Topic followed successfully
Go to BHkuTembok laut dibina selamatkan Jakarta dari ditenggelami air
Tembok laut dibina selamatkan Jakarta dari ditenggelami air
Tembok laut dibina selamatkan Jakarta dari ditenggelami air
JAKARTA: Ketika Presiden Indonesia, Encik Joko ‘Jokowi’ Widodo, meneruskan rancangan memindahkan ibu kota ke Kalimantan, pihak berkuasa tempatan Jakarta dilaporkan masih terdesak mencari penyelesaian terhadap bencana banjir di Jakarta yang menenggelamkan banyak rumah dan jalan utama.
Ibu negara Indonesia itu antara bandar raya paling pantas tenggelam.
Ia menyebabkan pakar alam sekitar memberi amaran satu pertiga mungkin tenggelam menjelang 2050 jika kegiatan pengambilan simpanan air bawah tanah, peningkatan paras air laut dan corak cuaca luar biasa berterusan.
Langkah penjagaan alam sekitar sedia ada hanya memberi sedikit kesan, memaksa pihak berkuasa mengambil tindakan drastik, termasuk memindahkan pusat pentadbiran Indonesia ke lokasi baru, Ibu Kota Nusantara di Kalimantan.
Ia dianggap antara cara pemuliharaan dan mungkin jalan penyelamat terakhir kepada ibu kota Jakarta dengan seramai 10 juta penduduk itu.
Dalam tempoh 30 tahun saja hingga 2019, Jakarta telah tenggelam sedalam 3.9 meter.
Justeru, Indonesia perlu mencari ibu negara baru sekarang demi jaminan masa depan.
Apatah lagi kerana Jakarta adalah bandar ketiga paling padat di dunia dan disebabkan jumlah penduduk seramai itu, permukaan bawah tanahnya tidak lagi stabil.
Menyedari potensi bahaya itu, Indonesia sedang dalam proses pembinaan benteng pasang surut sepanjang 3.6 kilometer (km) di Semarang, Jawa Tengah, dengan peruntukan 386 bilion rupiah ($31.8 juta).
Pada 19 Jun, Encik Jokowi berkata benteng yang terletak di Kampung Nelayan, Tambak Lorok itu dipasang untuk mengurangkan banjir pasang surut dalam tempoh tiga dekad akan datang.
Menurutnya, benteng yang dijangka siap pada Ogos 2024 itu berpotensi menjadi contoh projek serupa di kawasan pantai lain yang mudah terjejas.
Menurut kenyataan Sekretariat Presiden, projek itu kini sudah 85 peratus siap dan dijangka selesai mengikut jadual pada Ogos 2024, termasuk penyusunan semula Kampung Nelayan.
Projek itu merangkumi pembinaan tembok laut bagi kawasan seluas 20 hektar dan dua kolam takungan untuk mengurangkan risiko banjir, bersama dua rumah pam yang mampu mengepam 3×500 liter sesaat setiap satu.
Dilaksanakan dalam dua fasa, daya usaha itu pada mulanya bagi memastikan keselamatan limbungan kapal semasa fasa pertama pada 2016 dan 2017.
Fasa kedua yang sedang berlangsung – iaitu pada 2022 hingga 2024 – bertujuan untuk melindungi kawasan kediaman, kemudahan sosial dan kemudahan awam di sekitar Tambak Lorok.
Jabatan Sumber Air (SDA) Jakarta menyatakan pembinaan benteng pantai itu adalah bagi menangani bencana banjir akibat fenomena air pasang besar, lapor stesen penyiaran CNN Indonesia.
Ketua SDA Jakarta, Encik Yusmada Faizal, berkata pembinaan benteng pantai yang terletak di Kampung Nelayan adalah sebahagian daripada benteng sepanjang 46 kilometer yang dibina.
Pemangku Gabenor Jakarta, Encik Heru Budi Hartono, berkata pembinaan benteng dalam program Pembangunan Pantai Bersepadu Ibu Negara (NCICD), baik benteng pantai mahupun benteng laut perlu disiapkan segera bagi memastikan keselamatan Jakarta daripada ancaman banjir apabila air pasang.
“Kalau ingin Jakarta aman, kita harus membangun tembok laut atau tembok laut gergasi dan benteng pantai,” kata Encik Heru.
Sekitar 10 juta penduduk kawasan rendah berdekatan pantai yang asalnya kawasan paya, terdedah kepada ancaman ombak dan banjir seperti yang berlaku pada 2013 apabila ditenggelami banjir sedalam dua meter.
Pakar bersetuju pengambilan air bawah tanah secara berlebihan untuk kegunaan penduduk dan komersial adalah antara punca mendapan itu.
Pengeluaran berleluasa air bawah tanah menyebabkan ikatan tanah menjadi longgar sehingga Jakarta mendap 25 sentimeter setahun di sesetengah kawasan – dua kali ganda purata sejagat untuk bandar besar tepi pantai.
Dibina dalam zon gempa bumi di kawasan paya, berhampiran 13 sungai, tekanan terhadap asas bandar raya Jakarta itu semakin kuat akibat pembangunan luar kawalan, lalu lintas sesak dan perancangan bandar yang buruk.
Hari ini, sesetengah kawasan di bandar raya itu berada kira-kira empat meter di bawah paras laut, sekali gus mengubah persekitaran, menyebabkan jutaan penduduk terdedah kepada bencana alam.
Namun, rancangan membina tembok besar itu sebelum ini mendapat bantahan, termasuk nelayan yang bimbang hasil tangkapan berkurangan.
Belanda, negara yang kedudukannya lebih rendah berbanding paras laut, meminjamkan pakar mereka.
Muncul cadangan membina tembok besar yang akan menutup Teluk Jakarta dengan kos sehingga AS$40 bilion ($54.2 bilion).
Rancangan itu muncul pada 2014, dikenali sebagai ‘Garuda Besar’, membabitkan meninggikan dan memperkukuh kawasan pantai di Teluk Jakarta serta membina tembok.
Jika dilihat dari udara, ia akan kelihatan seperti burung garuda, burung kebangsaan Indonesia, namun pelannya kemudian ditukar untuk memasukkan pembangunan 17 pulau buatan.
Projek yang membina pulau buatan di Teluk Jakarta itu bertindak sebagai penampan Laut Jawa.
Tembok besar tepi pantai bernilai AS$40 bilion itu diharap akan dapat menyelesaikan masalah ibu kota yang kian tenggelam itu.
“Membina tembok bukan penyelesaian kekal.
“Kita perlu ke langkah berikutnya dan memperbaiki sistem pengurusan air,” kata Encik Heri Andreas, saintis bumi di Institut Teknologi Bandung. – Agensi berita.
“
Kalau ingin Jakarta aman, kita harus membangun tembok laut atau tembok laut gergasi dan benteng pantai.”
