HANOI: Sekurang-kurangnya lima orang terbunuh selepas Taufan Kalmaegi membadai kawasan pesisir tengah Vietnam dengan angin kencang dan hujan lebat, menurut pegawai bencana pada 7 November.
Ribut itu melanda negara tersebut hanya sehari selepas meninggalkan jejak kemusnahan besar di Filipina yang meragut sekurang-kurangnya 188 nyawa.
Taufan Kalmaegi melanda daratan di wilayah tengah Vietnam lewat malam 6 November menumbangkan pokok, merosakkan rumah dan menyebabkan gangguan bekalan elektrik di banyak kawasan. Ia kemudian melemah menjadi ribut tropika ketika bergerak ke arah Kemboja.
“Kami sedang menilai kerosakan dan memberi tumpuan kepada operasi menyelamat serta memulihkan bekalan elektrik,” kata pegawai Agensi Pengurusan Bencana Vietnam, Encik Tran Van Khiem.
Agensi itu melaporkan tujuh orang cedera dan sekitar 2,800 rumah rosak. Lebih 1.3 juta penduduk kini terputus bekalan elektrik di beberapa wilayah termasuk Da Nang, Quang Ngai dan Dak Lak.
Gelombang setinggi tiga meter membadai pesisir pantai, manakala angin kencang menumbangkan tiang elektrik serta menumbangkan pokok di jalan utama. Bandar pesisir Quy Nhon dilaporkan terputus bekalan elektrik selama berjam-jam.
Tiga nelayan dilaporkan hilang berhampiran pulau Ly Son selepas bot mereka dihanyutkan ombak besar. Operasi mencari dan menyelamat telah dijalankan tetapi terpaksa digantung sementara berikutan cuaca buruk.
“Kami tidak akan menghentikan pencarian mereka, tetapi keselamatan anggota penyelamat juga menjadi keutamaan,” kata pegawai tempatan Encik Nguyen Thanh Hoa kepada agensi berita VNA.
Pihak berkuasa mengarahkan lebih 537,000 penduduk berpindah, kebanyakannya melalui bot di kawasan pesisir. Video yang dikongsi di media sosial menunjukkan bumbung rumah diterbangkan, jalan raya dipenuhi serpihan dan air banjir melimpah ke kawasan kediaman.
Pemerintah memberi amaran hujan lebat berterusan sehingga 200 milimeter dijangka turun di wilayah tengah dari Thanh Hoa hingga Quang Tri, manakala paras sungai yang meningkat di Hue hingga Dak Lak boleh mencetuskan banjir besar dan tanah runtuh.
“Kawasan tanah tinggi tengah Vietnam yang menjadi pusat pengeluaran kopi negara berisiko mengalami banjir dan tanah runtuh besar, menjejaskan sektor pertanian,” kata jurucakap kerajaan dalam satu kenyataan rasmi.
Taufan Kalmaegi taufan ke-13 tahun ini di Laut China Selatan kini bergerak ke arah Laos sebelum dijangka melanda timur laut Thailand pada petang 7 November. Jabatan Meteorologi Thailand mengeluarkan amaran cuaca ekstrem dengan kemungkinan banjir kilat dan limpahan sungai di wilayah sempadan.
Vietnam dan Filipina sering terdedah kepada taufan kerana kedudukannya di sepanjang Lingkaran Taufan Pasifik. Setiap tahun, kedua-dua negara berdepan kerosakan harta benda dan kehilangan nyawa yang besar akibat ribut tropika.
Di Filipina, Presiden Ferdinand Marcos Jr mengisytiharkan darurat kebangsaan selepas Kalmaegi meninggalkan kesan paling dahsyat tahun 2025 ini. Beliau dijadual meninjau wilayah Cebu yang paling teruk terjejas, di mana 139 orang dilaporkan terbunuh dan 79 lagi masih hilang.
“Kita kehilangan banyak nyawa… kesannya amat parah,” kata Encik Marcos pada 6 November. “Masalah besar yang kita hadapi sekarang ialah bagaimana mengalihkan pasukan bantuan yang sudah bertugas di Visayas tengah untuk bersiap menghadapi taufan seterusnya.”
Ribut Kalmaegi turut menyebabkan lebih 560,000 penduduk dipindahkan ke pusat perlindungan kecemasan, dengan lebih 318,000 masih menetap di situ.
Ketika Vietnam sedang berusaha memulihkan keadaan, satu lagi taufan yang dinamakan Fung-wong (atau Uwan di Filipina) sedang menghampiri pantai barat Filipina. Jabatan Meteorologi Filipina memberi amaran bahawa ribut itu boleh menjadi “super taufan” dengan diameter dianggarkan mencecah 1,400 kilometer sebelum melanda wilayah Aurora atau kawasan berhampiran Manila pada 9 atau 10 November.
“Kami belum pulih daripada Kalmaegi, tetapi sudah ada taufan lain di ufuk,” kata jurucakap Pejabat Pertahanan Awam Filipina, Mike Tagle. “Ini adalah peringatan bahawa Asia Tenggara sedang berhadapan dengan corak cuaca yang semakin ekstrem.”
Vietnam, yang mengalami kira-kira 12 taufan setiap tahun, kini berada dalam tempoh paling mencabar. Dalam dua bulan terakhir, tiga taufan - Ragasa, Bualoi dan Matmo telah menyebabkan lebih 85 kematian dan kerugian mencecah AS$1.36 bilion (S$2.09 bilion).
Saintis memberi amaran bahawa perubahan iklim sedang memperkuatkan intensiti ribut dan mempercepatkan hujan lebat di Asia Tenggara, menjadikan banjir dan taufan seperti Kalmaegi semakin kerap dan sukar diramal.
“Ini bukan lagi bencana luar biasa ini realiti baharu,” kata pakar iklim dari Universiti Hanoi, Dr. Tran Quoc Huy. “Vietnam mesti memperkukuh sistem amaran awal dan infrastruktur tahan banjir sebelum ribut seterusnya tiba.” - Agensi berita


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg