WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, pada 2 April mengumumkan pelaksanaan tarif menyeluruh yang disifatkannya sebagai satu bentuk ‘pengisytiharan kemerdekaan ekonomi’, dalam usaha menggantikan dasar perdagangan bebas dengan pendekatan perdagangan ‘adil’.”
Dalam dasar ekonominya yang paling bercita-cita tinggi, yang katanya akan menjadikan Amerika kaya semula, beliau mengumumkan tarif 10 peratus ke atas semua barangan yang masuk ke Amerika di peringkat global termasuk Singapura.
Menurut The Straits Times, Encik Trump juga mengenakan tarif timbal balik yang tinggi terhadap sekurang-kurangnya 60 rakan dagangan yang mengenakan cukai terlalu tinggi ke atas produk Amerika.
Kesan paling ketara adalah ke atas ekonomi Asia, dengan kadar tertinggi 49 peratus dikenakan ke atas Kemboja.
Tarif ke atas China menambah 34 peratus di atas 20 peratus yang telah dikenakan oleh Encik Trump, memetik langkah yang tidak mencukupi oleh negara itu dalam memerangi penyeludupan fentanyl opioid yang boleh membawa maut.
Tarif ke atas Vietnam ialah 46 peratus, Thailand 36 peratus, Indonesia dan Taiwan masing-masing 32 peratus, Malaysia 24 peratus dan Filipina 17 peratus.
Antara negara Asia yang terjejas dengan tarif bawah 30 peratus ialah sekutu Jepun pada 24 peratus dan Korea Selatan sebanyak 25 peratus. India berdepan tarif 26 peratus.
Canada dan Mexico dikecualikan daripada rejim tarif timbal balik, manakala Kesatuan Eropah menghadapi tarif 20 peratus dan Australia 10 peratus.
Cik Wendy Cutler, Naib Presiden Institut Dasar Masyarakat Asia dan bekas pemangku timbalan wakil perdagangan Amerika, berkata: “Menyerang Singapura, sekutu rapat dan rakan kongsi Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) dengan ekonomi terbuka, adalah sesuatu yang mengejutkan.”
Di bawah FTA Amerika-Singapura, berkuat kuasa sejak 2004, Singapura mengenakan tarif sifar ke atas produk Amerika, selagi mereka layak sebagai barangan di bawah peraturan asal FTA.
Pengecualian adalah untuk cukai barangan dan perkhidmatan Singapura, yang terpakai untuk kedua-dua barangan import dan domestik, pada kadar sembilan peratus. Selain itu, barangan tertentu seperti alkohol dan tembakau dikenakan cukai eksais.
Cik Cutler berkata Asia nampaknya berada di pihak yang menerima.
“Malah rakan kongsi FTA Amerika di rantau ini adalah penerima tarif baru, dengan kadar Korea Selatan pada 25 peratus luar biasa tinggi memandangkan lebih 99 peratus eksport Amerika ke Korea memasuki kategori bebas cukai,” katanya, merujuk kepada Perjanjian Perdagangan Bebas Amerika-Korea yang berkuat kuasa pada 2012.
“Rakan kongsi dagangan kami tidak akan melihat kadar ini sebagai ‘baik’ atau wajar, dan ramai yang akan berada di bawah tekanan domestik untuk bertindak balas dengan langkah mereka sendiri,” tegas Cik Cutler.
Menurut Encik Trump, tarif timbal balik akan mengecilkan jurang “tidak adil” antara cukai yang dikenakan Amerika ke atas barangan import dengan yang dikenakan oleh negara lain ke atas produk Amerika.
Dasarnya dikhuatiri menimbulkan kemungkinan berlaku perang dagangan global yang dahsyat.
Tarif sejagat itu akan berkuat kuasa pada tengah malam pada 5 April (12 malam pada 6 April, waktu Singapura), manakala tarif timbal balik akan bermula pada tengah malam pada 9 April. - Reuters


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg