Ekonomi
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pentadbiran Trump tolak kebimbangan pasaran, berkeras dengan keputusan tarif

Beberapa pegawai pentadbiran tepis kebimbangan tarif akan sebabkan inflasi, kemelesetan, berbeza dari pandangan Lembaga Simpanan Federal, ahli ekonomi Wall Street
Apr 7, 2025 | 6:00 PM
Setiausaha Perbendaharaan Amerika Syarikat, Encik Scott Bessent (kiri), dan Setiausaha Perdagangan, Encik Howard Lutnick, berdiri di sisi Presiden Amerika, Encik Donald Trump, di Rumah Putih.
Setiausaha Perbendaharaan Amerika Syarikat, Encik Scott Bessent (kiri), dan Setiausaha Perdagangan, Encik Howard Lutnick, berdiri di sisi Presiden Amerika, Encik Donald Trump, di Rumah Putih. - Foto REUTERS

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, menolak kebimbangan pelabur mengenai inflasi dan kemelesetan, sambil menegaskan bahawa beliau akan meneruskan dasar tarifnya walaupun pasaran terjejas.

Setiausaha Perbendaharaan, Encik Scott Bessent, dan Setiausaha Perdagangan, Encik Howard Lutnick, berkata pada 6 April bahawa tarif akan tetap dilaksanakan, dan Encik Trump tidak akan mengubah pendirian.

“Saya tidak melihat alasan akan berlakunya kemelesetan,” kata Encik Bessent, walaupun JPMorgan meramalkan Amerika akan mengalami kemelesetan pada 2025.

Selepas pengumuman tarif Encik Trump itu pada 2 April, pasaran kehilangan nilai sebanyak AS$5.4 trilion ($7.3 trilion).

Encik Trump mengajak penyokongnya dalam kiriman media sosial pada 5 April supaya “TETAP TEGUH, ia tidak akan mudah, tetapi hasil akhirnya akan menjadi satu sejarah”.

Encik Navarro meramalkan pasaran saham yang jatuh sekarang akan pulih dan berkembang pesat. Namun, bekas Setiausaha Perbendaharaan, Encik Larry Summers, berkata penurunan besar itu menunjukkan masalah mungkin datang, dan orang ramai perlu berhati-hati.

Komen pentadbiran Encik Trump menyusul sehari selepas cukai tambahan 10 peratus dikenakan ke atas semua import Amerika pada 5 April. Cukai khas sehingga 50 peratus akan dikenakan pada 9 April, menjadikan cukai import Amerika tertinggi dalam lebih 100 tahun.

Encik Kevin Hassett, ketua Majlis Ekonomi Negara White House, mengakui harga pengguna Amerika mungkin meningkat sedikit, tetapi mengatakan kebimbangan ekonomi terlalu diperbesar-besarkan.

Bercakap di ABC’s This Week, Encik Hassett juga berkata rakyat Amerika akan mendapat manfaat daripada pemotongan cukai dan perbelanjaan yang ingin didorong Encik Trump.

Encik Bessent dan Encik Hassett menepis kebimbangan tarif menyebabkan inflasi, yang bertentangan dengan pandangan Lembaga Simpanan Federal dan ahli ekonomi Wall Street.

Pengerusi Lembaga Simpanan Federal, Encik Jerome Powell, berkata tarif yang lebih tinggi mungkin menyebabkan inflasi lebih tinggi dan pertumbuhan lebih perlahan.

Penasihat ekonomi Encik Trump pada 6 April mengukuhkan pandangan bahawa beliau ingin menjadikan tarif itu kekal sebagai transformasi ekonomi Amerika dalam jangka panjang. Encik Trump percaya usaha tarif itu akan menghidupkan semula industri pembuatan di Amerika.

Encik Trump berkata beliau mahu mengubah ekonomi global demi kepentingan Amerika, dengan mengatakan tarif akan menarik pelaburan kerana syarikat akan membina kilang baru di Amerika, membawa pekerjaan dan kekayaan ke negara itu.

Sasaran utama beliau adalah defisit perdagangan Amerika yang melebihi AS$1 trilion pada 2024, yang menurut Encik Trump dan pasukannya, perlu dihapuskan demi keselamatan negara dan untuk “memakmurkan Amerika semula”.

Encik Marc Short, yang pernah berkhidmat dalam pentadbiran Encik Trump, berkata pasaran menganggap langkah Presiden menggunakan tarif sebagai alat tawar-menawar, tetapi kali ini beliau menerima nasihat berbeza.

Encik Short menjangka pentadbiran mengalah kepada pasaran akhirnya, tetapi tidak dalam masa terdekat, dan ketika itu ia akan dianggap sebagai kemenangan.

Encik Short turut menyebut perbincangan dengan Vietnam untuk menurunkan tarif sebagai contoh pengaruh perundingan. Jika kemelesetan berlaku, agenda lain Encik Trump seperti pemotongan cukai, berisiko kerana tekanan terhadap kos yang semakin tinggi. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg