MANILA: Pasukan penyelamat di utara Filipina pada 25 Julai menjalankan operasi memindahkan penduduk yang terperangkap akibat banjir serta menghantar bekalan makanan menggunakan bot, selepas Taufan Co-May diturunkan statusnya kepada ribut tropika beberapa jam selepas melanda daratan.
Sekolah masih ditutup dan bekalan elektrik terputus di banyak kawasan di pulau terbesar negara itu, susulan hujan monsun berterusan sejak beberapa hari lalu yang telah meragut 25 nyawa dan menyebabkan lapan orang lagi hilang di seluruh negara, menurut agensi pengurusan bencana alam Filipina.
Di wilayah pantai barat La Union, tempat Co-May mula melanda awal pagi 25 Julai, sebuah keluarga empat orang berjaya diselamatkan selepas terperangkap di tingkat dua rumah kayu mereka.
“Mereka tidak dapat keluar kerana air banjir sudah setinggi pinggang dan mereka mempunyai anak kecil,” kata seorang pegawai penyelamat yang enggan dikenali kerana tidak dibenarkan bercakap kepada media. “Ramai telah menghubungi kami sejak awal pagi, tetapi kami menghadapi kesukaran untuk bertindak balas kerana hujan dan angin terlalu kuat,” tambahnya. Cuaca yang semakin reda telah membolehkan operasi menyelamat dijalankan secara menyeluruh.
Di wilayah Bulacan, yang terletak di utara ibu negara Manila, wartawan AFP melihat seluruh kampung ditenggelami air setinggi pinggang.
Encik Lauro Sabino, 54 tahun, berkata beliau dan isterinya terpaksa berpindah dari rumah mereka pada waktu pagi selepas mengalami malam yang mencemaskan dengan angin kencang. “Seperti bumbung saya hendak tercabut. Ia berkeriut. Hujan turun sepanjang malam,” katanya, sambil menambah bahawa mereka akan bermalam di pasar tempatan sehingga banjir surut.
“Setiap kali perkara yang sama berlaku. Tiada penyelesaian,” kata Cik Mary Rose Navia, 25 tahun, seorang suri rumah yang suaminya tidak dapat pergi bekerja pada 25 Julai.
“Air banjir semakin dalam,” keluhnya.
Presiden Ferdinand Marcos pada 24 Julai secara jelas mengaitkan kejadian banjir ini dengan perubahan iklim, dengan menyatakan bahawa negaranya perlu menerima hakikat bahawa ini adalah “norma baru”. “Beginilah keadaannya, sejauh yang kita tahu, untuk… beberapa dekad akan datang, jadi marilah kita bersedia,” katanya dalam taklimat kabinet yang disiarkan secara langsung di televisyen.
Taufan Co-May yang semakin lemah ketika bergerak ke arah utara timur laut dijangka akan meninggalkan kawasan Filipina sepenuhnya menjelang pagi 26 Julai. — AFP
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg