Negara-negara Asia Tenggara akan menyatakan “kebimbangan” mereka terhadap tarif yang dikenakan oleh Amerika Syarikat, yang disifatkan sebagai ‘tidak produktif dan memberi kesan negatif’, menurut satu draf kenyataan bersama yang diperoleh AFP pada 8 Julai. Ini susulan tindakan Presiden Donald Trump yang mengancam sebanyak 14 negara dengan kenaikan tarif yang ketara.
Perang perdagangan yang dicetuskan oleh presiden Amerika itu dijangka menjadi topik utama dalam mesyuarat para Menteri Luar Asean yang berlangsung di Kuala Lumpur minggu ini.
“Kami menyatakan kebimbangan terhadap ketegangan perdagangan global yang semakin meningkat dan ketidakpastian yang berkembang dalam landskap ekonomi antarabangsa, khususnya tindakan unilateral berkaitan tarif,” menurut kenyataan draf Komunike Bersama para menteri luar Asean.
Tanpa menyebut secara langsung nama Amerika Syarikat, para menteri itu menyifatkan tarif tersebut sebagai “tindakan yang tidak produktif dan berisiko memburukkan lagi perpecahan ekonomi global serta menimbulkan cabaran kompleks terhadap kestabilan dan pertumbuhan ekonomi Asean”.
Encik Trump sebelum ini telah menghantar surat kepada 14 negara, mengumumkan bahawa tarif yang telah digantung pada April lalu akan dikenakan semula dengan kadar yang lebih tinggi dalam tempoh tiga minggu akan datang.
Antara negara yang menjadi sasaran ialah rakan dagang utama seperti Jepun dan Korea Selatan, yang masing-masing berdepan tarif sebanyak 25 peratus.
Indonesia, Laos, Thailand, Malaysia dan Myanmar yang semuanya merupakan negara anggota Asean turut berdepan kadar tarif antara 25 hingga 40 peratus sekiranya mereka gagal mencapai perjanjian dengan Washington sebelum 1 Ogos.
Vietnam, yang juga merupakan anggota Asean dan sangat bergantung kepada eksport, merupakan salah satu daripada hanya dua negara yang telah mencapai perjanjian awal yang menyelamatkannya daripada tindakan tarif tersebut.
Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Marco Rubio, dijangka menyertai mesyuarat bersama rakan sejawat Asean pada 10 dan 11 Julai ini. Lawatan ini merupakan lawatan rasmi pertamanya ke Asia sejak memegang jawatan tersebut.
Menurut seorang pegawai kanan Jabatan Negara Amerika yang enggan dikenali, Encik Rubio dijangka menyampaikan mesej bahawa Amerika Syarikat ingin “menyusun semula” hubungan perdagangan globalnya.
Lawatan beliau turut berlangsung serentak dengan lawatan Menteri Luar Russia, Encik Sergei Lavrov dan Menteri Luar China, Encik Wang Yi. Namun, menurut penganalisis, Encik Rubio dijangka memainkan peranan untuk menenangkan keadaan susulan pengumuman tarif baharu Trump.
“Kita boleh berharap Rubio akan membawa mesej yang memberi semangat, yang menegaskan semula kepentingan Asia Tenggara dalam dasar luar Ameika,” kata Dr Mustafa Izzuddin, penganalisis hal ehwal antarabangsa dari firma perundingan Solaris Strategies Singapura.
Namun beliau menambah: “Penglibatan Amerika yang lebih mendalam di Asia Tenggara mungkin akan terbantut akibat pendekatan transaksional Trump terhadap hubungan antarabangsa.”
Encik Trump sebelum ini telah mengumumkan tarif menyeluruh ke atas import pada 2 April lalu sempena apa yang beliau gelar sebagai “Hari Pembebasan”, termasuk tarif asas sebanyak 10 peratus terhadap semua negara.
Namun selepas kegelisahan pasaran, beliau menggantung semua tarif yang melebihi 10 peratus untuk tempoh 90 hari bagi memberi ruang kepada rundingan.
Pada sidang kemuncak akhir Mei lalu, para pemimpin Asia Tenggara telah menyuarakan kebimbangan mereka terhadap pendekatan perlindungan perdagangan oleh Trump.
Tarif berkenaan dijadualkan akan berkuat kuasa semula pada esok hari dan surat-surat amaran dihantar lebih awal oleh Encik Trump menjelang tarikh tersebut.
Kementerian Perdagangan Malaysia dalam kenyataan pada 8 Julai berkata pihaknya akan meneruskan rundingan dengan Amerika Syarikat bagi mencapai “perjanjian perdagangan yang seimbang, saling menguntungkan dan menyeluruh”.
Sementara itu, pemangku Perdana Menteri Thailand, Encik Phumtham Wechayachai, berkata beliau mahukan “perjanjian yang lebih baik” sambil menambah: “Perkara paling penting adalah kita mengekalkan hubungan baik dengan Amerika Syarikat.” - AFP
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg