Teheran ke Geneva sambung pusingan kedua rundingan nuklear dengan AS
Teheran ke Geneva sambung pusingan kedua rundingan nuklear dengan AS
GENEVA: Menteri Luar Iran Seyed Abbas Araghchi berlepas ke Switzerland pada 15 Februari bagi menyertai pusingan kedua rundingan nuklear tidak langsung antara Teheran dengan Washington, ketika perbezaan tuntutan kedua-dua pihak terus menyerlah dan membayangkan proses diplomasi yang rapuh.
Kementerian Luar Iran memaklumkan Encik Araghchi mengetuai delegasi diplomatik dan teknikal ke Geneva untuk rundingan yang dijadual berlangsung pada 17 Februari dengan pengantaraan Oman.
Semasa lawatan itu, Encik Araghchi turut dijangka bertemu Menteri Luar Switzerland , Encik Ignazio Cassis; Menteri Luar Oman, Encik Sayyid Badr bin Hamad Al Busaidi; serta Ketua, Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA), Encik Rafael Grossi.
Perbincangan baru itu menyusul beberapa bulan selepas rundingan terdahulu runtuh berikutan kempen pengeboman Israel terhadap Iran pada 2025 yang mencetuskan perang selama 12 hari.
Rundingan pertama pada 6 Februari di Muscat disifatkan kedua-dua pihak sebagai “permulaan baik”, namun, ia tidak menghasilkan kemajuan ketara.
Delegasi Iran sebelum ini dipimpin Encik Araghchi, manakala pasukan Amerika Syarikat diketuai Utusan Khas Timur Tengah, Encik Steve Witkoff.
Switzerland memainkan peranan penting sebagai saluran diplomatik antara kedua-dua negara sejak Washington memutuskan hubungan dengan Teheran selepas krisis tebusan 1980.
Menjelang rundingan Geneva, pegawai Iran memberi isyarat terbuka tetapi menetapkan syarat jelas.
Timbalan Menteri Luar, Encik Majid Takht-Ravanchi, berkata Iran sanggup menunjukkan fleksibiliti terhadap program nuklearnya jika sekatan ekonomi ditarik balik.
Beliau mengesahkan Iran bersedia membincangkan pencairan uranium diperkaya 60 peratus sebagai bukti tolak ansur, tetapi menolak tuntutan pengayaan sifar.
“Ia bukan lagi dalam agenda,” katanya sambil menegaskan program peluru berpandu Iran tidak boleh dirunding.
Timbalan Menteri Luar bagi diplomasi ekonomi Encik Hamid Ghanbari pula berkata Teheran mahu perjanjian yang memberi manfaat ekonomi kepada kedua-dua negara.
“Untuk perjanjian itu berdaya maju, Amerika Syarikat juga mesti mendapat manfaat dalam sektor pulangan ekonomi pantas,” katanya.
Beliau menambah rundingan terdahulu menyentuh kemungkinan pelaburan bersama dalam tenaga dan perlombongan serta pembelian pesawat buatan Amerika Syarikat, selain menuntut pembebasan aset Iran yang dibekukan di luar negara “secara nyata dan boleh digunakan”.
Ketika rundingan berlangsung, retorik ketenteraan terus meningkat. Ketua Turus Angkatan Tentera Iran, Encik Abdolrahim Mousavi, memberi amaran keras kepada Washington.
“Jika Trump mahukan perang dengan Iran, mengapa bercakap tentang rundingan? Konflik akan mengajarnya satu pengajaran,” katanya.
Di Washington, Setiausaha Negara, Encik Marco Rubio, menegaskan Presiden Donald Trump masih mengutamakan diplomasi.
“Tiada sesiapa pernah berjaya mencapai perjanjian dengan Iran, tetapi kami akan cuba,” katanya pada sidang media di Bratislava.
Namun Encik Trump sendiri tidak menolak pilihan ketenteraan.
“Jika rundingan gagal, kita akan ke fasa kedua. Fasa kedua akan sangat sukar bagi mereka,” katanya kepada wartawan.
Amerika turut mengerahkan kapal induk, USS Gerald R Ford, menyertai USS Abraham Lincoln dan beberapa kapal pemusnah peluru berpandu di Asia Barat, menambah tekanan ke atas Teheran.
Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, selepas bertemu Encik Trump di Washington, berkata presiden Amerika itu bertekad meneroka semua kemungkinan perjanjian.
Bagaimanapun beliau menegaskan syarat ketat bagi sebarang persetujuan.
“Sebarang perjanjian mesti melibatkan penyingkiran bahan nuklear, penghentian pengayaan uranium dan sekatan peluru berpandu balistik,” katanya.
Laporan media Amerika turut menyebut Washington mempertimbangkan sokongan operasi kepada Israel sekiranya rundingan gagal, termasuk bantuan pengisian bahan api udara dan laluan penerbangan.
Dengan kapal perang Amerika berkumpul di rantau itu dan Iran menegaskan garis merahnya, pusingan rundingan Geneva dilihat sebagai ujian genting sama ada diplomasi masih mampu membuka jalan damai atau sekadar mendahului konfrontasi lebih besar.
Walaupun kedua-dua pihak bercakap mengenai tolak ansur, tuntutan asas masih jauh berbeza.
Washington menuntut sekatan program nuklear dan peluru berpandu, manakala Teheran mahu jaminan ekonomi dan pengiktirafan hak pengayaan.
Perbezaan itu menjadikan rundingan pada 17 Februari berpotensi menentukan sama ada konflik berpanjangan dapat dielakkan atau ketegangan bakal meningkat ke tahap baharu. – Agensi berita.

