Trump supaya memberi tumpuan kepada rundingan perdagangan dengan negara luar dan pada masa yang sama, memperlihatkan ketegasan terhadap China.

Dalam pertemuan tertutup bersama Encik Trump, Encik Bessent menegaskan bahawa tarif itu boleh menyebabkan kemelesetan ekonomi jika dibiarkan terlalu lama.

“Pasaran memerlukan kepastian. Jika tidak, pelabur akan terus panik,” katanya.

Encik Trump pada mulanya menolak pandangan itu dengan berkata kesan tarif hanya bersifat sementara.

“Keperitan ini hanya untuk jangka masa pendek,” katanya kepada para pegawainya.

Namun begitu, selepas melihat reaksi negatif pasaran yang semakin meluas, Encik Trump akhirnya bersetuju menangguhkan kebanyakan tarif selama 90 hari sambil menaikkan tarif terhadap China kepada 125 peratus – langkah yang dikatakan bertujuan memusatkan tekanan terhadap China sahaja.

Pengumuman Encik Trump pada 1.18 tengah hari 9 April itu disambut baik oleh pasaran kewangan.

Saham-saham Amerika melonjak naik, manakala bon pemerintah kembali stabil.

Encik Bessent dan jurucakap Rumah Putih, Cik Karoline Leavitt, cuba menggambarkan perubahan dasar itu sebagai sebahagian daripada strategi besar Encik Trump sejak awal.

“Ini memang strategi beliau sejak awal lagi,” kata Encik Bessent ketika ditanya media.

Cik Leavitt turut menegaskan bahawa Encik Trump hanya menggunakan tarif itu sebagai alat perundingan untuk mendapatkan perjanjian perdagangan yang lebih baik bagi Amerika.

“Ramai dalam media gagal memahami The Art of The Deal. Presiden Trump menggunakan kekuatan Amerika untuk berunding daripada kedudukan yang lebih kuat,” katanya.

Malah, penasihat kanan Encik Trump, Encik Stephen Miller, dalam satu hantaran di platform X, menyifatkan langkah itu sebagai “strategi ekonomi terhebat oleh seorang Presiden Amerika dalam sejarah”.

Namun begitu, ramai penganalisis kewangan kekal ragu-ragu.

Mereka mempersoal sama ada Encik Trump benar-benar mempunyai perancangan jelas atau hanya bertindak berdasarkan naluri.

Dalam sidang media pada 9 April, apabila ditanya bagaimana beliau akan membuat keputusan mengenai pengecualian tarif tambahan selepas 90 hari, Encik Trump berkata:

“Secara naluri, lebih daripada apa-apa pun. Anda hampir tidak boleh membuat kiraan di atas kertas. Saya rasa ini lebih kepada naluri daripada perkara lain.”

Tindakan Encik Trump itu bukan sahaja mencerminkan tekanan daripada pasaran kewangan, bahkan juga menunjukkan krisis ekonomi kali ini berbeza dengan krisis-krisis sebelumnya.

Jika krisis kewangan sejagat 2008 berpunca daripada kejatuhan sektor perumahan dan krisis pandemik 2020 disebabkan wabak penyakit, krisis yang hampir melanda ini berpunca secara langsung daripada tindakan dasar seorang Presiden.

Krisis itu juga telah mencetuskan perdebatan dalam kalangan pakar ekonomi dan pelabur sama ada dasar perlindungan ekonomi seperti tarif besar-besaran masih relevan dalam era globalisasi hari ini.

Bagi Encik Trump, beliau kekal mempertahankan teorinya mengenai tarif yang beliau pegang sejak 40 tahun lalu – bahawa tarif boleh digunakan sebagai alat untuk memulihkan industri pengilangan Amerika dan mengimbangi semula perdagangan antarabangsa.

Namun, jelas sekali dalam dunia kewangan moden yang kompleks dan saling bergantung, tindakan sepihak tanpa strategi jelas boleh membawa risiko besar kepada ekonomi sejagat.

Seperti kata seorang pegawai kanan Rumah Putih: “Akhirnya, bukan sahaja pasaran yang menentukan dasar ekonomi.

“Malah, pasaran juga mampu memaksa seorang Presiden mengubah haluan apabila ekonomi berada di ambang krisis.” – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg