BEIJING: Taufan Bavi, ribut paling kuat melanda China pada 2026, memaksa lebih 260,000 penduduk dipindahkan dari kediaman mereka di wilayah Liaoning di timur laut negara itu apabila hujan lebat mencetuskan banjir besar di beberapa kawasan.

Pihak berkuasa memaklumkan hujan lebat dijangka berterusan sehingga 14 Julai, dengan beberapa kawasan diramal mengalami hujan pada tahap ekstrem apabila Bavi terus membawa sejumlah besar lembapan tropika ke utara China.

Menurut pakar meteorologi, sistem ribut itu menghasilkan aliran udara lembap yang berterusan, sekali gus meningkatkan risiko banjir dan tanah runtuh.

Di Shenyang, ibu kota wilayah Liaoning, kejadian luar biasa berlaku apabila sebuah rumah api terputus daripada talian elektrik voltan tinggi sebelum dihanyutkan arus banjir merentasi jalan utama dan di bawah sebuah jambatan.

Rakaman kejadian yang tular di media sosial China menunjukkan struktur rumah api itu hanyut dibawa arus deras ketika paras air terus meningkat.

Susulan keadaan cuaca yang semakin buruk, semua sekolah dan institusi latihan di wilayah terjejas diarah menangguhkan sesi pembelajaran.

Perkhidmatan pengangkutan awam turut mengalami gangguan besar di beberapa bandar di timur laut China, termasuk Shenyang dan Jilin.

Taufan Bavi terbentuk di Lautan Pasifik kira-kira 13 hari lalu dan melanda pantai timur China pada malam 11 Julai.

Walau sudah memasuki daratan, ribut itu masih mengekalkan sebahagian besar kekuatannya, menjadikan ia siklon tropika yang paling lama bertahan di rantau Asia-Pasifik pada 2026.

Pakar meteorologi China berkata daya ketahanan luar biasa Bavi berpunca daripada teras udara panasnya yang kekal utuh, membolehkan ribut itu terus membawa sejumlah besar wap air ketika bergerak ke arah Semenanjung Korea.

Mereka menjangkakan hujan akan menjadi lebih lebat apabila Bavi, yang kini diklasifikasikan sebagai ribut tropika, bergerak semakin perlahan dan mula melepaskan lembapan yang terkumpul sepanjang perjalanannya.

Pihak berkuasa terus menggesa penduduk di kawasan berisiko supaya mematuhi arahan pemindahan dan berwaspada terhadap kemungkinan banjir kilat serta tanah runtuh. – Agensi berita.