Sekurang-kurangnya 18 penerbangan Singapore Airlines (SIA) dan Scoot antara Singapura dengan Tokyo, Sapporo, Seoul serta Taipei terjejas, sedang Taufan Bavi menghampiri Asia Timur.

Syarikat penerbangan nasional SIA mengumumkan di laman webnya pada 9 Julai bahawa empat penerbangan antara Singapura dengan Taipei pada 11 Julai dibatalkan, manakala dua penerbangan pada 10 Julai dijadualkan semula kepada masa yang berbeza.

Penerbangan yang dibatalkan pada 11 Julai ialah SQ876 dan SQ878 dari Singapura ke Taipei, serta SQ877 dan SQ879 yang berlepas dari Taipei ke Singapura.

Pada 10 Julai, SQ878 dari Singapura ke Taipei, akan berlepas 45 minit lebih awal, iaitu pada 11 pagi; manakala SQ879 akan berlepas dari Taipei ke Singapura 15 minit lebih awal, iaitu pada 5.30 petang.

Sayap kos rendah SIA, Scoot, pula menyatakan pada 8 Julai bahawa 12 penerbangan yang beroperasi antara Singapura dengan Tokyo, Sapporo serta Seoul dibatalkan.

Penerbangan ke dan dari Seoul serta Tokyo (Narita) masing-masing mempunyai persinggahan di Taipei.

Kedua-dua syarikat penerbangan itu menyatakan pelanggan yang terjejas akan dimaklumkan mengenai perubahan tersebut, dan akan ditawarkan pilihan untuk menukar tempahan mereka, atau memohon bayaran balik penuh.

Pelanggan yang membuat tempahan menerusi ejen pelancongan atau syarikat penerbangan rakan kongsi dinasihatkan supaya menghubungi terus ejen pelancongan atau syarikat penerbangan tempat mereka membeli tiket, untuk mendapatkan bantuan. 

SIA berkata: “Memandangkan keadaan masih berubah-ubah, penerbangan SIA yang lain mungkin turut terjejas.

“Pelanggan boleh melayari laman web status penerbangan kami untuk maklumat terkini mengenai penerbangan mereka.”

Scoot pula berkata: “Keselamatan pelanggan dan kru kekal menjadi keutamaan kami.

“Kami akan terus memantau situasi Taufan Bavi dan menyesuaikan jadual penerbangan kami sekiranya perlu.”

Taufan Bavi, yang kini berukuran sekitar 1,000 kilometer pada bahagian terlebarnya atau lebih kurang seluas negara Perancis, diramalkan akan melintasi bahagian utara Taiwan, sebelum melanda wilayah Fujian timur China pada petang 11 Julai, menurut Pusat Meteorologi Kebangsaan China.

“Keselamatan pelanggan dan kru kekal menjadi keutamaan kami. Kami akan terus memantau situasi Taufan Bavi dan menyesuaikan jadual penerbangan kami sekiranya perlu.”
Kenyataan Scoot, sayap kos rendah syarikat penerbangan SIA.