Subuh
5:37
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Dunia
28
0

Teknologi cam muka satukan budak hilang selama 25 tahun di China

Dec 05, 2023 | 04:14 PM



XINGTAI (China): Ia mengambil masa selama 25 tahun, tetapi Encik Xie Kefeng yang berusia 52 tahun, akhirnya disatukan semula pada 1 Disember, dengan anaknya, yang telah diculik daripada ibu bapanya semasa bayi.


Kuasa teknologi, khususnya algoritma perbandingan muka, yang mengambil kira perubahan berkaitan usia dan persamaan keluarga, memainkan peranan utama dalam membawa hasil yang menggembirakan.

Pada 1998, Encik Xie dan isterinya tinggal di Xingtai, wilayah Hebei, di mana mereka menjalankan perniagaan kecil-kecilan.

Beberapa hari sebelum Pesta Musim Bunga pada 1998, isteri Encik Xie keluar dari rumah untuk membeli barangan runcit, meninggalkan anak kedua mereka, Xie Qingshuai, yang berusia tiga bulan, di atas katil dengan pintu rumahnya tidak berkunci.

Apabila beliau kembali 10 minit kemudian, bayi itu telah hilang.

Pasangan itu melaporkan kejadian tersebut kepada polis, dan menggerakkan saudara-mara dan rakan-rakan untuk mencari hingga ke beberapa buah bandar dan wilayah, tetapi kanak-kanak itu tidak juga ditemui.

Memandangkan tiada gambar bayi itu, lukisan artis digunakan pada notis pemberitahuan tentang penculikan itu.

Encik Xie meneruskan pencariannya, menghabiskan hampir semua wang simpanannya dalam proses tersebut.

Mereka cuba meneruskan kehidupan tetapi peristiwa penculikan itu teruk melanda pasangan suami isteri itu.


Ibu kanak-kanak lelaki tersebut mengalami kemurungan dan terus mengambil ubat selama hampir 10 tahun.


Pada masa ini, pasangan tersebut terus bekerja dan mencari, berharap dapat memberikan anak mereka kehidupan yang lebih baik apabila beliau kembali.


“Saya sentiasa percaya bahawa beliau masih hidup dan akhirnya saya akan menemuinya,” kata Encik Xie, dalam laporan akhbar, China Daily.


Pada November 2023, Encik Xie menerima panggilan daripada polis yang memaklumkan kepadanya bahawa teknologi perbandingan muka telah membantu menemukan anaknya yang hilang itu.

Perbandingan DNA mengesahkan bahawa itu memang anaknya yang telah lama hilang.

Dua orang telah terlibat dalam penculikan tersebut. Seorang sudah meninggal dunia dan seorang lagi sedang ditahan polis. Seorang perantara yang menjual bayi itu, turut ditahan.

Encik Xie Qingshuai, yang kini bekerja di Chengdu di wilayah Sichuan, telah bertemu semula dengan ibu bapa dan abangnya pada 1 Disember dan bertemu dengan dua kakaknya buat kali pertama.

Tanpa diketahui keluarganya, dia telah dijual kepada pasangan yang tinggal di Handan, sebuah bandar di Hebei.

Selepas lelaki yang dikenali sebagai bapanya, meninggal dunia, isterinya berkahwin semula dan berpindah, meninggalkan Encik Xie Qingshuai untuk dibesarkan oleh datuk nenek angkatnya.


Pada 3 Disember, Beijing DeepGlint Technology Co, sebuah syarikat teknologi kecerdasan buatan (AI), mengumumkan di akaun media sosial rasmi, Sina Weibo, bahawa algoritma perbandingan muka yang diciptanya telah memainkan peranan penting dalam pertemuan semula tersebut.


Dalam video yang disertakan, syarikat itu menjelaskan bahawa kebanyakan kanak-kanak yang diculik dipisahkan daripada keluarga mereka pada usia muda.

Penampilan mereka melalui perubahan ketara seiring masa sekali gus menimbulkan cabaran kepada siasatan polis.

Berdasarkan prinsip bahawa ciri wajah dalam kalangan saudara-mara cenderung serupa, algoritma syarikat dapat mengenal pasti padanan berpotensi yang sangat relevan.

Ia meningkatkan kecekapan proses carian dengan ketara.

Syarikat itu berkata ia menggunakan gambar kedua-dua ibu bapa dan abang lelaki itu untuk membantu algoritma perbandingan muka mengecilkan carian kepada lima kemungkinan.

Ia berkata bahawa Encik Xie Qingshuai adalah orang keempat yang diculik, yang telah dapat membantu polis, mengesan mangsa dalam tempoh enam bulan.

Encik Shen Junliang, seorang lagi bapa yang bertemu semula dengan anak lelakinya yang diculik pada 2020 selepas 15 tahun mencari, berkata di Weibo pada 2 Disember, bahawa teknologi pengecaman muka sangat membantu dalam pencarian kanak-kanak yang hilang, menawarkan harapan kepada banyak keluarga.


Biro Siasatan Jenayah, Kementerian Keselamatan Awam berkata, ia mahu mempromosikan penggunaan teknologi, termasuk teknologi pengecaman muka, untuk memerangi pemerdagangan kanak-kanak dan membantu menyatukan semula kanak-kanak yang diculik dengan ibu bapa kandung mereka.

Pada 2009, kementerian itu menubuhkan pangkalan data DNA kebangsaan, untuk memerangi penculikan dan pemerdagangan kanak-kanak.

Pada Mei 2016, ia menubuhkan Platform Pengeluaran Maklumat Kecemasan untuk Kanak-kanak Hilang, yang dikenali sebagai ‘Sistem Penyatuan Semula’ atau ‘System Reunion’.

Dengan memberi tumpuan kepada lokasi kehilangan kanak-kanak itu, sistem itu boleh menyebarkan maklumat berkaitan kehilangan, kepada orang ramai dalam melalui 25 aplikasi mudah alih dan pelbagai saluran media baharu.

Hingga Julai 2022, kementerian itu telah menubuhkan 5,000 pusat pengumpulan darah percuma di seluruh negara.

Ia bertujuan memudahkan pengumpulan darah, tepat pada masanya untuk keluarga yang memerlukan padanan DNA. – Agensi berita.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >