Topik diikuti
Pergi ke BHkuTaufan Dujuan membadai Jepun, operasi menyelamat penduduk terperangkap dipergiat
Taufan Dujuan membadai Jepun, operasi menyelamat penduduk terperangkap dipergiat
TOKYO: Anggota penyelamat menggunakan bot kembung untuk menyelamatkan penduduk yang terkandas selepas Taufan Dujuan membawa hujan lebat di Sakura, wilayah Chiba, Jepun, pada 22 September 2026.
Hampir dua juta penduduk menerima arahan pemindahan ketika taufan itu melanda beberapa wilayah dengan angin kencang dan hujan lebat yang mencetuskan banjir serta tanah runtuh.
Penyiar awam NHK melaporkan sekurang-kurangnya lima orang terkorban, manakala enam lagi dilaporkan hilang. Operasi mencari dan menyelamat masih dijalankan di beberapa kawasan yang terjejas, termasuk di wilayah Kanagawa.
Agensi Meteorologi Jepun (JMA) sebelum ini memberi amaran mengenai “ancaman segera terhadap nyawa” akibat cuaca ekstrem, sebelum beberapa amaran diturunkan selepas taufan mula bergerak menjauhi kawasan paling teruk terjejas.
Dujuan membawa angin berterusan sehingga 130 kilometer sejam (km/j), dengan tiupan mencecah 194 km/j, selain menyebabkan puluhan ribu rumah terputus bekalan elektrik.
Ratusan penerbangan dibatalkan dan perkhidmatan kereta api di beberapa kawasan turut digantung sebagai langkah keselamatan.
Di Yokosuka, wilayah Kanagawa, seorang wanita berusia lingkungan 60-an maut selepas dipercayai tertimbus apabila tanah runtuh memusnahkan kediamannya.
Di Chiba pula, seorang lelaki berusia lingkungan 50-an yang terbabit dalam kerja pembersihan kawasan tanah runtuh dilaporkan maut selepas terjatuh bersama jentera berat ke kawasan belukar buluh.
Anggota bomba di Kanagawa turut menerima laporan sebuah rumah musnah akibat tanah runtuh, dengan operasi mencari mangsa diteruskan.
Perdana Menteri Jepun, Cik Sanae Takaichi, menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga mangsa dan berkata beliau telah mengarahkan pegawai kanan kerajaan serta kementerian berkaitan mengambil langkah persediaan maksimum bagi menghadapi kesan taufan.
Beliau tetap meneruskan lawatan rasmi ke Amerika Syarikat seperti yang dijadualkan. Pakar iklim berkata suhu laut yang semakin panas boleh membekalkan lebih banyak tenaga kepada ribut tropika dan meningkatkan risiko hujan lebih lebat.
Ketika Dujuan terus bergerak ke utara menyusuri pesisir Pasifik Jepun, pihak berkuasa memberi tumpuan kepada operasi mencari mangsa, memulihkan bekalan elektrik dan menilai kerosakan akibat banjir serta tanah runtuh. - Agensi berita