TAIPEI: Taufan Gaemi mengorbankan tiga orang di Taiwan apabila ia menghampiri pulau itu pada 24 Julai, manakala orang terperangkap akibat banjir di Filipina, yang meragut nyawa sekurang-kurangnya 13 orang.
Agensi Berita Pusat Taiwan berkata lebih 220 orang cedera ketika taufan itu bertambah kuat dan dan membawa angin kencang serta hujan lebat.
Sekolah, pejabat dan tapak pelancongan ditutup di seluruh Taiwan, manakala pengembara udara bergegas menaiki penerbangan untuk ke luar negara.
Syarikat penerbangan berkata banyak penerbangan ke Jepun, China dan destinasi serantau lain akan dibatalkan pada 25 Julai.
Tiada perkhidmatan kereta api akan beroperasi hingga 3 petang, lapor Agensi Berita Pusat.
Bot nelayan telah diarah pulang ke pelabuhan sedang keadaan di tengah-tengah laut bergelora.
Angin kencang menjatuhkan beberapa pejalan kaki dan penunggang skuter di pulau itu.
Tempat perlindungan dibuka di kawasan terdedah, terutamanya di pusat pergunungan Taiwan dan di timur, yang terdedah kepada tanah runtuh dan banjir.
Jalan raya ditenggelami air di banyak pekan dan bandar.
Tiga kematian yang diberitakan itu termasuk seorang pemandu yang tersepit di bawah jengkautnya selepas kenderaan itu terbalik di jalan raya licin.
Seorang wanita dihempap pokok tumbang dan seorang lagi wanita dihempap di dalam kereta akibat tembok runtuh, kata Agensi Berita Pusat.
Ribut itu turut memaksa latihan tentera udara di luar pantai timur Taiwan dibatalkan.
Taufan Gaemi, dipanggil Carina di Filipina, tidak mendarat di kepulauan itu, tetapi mengakibatkan hujan monsun.
Ia juga mengakibatkan sekurang-kurangnya belasan kejadian tanah runtuh dan banjir, dalam tempoh lima hari, membunuh sekurang-kurangnya lapan orang dan menyebabkan 600,000 orang kehilangan tempat tinggal, kata agensi mitigasi risiko bencana Filipina.
Banjir turut memaksa penduduk berhampiran Teluk Manila dan kawasan sungai serta pesisir di wilayah tengah dan selatan untuk berpindah.
Banjir mengakibatkan banyak jalan di wilayah ibu kota termasuk hab kewangan Makati tidak dapat dilalui, menyebabkan orang ramai meninggalkan rumah mereka awal untuk pergi bekerja.
Sekolah dan pejabat kerajaan ditutup, manakala sekurang-kurangnya 16 penerbangan dibatalkan di Lapangan Terbang Antarabangsa Ninoy Aquino.
Bencana itu turut mengakibatkan banyak jalan di wilayah ibu negara tidak boleh dilalui dan beberapa kenderaan terkandas ketika cuba melintasi jalan raya yang ditenggelami air. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg