WASHINGTON: Presiden Donald Trump secara rasmi melaksanakan tarif baru ke atas lebih 90 negara selepas jam tengah malam pada 7 Ogos menandakan peningkatan ketara dalam perang perdagangan sejagat yang mula memberi kesan langsung kepada ekonomi Amerika Syarikat.
Menurut Pusat Penyelidikan Belanjawan Yale, langkah terkini itu menjadikan purata kadar tarif Amerika mencecah lebih 18 peratus – tahap tertinggi sejak 1934.
Encik Trump dalam satu kenyataan berkata: “Ini adalah langkah perlu untuk melindungi ekonomi kita dan menuntut semula keadilan perdagangan.”
Namun begitu, penganalisis ekonomi memberi amaran bahawa tindakan tersebut berisiko memperlahankan pertumbuhan ekonomi, meningkatkan inflasi, dan memberi tekanan pada isi rumah serta syarikat tempatan.
Ketua Ekonomi, Moody’s Analytics, Encik Mark Zandi, berkata: “Tarif ini mewujudkan persekitaran yang sangat bersifat stagflasi iaitu ekonomi yang perlahan dengan kenaikan harga secara serentak.”
Data terkini menunjukkan kutipan hasil kastam daripada tarif sejak Januari telah mencecah sekitar AS$152 bilion ($195 bilion).
Namun, kos import yang tinggi menyebabkan lonjakan harga barangan seperti pakaian, perkakas elektrik dan perabot sekali gus menjejas perbelanjaan pengguna.
Pasaran buruh kini turut menunjukkan kelembapan, dengan kadar pengambilan pekerja menurun ketara pada Julai.
“Ekonomi Amerika kini mula terasa kesan sebenar daripada gelombang tarif yang diumumkan sejak musim bunga lalu,” kata Ketua Penyelidikan Ekonomi Amerika di Fitch Ratings, Encik Olu Sonola, kepada The New York Times.
“Dengan pelaksanaan tarif baru ini, kesannya akan menjadi lebih ketara dalam beberapa bulan akan datang.”
Kadar tarif yang dikenakan di bawah pentadbiran Encik Trump bermula daripada 10 peratus dan meningkat sehingga 50 peratus, bergantung pada negara dan isu yang dikaitkan.
India, sebagai contoh, dikenakan tarif 25 peratus susulan keputusannya untuk terus membeli minyak dari Russia, manakala Brazil menerima tarif tertinggi iaitu 50 peratus.
Langkah itu dilihat sebagai tindak balas Encik Trump terhadap pendakwaan ke atas sekutu politiknya, mantan Presiden Brazil, Encik Jair Bolsonaro, yang dituduh cuba mengekalkan kuasa selepas tewas dalam pilihan raya.
Canada turut dikenakan tarif 35 peratus, dengan pentadbiran Trump mengaitkannya dengan isu penyeludupan fentanyl ke Amerika melalui sempadan.
Indonesia dan Thailand masing-masing menerima kadar tarif 19 peratus.
Negara seperti Korea Selatan, Jepun, dan anggota Kesatuan Eropah pula dikenakan tarif pada kadar lebih sederhana iaitu sekitar 15 peratus.
Sementara itu, beberapa negara lain seperti Laos, Switzerland, Iraq dan Algeria turut terkesan dengan tarif melebihi 30 peratus.
Langkah itu dilihat sebagai sebahagian daripada strategi Encik Trump untuk memberi tekanan kepada rakan dagang Amerika agar membuka pasaran mereka kepada produk buatan Amerika serta menyokong dasar luar Amerika, khususnya berkaitan konflik sejagat seperti perang di Ukraine.
Produk yang dimuatkan ke atas kapal sebelum 7 Ogos dikecualikan daripada tarif baru, selagi ia tiba di Amerika sebelum awal Oktober.
Langkah itu membuka ruang untuk pengimport menyimpan bekalan sebelum cukai import yang lebih tinggi mula menjejaskan margin keuntungan.
Encik Trump turut memberi amaran akan mengenakan tarif setinggi 100 peratus ke atas cip semikonduktor yang dihasilkan di luar negara, kecuali kepada syarikat yang komited untuk melabur dan membina kilang di Amerika.
Antara syarikat yang berpotensi dikecualikan termasuk Nvidia, TSMC dan Micron, selepas mereka berjanji melabur dalam pasaran domestik.
“Ini mengenai keadilan perdagangan. Kita tidak boleh lagi membiarkan negara lain mengeksploitasi pasaran kita,” kata Encik Trump semasa acara di Rumah Putih bersama Ketua Pegawai Eksekutif Apple, Encik Tim Cook, yang mengumumkan pelaburan tambahan AS$100 bilion di Amerika.
Beberapa negara seperti Jepun, Korea Selatan, Vietnam dan Kesatuan Eropah berjaya mencapai perjanjian awal untuk mengekalkan kadar tarif sekitar 15 hingga 20 peratus.
Sebagai balasan, mereka bersetuju membuka pasaran mereka kepada produk Amerika dan menjanjikan pelaburan dalam industri Amerika.
Namun, syarat sebenar dalam perjanjian tersebut masih belum didedahkan sepenuhnya, sekali gus menimbulkan persoalan mengenai ketelusan dan keberkesanan rundingan tersebut.
Sementara itu, tarif ke atas barangan dari China kekal pada kadar 30 peratus di bawah perjanjian yang dimeterai awal 2025.
Tetapi gencatan itu dijangka tamat pada 12 Ogos dan rundingan lanjut sedang berlangsung.
Kajian oleh Budget Lab di Yale mendapati isi rumah Amerika boleh mengalami kerugian purata tahunan AS$2,400 akibat kenaikan harga yang didorong oleh tarif.
Malah, kesannya terhadap ekonomi dijangka mengurangkan pertumbuhan sebanyak 0.5 peratus bermula 2025.
Pakar Ekonomi Kanan di Oxford Economics, Encik Matthew Martin, berkata banyak syarikat telah menggunakan stok sedia ada yang diimport sebelum tarif dilaksanakan.
“Dengan tarif yang kini kembali meningkat, kita akan lihat harga barang naik secara mendadak dalam masa terdekat,” katanya.
Encik Trump terus mempertahankan pendekatannya dan mendakwa “kos semakin rendah” dan pertumbuhan ekonomi akan mencapai tahap “belum pernah berlaku sebelum ini”.
Beliau turut memecat pegawai kanan yang menguruskan laporan pekerjaan kerajaan, dengan tuduhan tanpa bukti bahawa data pekerjaan telah dimanipulasi untuk menjatuhkannya secara politik.
Tarif baru itu merupakan satu langkah berani tetapi penuh risiko.
Ia menjanjikan potensi untuk menggalakkan pengeluaran domestik, namun dibimbangi akan menjejas pengguna, perniagaan kecil dan pasaran sejagat yang semakin tidak menentu.
“Pertumbuhan sedang perlahan,” kata Encik Mark Zandi.
“Dan perkara ini akan menjadi semakin jelas kepada semua.” – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg