AS mahu pemimpin baru Iran bawa kestabilan, tolak anak Khamenei sebagai calon
AS mahu pemimpin baru Iran bawa kestabilan, tolak anak Khamenei sebagai calon
Serangan hebat berbalas di Teheran; Saudi pintas tiga peluru berpandu balistik, Sri Lanka beri perlindungan kepada kapal tentera laut Iran
TEHERAN: Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, berkata Washington mahu melihat pemimpin baru yang mampu membawa kestabilan kepada Iran.
Lantaran itu, beliau mahu memainkan peranan dalam menentukan pemimpin Iran yang baharu selepas kematian Ayatollah Ali Khamenei dalam serangan pada awal perang.
Encik Trump menolak kemungkinan anak Khamenei, Mojtaba Khamenei, menggantikan bapanya.
“Anak Khamenei tidak boleh diterima,” katanya kepada portal berita Axios.
“Kami mahu seseorang yang boleh membawa keharmonian dan keamanan kepada Iran,” katanya.
Pada masa sama, Menteri Luar Iran, Encik Abbas Araghchi, menegaskan bahawa Teheran tidak melihat sebarang sebab untuk berunding dengan Amerika ketika ini.
“Kami tidak mengusahakan gencatan senjata dan tidak melihat sebab mengapa kami perlu berunding dengan Amerika,” katanya.
Sementara itu, serangan udara hebat dilaporkan melanda Teheran pada 6 Mac selepas Israel mengumumkan ia sedang menyasarkan “prasarana pemerintah” Iran dalam apa yang disifatkan sebagai fasa baharu perang yang dilancarkan bersama Amerika terhadap negara itu.
Konflik yang memasuki hari ketujuh itu semakin meluas ke seluruh rantau Asia Barat, dengan beberapa negara jiran turut terheret ke dalam ketegangan tersebut.
Tentera Israel sebelum ini memberi amaran kempen ketenteraan terhadap Iran akan memasuki tahap seterusnya bagi melemahkan kemampuan pemerintah Teheran.
Ketua Tentera Israel, Leftenan Jeneral Eyal Zamir, berkata operasi tersebut akan diperhebat bagi meruntuhkan struktur tenaga Iran.
“Kempen ini sedang bergerak ke fasa seterusnya yang akan terus melemahkan pemerintah Iran dan kemampuan ketenteraannya,” katanya dalam kenyataan yang disiarkan di televisyen.
Beliau turut memberi bayangan lebih banyak serangan akan berlaku dalam tempoh terdekat.
“Kami mempunyai beberapa kejutan tambahan yang tidak akan saya dedahkan sekarang,” katanya.
Media Iran melaporkan beberapa letupan besar kedengaran di Teheran awal pagi 6 Mac tidak lama selepas Israel mengumumkan serangan terhadap sasaran yang dikaitkan dengan pemerintah Iran.
Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat, Encik Pete Hegseth, turut mengesahkan serangan udara terhadap Iran akan dipertingkatkan.
“Kuasa tembakan ke atas Iran dan Teheran akan meningkat dengan ketara,” katanya kepada wartawan.
Sebagai tindak balas, Kor Pengawal Revolusi Islam Iran berkata mereka telah melancarkan peluru berpandu ke arah Tel Aviv.
Letupan turut dilaporkan di beberapa wilayah Israel, termasuk Tel Aviv dan Netanya, dengan wartawan agensi berita AFP melaporkan dua gelombang letupan hampir serentak pada lewat malam 5 Mac.
Konflik tersebut turut menjejas Lebanon selepas kumpulan Hezbollah yang disokong Iran melancarkan serangan peluru berpandu terhadap Israel sebagai tindak balas terhadap perang itu.
Israel kemudian melancarkan beberapa siri serangan udara ke atas Lebanon.
Kementerian Kesihatan Lebanon berkata jumlah korban akibat serangan Israel kini meningkat kepada 123 orang.
Puluhan ribu penduduk terpaksa meninggalkan rumah mereka selepas Israel memberi amaran beberapa kawasan berisiko menjadi sasaran serangan.
Agensi berita rasmi Lebanon melaporkan kawasan pinggir selatan Beirut kini hampir kosong selepas penduduk melarikan diri.
Ratusan keluarga yang kehilangan tempat tinggal dilihat berlindung di pantai Beirut.
Seorang lelaki berusia 61 tahun yang hanya mahu dikenali sebagai Encik Yousef berkata beliau terpaksa bermalam di pantai buat kali kedua selepas meninggalkan rumahnya.
“Semuanya bergantung kepada nasib sama ada kita hidup atau tidak,” katanya.
“Hanya Tuhan yang mencipta kita yang boleh mengambil nyawa kita.”
Beliau berkata keluarganya telah dihantar ke Syria untuk keselamatan sementara beliau masih mempertimbangkan sama ada mahu pulang ke rumahnya.
“Mengapa perang ini berlaku?” katanya dengan nada penuh keputusasaan.
Konflik itu turut memberi kesan kepada beberapa negara Teluk.
Qatar berkata sistem pertahanan udaranya berjaya memintas sebuah dron yang menyasarkan pangkalan tentera Amerika di Al-Udeid.
Bahrain pula melaporkan Iran menyasarkan sebuah hotel dan dua bangunan kediaman di ibu kota negara itu, namun tiada korban jiwa dilaporkan.
Arab Saudi memaklumkan ia berjaya memintas tiga peluru berpandu balistik yang menyasarkan Pangkalan Udara Prince Sultan.
Sejak perang bermula, sekurang-kurangnya 13 orang terbunuh di negara-negara Teluk, termasuk seorang kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun di Kuwait.
Di perairan Sri Lanka, negara itu memberikan perlindungan kepada sebuah kapal tentera laut Iran bersama 208 kru pada 5 Mac, sehari selepas sebuah kapal selam Amerika menenggelamkan kapal frigat Iran di Lautan Hindi.
Kapal bantuan IRINS Bushehr memohon kebenaran untuk berlabuh di Sri Lanka selepas Amerika menyerang frigat IRINS Dena, yang dalam pelayaran pulang selepas menyertai latihan tentera laut anjuran India di Visakhapatnam dari 15 hingga 25 Februari lepas.
Manakala Azerbaijan pula mengancam tindakan balas selepas sebuah dron meletup berhampiran lapangan terbang di negara itu.
Sebuah yayasan negara Iran memaklumkan jumlah korban akibat serangan Amerika dan Israel di negara itu kini meningkat kepada 1,230 orang, namun angka tersebut tidak dapat disahkan secara bebas.
Tentera Amerika pula mengesahkan enam anggota tenteranya terbunuh sejak konflik bermula, manakala sekurang-kurangnya 11 orang terbunuh di Israel.
Walaupun beberapa pegawai tentera Amerika berkata serangan Iran semakin berkurangan, Washington menegaskan operasi ketenteraan akan diteruskan.
“Kami baru sahaja memulakan pertempuran ini dan akan terus berjuang dengan tegas,” kata Encik Hegseth.
Konflik tersebut kini turut memberi kesan kepada ekonomi sejagat, termasuk pasaran tenaga dan perjalanan antarabangsa, dengan beberapa pasaran saham Asia mencatat penurunan susulan ketidakpastian yang berterusan. – Agensi berita.

