WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat Donald Trump berkata beliau akan bersikap ‘murah hati’ kepada rakan dagangan apabila beliau mendedahkan tarif lanjut minggu ini yang boleh menjejas perdagangan sejagat, dalam usaha menangani apa yang disifatkannya sebagai ketidakadilan dalam dagangan.
Encik Trump, yang telah menggunakan kuasa Presiden yang tidak pernah berlaku sebelum ini sejak memegang jawatan pada Januari 2025, berkata beliau boleh mengumumkan seawal malam 1 April “tarif timbal balik” yang akan dikenakan negaranya.
Jutawan Republikan itu menegaskan bahawa tarif timbal balik diperlukan kerana ekonomi terbesar dunia itu telah “dirampas oleh setiap negara di dunia”, sambil menjanjikan ‘Hari Pembebasan’ buat Amerika.
Menurutnya, beliau juga boleh mengumumkan lebih banyak levi ke atas sektor khusus tetapi enggan memberikan butiran lanjut kepada pemberita ketika ditemui pada 31 Mac.
“Anda akan mengetahuinya dalam dua hari tetapi kami akan menjadi murah hati, secara relatifnya, kami akan bersikap sangat baik,” tegas Encik Trump.
Pengkritik memberi amaran bahawa strategi itu berisiko mencetuskan perang dagangan sejagat, tindak balas berantai dan respons balas oleh rakan dagangan utama seperti China, Canada dan Kesatuan Eropah.
China, Korea Selatan dan Jepun telah bersetuju pada 30 Mac untuk mengukuhkan perdagangan bebas antara mereka, menjelang pengumuman tarif yang dijangka diumumkan Encik Trump.
Tetapi Encik Trump berkata pada 31 Mac bahawa beliau tidak bimbang tindakannya akan mendorong sekutunya beralih arah ke Beijing, sambil menambah bahawa perjanjian di TikTok juga boleh terikat dengan tarif China.
Setiausaha Akhbar Rumah Putih, Cik Karoline Leavitt, memberitahu pemberita matlamat tarikh pada 2 April adalah untuk mengumumkan “tarif berasaskan negara”, walaupun Encik Trump tetap komited untuk mengenakan caj khusus terhadap sektor berasingan.
Ketidaktentuan itu telah menyentak pasaran dengan indeks utama Eropah dan Asia ditutup lebih rendah, walaupun Dow Jones dan S&P 500 umumnya memperoleh keuntungan.
Wall Street Journal melaporkan pada 30 Mac bahawa penasihatnya telah menimbangkan untuk mengenakan tarif sejagat sehingga 20 peratus terhadap hampir semua rakan dagangan Amerika.
Namun Encik Trump menyatakan tarifnya akan “jauh lebih murah hati” daripada tarif yang telah dikenakan terhadap produk Amerika.
Penetapan Encik Trump terhadap tarif telah menyemarakkan kebimbangan kemelesetan di Amerika.
Penganalisis bank pelaburan berbilang negara dan syarikat perkhidmatan kewangan, Goldman Sachs, meningkatkan kemungkinan berlaku kemelesetan dalam tempoh 12 bulan, daripada 20 peratus kepada 35 peratus. – Reuters.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg