Malaysia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Tarif import 25%: M’sia akan teruskan rundingan dengan Amerika

Jul 8, 2025 | 3:57 PM
Malaysia, tarif, Amerika Syarikat, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (Miti) Malaysia, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz. - Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR: Malaysia akan terus berunding dengan Amerika Syarikat mengenai tarif timbal balas 25 peratus yang dikenakan ke atas negara itu, bermula 1 Ogos ini.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (Miti), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, berkata Malaysia tidak akan berhenti untuk berunding dengan pihak pentadbiran Amerika bagi memastikan negara itu mendapat manfaat daripada rundingan tersebut.

Beliau berkata pihaknya juga akan mengadakan sidang media mengenai tarif terkini Amerika itu selepas mesyuarat Kabinet pada 9 Julai.

“Kita akan teruskan berunding dengan Amerika untuk memastikan Malaysia mendapat manfaat daripada perbincangan ini,” katanya sebelum pulang ke Malaysia dalam lawatan rasmi mengiringi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, ke Italy, Perancis dan Brazil, lapor Berita Harian Malaysia (BHM).

Mengulas lanjut, Tengku Zafrul berkata setakat ini dua negara yang sudah mencapai persetujuan dengan Amerika ialah Britain dan Vietnam.

Menurutnya, beliau juga telah bercakap dengan rakan dari negara lain dan mereka juga memaklumkan berunding dengan Amerika mengenai perkara itu.

“Setakat ini kita akan teruskan perbincangan dengan pihak pentadbiran Amerika sehingga 1 Ogos. Dua negara telah muktamadkan perjanjian (dengan Amerika) iaitu Vietnam dan Britain,” katanya.

Dalam satu surat kepada Datuk Anwar yang dikongsi dalam laman Truth Social, Presiden Amerika, Encik Donald Trump, menyatakan akan mengenakan tarif timbal balas 25 peratus ke atas semua produk Malaysia ke Amerika bermula 1 Ogos 2025.

Dalam pada itu penganalisis ekonomi berkata Malaysia perlu mengamalkan pendekatan yang seimbang dan bersepadu dalam menangani kesan tarif import 25 peratus itu.

Perunding Kanan Global Asia Consulting, Encik Samirul Ariff Othman, berkata pendekatan rundingan adalah lebih bijak berbanding sekatan balas, dengan rundingan dua hala menerusi kerangka Perjanjian Rangka Kerja Perdagangan dan Pelaburan Malaysia-Amerika (Tifa) yang telah dipersetujui bersama dianggap saluran paling cepat dan berkesan.

“Diplomasi aktif dan struktur dampak menerusi Pusat Tindakan Geoekonomi Nasional (NGCC) serta pasukan petugas sektor adalah gabungan strategi yang seimbang untuk meredakan kejutan tarif. Ia lebih pantas dan berkesan berbanding tindakan balas berbentuk tarif,” katanya lapor BHM.

Encik Samirul menjelaskan antara sektor paling terkesan adalah elektrik dan elektronik (E&E), dengan kira-kira 50 peratus nilai eksport ke Amerika dijangka terjejas.

Sementara itu, Timbalan Presiden Persatuan Akauntan Percukaian Malaysia (Mata), Dr Mohd Fairuz A Razak, berkata Malaysia kini berdepan situasi getir yang memerlukan tindakan tegas dan pantas memandangkan bukan saja eksport negara bakal terjejas, malah hasil kutipan cukai kerajaan juga dijangka menyusut akibat kesan berganda terhadap syarikat dan pelaburan asing.

“Lebih membimbangkan, pelaburan asing terutama dari Amerika mungkin beralih ke negara jiran yang menawarkan dasar cukai lebih menarik dan kos buruh lebih rendah.

“Ini sekali gus menempatkan Malaysia dalam kategori ‘negara berisiko’ daripada sudut daya saing serantau seperti Vietnam dan Thailand yang tidak dikenakan tarif tinggi,” katanya.

Amerika adalah rakan dagang kedua terbesar Malaysia dan destinasi eksport terbesar, dengan jumlah dagangan pada 2024 meningkat hampir 30 peratus kepada RM324.9 bilion ($97.9 bilion).

Eksport ke Amerika mencecah RM198.7 bilion, manakala import meningkat kepada RM126.3 bilion.

“Kita akan teruskan berunding dengan Amerika untuk memastikan Malaysia mendapat manfaat daripada perbincangan ini.”
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (Miti) Malaysia, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg