MANILA: Taufan Super Fung-wong membadai pesisir timur Filipina pada 9 November menyebabkan sekurang-kurangnya dua orang maut dan memaksa lebih sejuta orang berpindah ke tempat lebih selamat, kata perkhidmatan cuaca kebangsaan.
Ribut taufan itu, dengan radius yang merangkumi hampir seluruh Filipina, melanda wilayah Aurora di pulau utama Luzon yang paling teruk terjejas.
Fung-wong dijangka membawa angin dan hujan lebat ke beberapa kawasan di negara kepulauan itu, yang minggu lalu menyaksikan lebih 220 orang terkorban akibat Taufan Kalmaegi.
Salah satu wilayah yang telah dilanda ribut taufan di tengah Filipina mencatatkan kematian pertama.
Pegawai penyelamat Encik Juniel Tagarino di Bandar Catbalogan menyatakan mayat seorang wanita berusia 64 tahun yang cuba berpindah telah dikeluarkan daripada bawah serpihan dan pokok tumbang.
“Angin sangat kuat dan hujan lebat... Menurut ahli keluarganya, beliau mungkin terlupa sesuatu dan kembali ke dalam rumahnya,” kata Encik Tagarino.
Pejabat pertahanan awam kemudian mengesahkan kematian kedua apabila seorang penduduk dilaporkan lemas dalam banjir kilat di pulau Catanduanes.
Lebih jauh ke utara, di wilayah Cagayan, orang ramai yang berlindung di pusat pemindahan menyatakan ketakutan terhadap banjir telah menyebabkan mereka segera meninggalkan rumah masing-masing.
Sekolah dan pejabat pemerintah telah ditutup di seluruh Pulau Luzon, termasuk ibu kota Manila yang telah mengambil tindakan membatalkan hampir 300 penerbangan.
Di Catanduanes, sebuah pulau kecil, telah dillanda angin kencang dan hujan, dengan ombak besar menghempas jalan-jalan raya dan air banjir naik di beberapa kawasan.
Rakaman video menunjukkan sebuah gereja di bandar itu hampir ditenggelami banjir.
Banjir juga dilaporkan di wilayah Bicol selatan Luzon, menurut timbalan pentadbir pertahanan awam Encik Rafaelito Alejandro, yang kemudiannya mengesahkan pemindahan awal hampir 1.2 juta orang di seluruh negara.
Di Guinobatan, sebuah pekan dengan kira-kira 80,000 penduduk di wilayah Albay, jalan-jalan raya berubah menjadi limpahan air banjir yang deras.
Taufan Fung-wong dijangka membawa sekurang-kurangnya 200 milimeter hujan ke banyak bahagian Filipina, menurut ahli meteorologi pemerintah.
Para saintis memberi amaran lautan yang lebih panas membolehkan taufan menjadi lebih kuat dengan cepat, dan atmosfera yang lebih panas menyimpan lebih banyak kelembapan, membawa hujan lebat.
Pada 6 November, Presiden Filipina, Ferdinand Marcos Jr, mengisytiharkan darurat selepas Taufan Kalmaegi mengorbankan sekurang-kurangnya 140 nyawa dan menyebabkan hampir 130 orang hilang di wilayah tengah negara itu. - AFP


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg