Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Tender pelan terperinci estet perumahan di tapak lumba kuda Kranji akan dibuka 2026

Dec 1, 2025 | 4:54 PM
lumba kuda, perumahan, baru
Beginilah imej yang dijana oleh kecerdasan buatan bagi kawasan perumahan masa depan di tapak Lumba Kuda Singapura di Kranji. - Foto URA

Tender pelan terperinci untuk estet perumahan yang akan datang di tapak Litar Lumba Kuda Singapura di Kranji akan dibuka pada 2026.

Pelan akan terbentuk dalam dekad yang akan datang dan akan dibangunkan melalui perancangan induk serta perundingan reka bentuk bandar, kata Penguasa Pembangunan Semula Bandar (URA) pada 1 Disember, ketika ia mengumumkan bahawa Pelan Induk 2025 telah diwartakan, lapor The Straits Times.

Dalam satu kenyataan, URA juga berkata ia akan memberikan maklumat terkini tentang pelan untuk pembangunan Daerah Tasik Jurong tidak lama lagi, dan berusaha mengaktifkan tapak kosong di Marina Bay untuk kegunaan sukan serta gaya hidup buat sementara.

Pelan induk itu, yang sah di sisi undang-undang, melakar pembangunan Singapura untuk 10 hingga 15 tahun akan datang.

Ia dikaji semula setiap lima tahun sekali.

URA berkata bahawa agensi pemerintah mencari idea untuk tapak litar lumba kuda Kranji pada Ogos – bercakap dengan penduduk kawasan tersebut, kumpulan alam semula jadi, badan profesional dan ahli akademik.

“Melalui lawatan tapak dan perbincangan kumpulan fokus, para peserta membincangkan cara-cara untuk merancang estet yang inklusif dan menarik dengan memanfaatkan kenangan serta karakter desa Kranji dan jaraknya yang dekat dengan Koridor Alam Kranji,” kata URA.

Litar lumba kuda itu mengadakan perlumbaan terakhirnya pada Oktober 2024.

Menurut URA, pengunjung pameran Draf Pelan Induk 2025 – yang diadakan dari 25 Jun hingga 29 November di Pusat URA, dan juga di seluruh Singapura – menyatakan kawasan kejiranan itu harus mempunyai ketersambungan pengangkutan yang baik, ruang hijau dan biru, serta tarikan luar berasaskan alam semula jadi untuk keluarga.

Pameran itu dikunjungi oleh hampir 250,000 orang.

Idea-idea ini akan dipertimbangkan semasa fasa perancangan induk dan reka bentuk bandar, kata URA.

Di Bukit Timah Turf City – satu lagi litar lumba kuda yang akan dibangunkan semula untuk perumahan – kerja-kerja penyediaan tanah akan bermula tidak lama lagi.

Agensi pemerintah akan melepaskan tapak perumahan awam dan swasta untuk pembangunan secara progresif pada tahun-tahun akan datang, tambah URA.

Kemudahan yang dirancang untuk estet ini boleh merangkumi kedai runcit, makanan dan minuman, ruang rekreasi, kemudahan sukan dan komuniti, sekolah serta kemudahan penjagaan kanak-kanak, kemudahan penjagaan kesihatan dan pertukaran bas.

Sebahagian daripadanya, kata URA, boleh ditempatkan di 22 bangunan warisan di kawasan itu yang telah diwartakan untuk pemuliharaan dalam pelan induk terkini.

Ia menambah bahawa orang ramai juga boleh menantikan taman alam semula jadi yang akan merangkumi Hutan Eng Neo Avenue, Bukit Tinggi, dan kawasan hutan sedia ada.

Ini akan dihubungkan oleh koridor hijau selebar 100 meter.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg