ISHIGAKI, Jepun/TAIPEI: Taufan ‌Bavi melanda rangkaian pulau Sakishima selatan Jepun dengan hujan lebat dan angin kencang pada 11 Julai ketika ia menuju ke arah Taiwan, mendorong pihak berkuasa untuk memberi amaran tentang risiko banjir dan tanah runtuh.

Di pulau Ishigaki, sebahagian daripada wilayah Okinawa, serpihan kecil dapat dilihat berterbangan di jalan-jalan raya yang sepi, dengan hanya beberapa kenderaan dilihat mengharungi ribut dan hujan lebat.

Bot-bot yang berlabuh di pelabuhan, bergoyang dek arus deras yang dibawa oleh ribut kencang dengan kekuatan maksimum 144 kilometer per jam.

Menyusulinya, pihak berkuasa telah mengeluarkan amaran tiupan angin yang mencecah sehingga 198 kilometer per jam..

Penerbangan dan perkhidmatan feri di seluruh Ishigaki, destinasi pelancongan popular, kekal digantung sepanjang 11 Julai.

Syarikat penerbangan telah membatalkan 345 penerbangan, dan lebih daripada 24,000 isi rumah di Okinawa terputus bekalan elektrik.

Di negara jiran Taiwan, pemerintah telah memindahkan lebih 14,000 orang daripada kawasan pergunungan yang kebanyakannya disebabkan oleh pergerakan Taufan Bavi ke utara.

Meskipun taufan tersebut semakin melemah dan tidak akan melanda Taiwan, namun pemerintah sedang mengambil langkah berjaga-jaga untuk mencegah kehilangan nyawa, memandangkan ramalan hujan hampir satu meter dijangka melanda beberapa kawasan.

Kebanyakan mereka yang dipindahkan berada di kawasan di utara dan timur.

Sekitar 920 penerbangan antarabangsa dan 280 penerbangan domestik telah dibatalkan.

Hampir semua bandar dan daerah di seluruh Taiwan mengisytiharkan cuti taufan pada 11 Julai dan mengarahkan penutupan pejabat dan sekolah yang mungkin dibuka pada hujung minggu.

Laluan kereta api berkelajuan tinggi utara-selatan kekal dibuka tetapi perkhidmatannya dikurangkan.

“Tidak mengapa, ia tidak begitu serius,” kata penduduk Taipei Cik Yeh Mao-hsiung, 68 tahun, ketika keluar berjalan-jalan pada waktu pagi bersama anjingnya.

Tetapi di kawasan kejiranan Beitou, kawasan kaki bukit pergunungan yang mengelilingi bandar Taipei, tiupan angin sekuat 100 kilometer per jam telah menumbangkan pokok dan menyebabkan air sungai melimpah ruah.

Bavi diramalkan akan melanda bandar Wenzhou, timur China, yang didiami oleh 10 juta orang, pada awal pagi 12 Julai.

Di Wenzhou, Encik Chen Qiuqin, berusia 60-an tahun, dilihat berjalan melalui hujan lebat dalam perjalanan ke rumah ibu bapanya untuk membantu mereka bersedia menghadapi taufan tetapi berkata beliau tidak terlalu bimbang memandangkan persediaan yang telah dibuat oleh pihak berkuasa. - Reuters