Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Tekanan antarabangsa memuncak selepas Israel disah laku genosid

Sep 17, 2025 | 1:08 PM
israel, genosid
Sebuah papan iklan di Times Square, di New York, Amerika Syarikat memaparkan mesej, ‘Israel sedang melakukan genosid’, sebagai sebahagian daripada kempen ‘Game Over Israel’ yang menggesa persekutuan bola sepak kebangsaan memboikot Israel berhubung perang di Gaza, 16 September. - Foto REUTERS

GAZA/NEW YORK: Kumpulan hak asasi manusia utama dunia, pakar undang-undang serta sarjana genosid mendesak tindakan segera diambil terhadap Israel selepas siasatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mengesahkan perang di Gaza memenuhi takrif undang-undang sebagai genosid terhadap rakyat Palestin.

Laporan siasatan selama dua tahun PBB itu menyatakan bahawa kenyataan beberapa menteri Israel jelas menunjukkan “niat khusus” untuk memusnahkan rakyat Palestin.

Ia merujuk kepada serangan besar-besaran terhadap orang awam, sekatan makanan dan air, serta jumlah korban yang jauh lebih tinggi berbanding konflik terdahulu.

Israel menafikan dakwaan tersebut, dengan mengatakan pihaknya tidak melakukan genosid, tidak menyebabkan kebuluran, dan tidak menyasarkan orang awam secara sengaja.

Presiden Ireland, Encik Michael D Higgins, menyifatkan laporan itu sebagai dokumen penting.

“Saya fikir ia dokumen yang amat penting, dan pengerusi kumpulan kerja ini pernah memimpin siasatan Rwanda.

“Laporan ini menyatakan dengan jelas bahawa empat daripada tindakan utama dalam Konvensyen Genosid 1948 telah dipenuhi,” katanya kepada wartawan pada 16 September.

Beliau menambah: “Laporan ini turut menyebut bahawa hasutan ke arah genosid wujud, khususnya melalui bahasa yang digunakan oleh pemimpin kanan Israel untuk menggalakkan kekejaman itu.

“Israel dan negara yang membekalkan senjata kepadanya seharusnya dikecualikan daripada PBB.”

Pertubuhan hak asasi antarabangsa, Amnesty International, menggesa kerajaan Britain mengambil tindakan segera.

“Kami menyambut baik penemuan suruhanjaya PBB bahawa Israel sedang melakukan genosid di Gaza, ia satu detik penting dan perlu,” kata Cik Kristyan Benedict, pengurus tindak balas krisis organisasi itu.

“Kerajaan mesti mengubah pendiriannya dan bertindak tanpa lengah.

“Semua negara, termasuk Britain, mempunyai tanggungjawab undang-undang yang jelas di bawah Konvensyen Genosid,” ujarnya.

Sementara itu, Persatuan Antarabangsa Sarjana Genosid dengan keanggotaan kira-kira 500 pakar, termasuk pakar Holocaust meluluskan ketetapan bahawa tindakan Israel memenuhi takrif undang-undang bagi genosid, selain jenayah terhadap kemanusiaan dan jenayah perang.

“Pakar yang meneliti isu genosid dapat mengenal pasti keadaan ini dengan jelas sebagaimana ia berlaku,” kata presiden persatuan, Cik Melanie O’Brien.

Kementerian Luar Israel menolak laporan itu sebagai “memalukan bagi profesion undang-undang dan piawaian akademik”.

Pihaknya mendakwa keputusan tersebut “sepenuhnya berdasarkan kempen pembohongan Hamas”.

Namun dua organisasi hak asasi Israel sendiri B’Tselem dan Physicians for Human Rights-Israel pada Julai lalu menuduh negara itu melakukan genosid di Gaza.

Walaupun tidak mewakili arus perdana Israel, ia adalah kali pertama kumpulan Yahudi tempatan membuat dakwaan sedemikian.

Pakar undang-undang antarabangsa Australia, Encik Don Rothwell, berkata negaranya wajib menggunakan segala cara untuk mencegah genosid, termasuk menghentikan pemindahan senjata atau bahan lain yang boleh digunakan Israel.

“Jawapannya adalah ya, Australia ada tanggungjawab,” katanya.

Kumpulan Selamatkan Kanak-kanak Australia pula memberi amaran bahawa mereka terpaksa mengagihkan suplemen nutrisi kepada kakitangan bagi mengelakkan anak-anak mereka kebuluran.

Menteri Luar Australia, Cik Penny Wong, menegaskan pemerintah Israel semakin terasing kerana menafikan bantuan kemanusiaan dan membunuh orang awam yang mencari makanan serta air.

Di Eropah, Sepanyol membatalkan perjanjian hampir 700 juta Euro ($1.05 bilion) bagi membeli pelancar roket dari syarikat Israel Elbit Systems, selain kontrak 287 juta Euro untuk pelancar antikereta kebal.

Perdana Menteri Pedro Sanchez turut menggesa Israel digantung daripada acara sukan antarabangsa.

Lebih 65,000 nyawa telah terkorban di Gaza sejak perang bermula, menurut Kementerian Kesihatan tempatan.

Pemimpin 20 agensi bantuan utama menggambarkan keadaan kemanusiaan sebagai “tidak pernah berlaku sebelum ini”, dengan Israel menyekat bekalan asas dan bantuan. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg