WASHINGTON/TEHERAN: Amerika Syarikat dan Iran terus menghantar isyarat bercanggah mengenai syarat yang diperlukan untuk mencapai perjanjian damai bagi menamatkan perang Asia Barat, dengan isu dana Iran yang dibekukan di luar negara kini menjadi pertikaian utama dalam rundingan kedua-dua pihak.

Media pemerintah Iran melaporkan Teheran tetap berkeras bahawa rundingan bermakna tidak boleh dimulakan selagi berbilion dolar milik negara itu yang dibekukan di bank asing tidak dilepaskan.

Bagaimanapun, seorang pegawai kanan pentadbiran Amerika yang enggan dikenali berkata Iran perlu terlebih dahulu menyerahkan uranium diperkaya tinggi sebelum sebarang pelepasan dana boleh dipertimbangkan.

“Tiada debu, tiada dolar,” katanya, merujuk kepada istilah yang digunakan Presiden Amerika, Encik Donald Trump, terhadap uranium diperkaya tinggi Iran yang digelarnya sebagai ‘debu nuklear’.

Encik Trump turut menegaskan Washington masih mengawal dana Iran yang dibekukan.

“Kami mengawal wang yang mereka dakwa milik mereka. Kami akan terus mengawalnya.

“Apabila mereka berkelakuan baik dan melakukan perkara yang betul, kami akan benarkan mereka mendapatkan wang itu.

“Tetapi buat masa ini, kami tidak melakukannya,” katanya ketika mesyuarat Kabinet di Rumah Putih pada 27 Mei.

Isu dana terbabit menjadi tuntutan penting bagi Teheran, yang berdepan tekanan ekonomi akibat sekatan Barat selama beberapa dekad serta konflik terbaru dengan Amerika dan Israel.

Perbezaan pendirian antara kedua-dua negara menunjukkan Washington dan Teheran masih jauh daripada mencapai kata sepakat mengenai perjanjian damai.

Menurut agensi berita Iran, Tasnim, Teheran kini menuntut pelepasan AS$12 bilion ($15.3 bilion) daripada keseluruhan AS$24 bilion dana Iran yang dibekukan di luar negara.

Qatar, yang menyimpan sebahagian dana berkenaan, kini bertindak sebagai pengantara dalam rundingan tersebut, dengan pegawai Iran dan Qatar dilaporkan bertemu pada 25 Mei.

Tasnim melaporkan pada 27 Mei, terdapat kemajuan ke arah pelepasan dana AS$12 bilion itu, namun butiran akhir masih belum dimuktamadkan.

Bagi Encik Trump, membenarkan Iran mengakses dana itu sebelum perjanjian rasmi dimeterai dianggap langkah yang sukar diterima, terutama selepas beliau berulang kali mengkritik perjanjian nuklear Iran era mantan presiden, Encik Barack Obama, pada 2015.

Perjanjian tersebut sebelum ini menyaksikan sekatan terhadap Iran dilonggarkan sebagai pertukaran kepada sekatan program nuklear Teheran.

Pada Januari 2016, ketika perjanjian itu dilaksanakan, Iran membebaskan empat rakyat Amerika yang ditahan dan pentadbiran Obama menghantar AS$1.7 bilion kepada Teheran untuk menyelesaikan pertikaian kewangan lama.

Pembayaran pertama sebanyak AS$400 juta dalam bentuk wang tunai asing diterbangkan ke Iran, tindakan yang kemudian dikritik hebat pihak lawan politik dan dikenali sebagai skandal ‘Longgokan Wang Tunai’.

Pada 25 Mei, Encik Trump memuat naik dua gambar di media sosial yang membandingkan dasar Iran era Encik Obama dan pentadbirannya sendiri.

Satu gambar memaparkan longgokan wang tunai dengan tajuk ‘Dasar Iran Obama’, manakala satu lagi menunjukkan kapal perang Amerika menembak pesawat pejuang dengan tajuk ‘Dasar Iran Trump’.

Walaupun Encik Trump terus mengkritik pendekatan Obama sedekad kemudian, pemerhati berkata masih belum jelas bagaimana potensi perjanjian damainya kali ini akan berbeza.

Zamil kanan di Yayasan Pertahanan Demokrasi, Encik Miad Maleki, berkata terdapat jalan tengah yang membolehkan Washington memberi konsesi kepada Iran tanpa melonggarkan sekatan secara besar-besaran.

Menurut beliau, pelepasan dana Iran boleh dilakukan secara terhad seperti yang pernah berlaku pada 2023 apabila sebahagian dana Iran di Korea Selatan dan Iraq dipindahkan ke Oman dan Qatar susulan rundingan pembebasan tebusan.

Ketika itu, Iran dibenarkan menggunakan sebahagian dana untuk tujuan kemanusiaan seperti import makanan dan produk pertanian, namun wang tersebut tidak disalurkan terus kepada pemerintah Iran.

“Jika Iran mendesak dana dimasukkan terus ke akaun mereka, itu sudah dianggap sebagai pelonggaran sekatan,” katanya.

Beliau berkata langkah sedemikian akan menjadi keputusan sukar bagi pentadbiran Trump kerana ia berlaku sebelum Iran bersetuju mengehadkan program nuklearnya.

Mantan pegawai Jabatan Perbendaharaan Amerika, Encik Alex Zerden, pula berkata memberi akses kepada dana Iran bercanggah dengan kempen ‘tekanan maksimum’ Washington terhadap ekonomi Teheran.

Namun menurut beliau, sepanjang perang berlangsung, pentadbiran Encik Trump dilihat beberapa kali mengubah pendekatan terhadap tekanan ekonomi ke atas Iran.

Pada Mac lalu, Washington memberi kebenaran sementara kepada penjualan minyak Iran yang sudah berada di laut bagi mengurangkan tekanan harga tenaga global sebelum kembali mengetatkan sekatan pada April dengan mengumumkan sekatan terhadap pelabuhan dan kapal berkaitan Iran.

Encik Zerden berkata masih belum jelas sama ada Iran benar-benar berkeras dengan tuntutan AS$12 bilion itu atau bersedia menerima jumlah lebih kecil.

Namun menurutnya, pendirian Amerika kini turut berubah berbanding era pentadbiran Trump sebelum perang bermula.

“Apa yang sebelum ini dianggap mustahil kini sudah berada di atas meja rundingan,” katanya. – Agensi berita.