BEIJING/SHANGHAI: Hujan lebat dan ribut susulan Taufan Dolphin telah melanda beberapa wilayah di timur China, menyebabkan banjir berlaku di Shanghai, bandar kedua paling ramai penduduk di negara ini.

Taufan berkelajuan maksimum 151 kilometer sejam melanda Zhejiang, wilayah di selatan dan barat Shanghai, pada petang 9 Ogos.

Hujan lebat dan ribut yang menyusul, turut melanda wilayah timur termasuk Anhui, Jiangsu dan Shandong pada 10 Ogos.

Banyak jalan raya di pinggir bandar Jiading dan Qingpu di sekitar pusat bandar Shanghai, masih ditenggelami air, sesetengahnya di paras lutut.

Akibat cuaca buruk itu, dua lapangan terbang Shanghai telah membatalkan sejumlah 943 penerbangan pada 10 Ogos, kata stesen penyiar CCTV.

“Saya dah tinggal di Shanghai selama 10 tahun, dan ini adalah kali pertama saya mengalami kesulitan akibat taufan dan banjir yang berlaku,” kata Cik Hou Lina, 39 tahun.

Pihak berkuasa daerah menggesa perniagaan dan organisasi yang tidak penting menghentikan operasi buat sementara. – Reuters.