Kawasan utara Singapura – Woodlands, Kranji dan Sembawang – akan menyaksikan pelaburan dan pembangunan semula sepanjang dekad akan datang, dengan lebih banyak rumah, kemudahan, prasarana komersial dan hiburan akan dibina di daerah tersebut, umum Perdana Menteri, Encik Lawrence Wong.
Ini adalah sebahagian daripada draf pelan induk terkini Penguasa Pembangunan Semula Bandar (URA) yang menetapkan rancangan bagi pembangunan sepanjang 10 hingga 15 tahun mendatang.
Berucap di Rapat Hari Kebangsaan yang diadakan di Institut Pendidikan Teknikal (ITE) Kolej Central pada 17 Ogos, Encik Wong berkata:
“Tanah adalah terhad dan berharga di Singapura.
“Oleh itu, kami akan melakukan apa jua untuk melindungi apa yang kita ada hari ini.
“Pada masa yang sama, kami perlu secara berterusan memperbaharui dan menyegarkan tapak yang sedia ada dan membayangkan semula penggunaan baru untuknya.”
Meskipun ada yang menyebut kawasan utara sebagai lebih ‘ulu’ daripada kawasan lain di Singapura, Encik Wong dalam ucapannya itu telah membentangkan beberapa rancangan dan idea yang bertujuan mempertingkat potensi dan daya tarikan Woodlands, Kranji dan Sembawang.
Woodlands, yang merupakan pintu masuk utara ke negara ini, akan melihat beberapa pembangunan, termasuk kerja peluasan Pusat Pemeriksaan Woodlands, yang akan menjadikan pusat itu lima kali lebih besar daripada saiznya sekarang.
Encik Wong berkata pemerintah telah memperoleh tanah di sekitar Pusat Bandar Woodlands Lama dan akan menambak tanah tambahan.
“Ini bererti pelepasan (imigresen) yang lebih berkesan dan selamat, masa menunggu lebih pendek dan mengurangkan kesesakan trafik,” kesesakan trafik,” kata beliau.
Di samping itu, Woodlands akan menjadi rumah kepada stesen Laluan Sistem Transit Laju (RTS Link) antara Singapura dengan Johor Bahru yang dijangka bermula Disember 2026.
Stesen tersebut akan dihubungkan kepada stesen MRT Woodlands North di Laluan Thomson-East Coast, menjadikan perjalanan rentas sempadan lebih mudah dengan peralihan antara RTS dengan MRT lebih lancar.
Penumpang juga hanya perlu melalui imigresen bagi kedua-dua Singapura dan Malaysia di tempat keberangkatan, yang bermakna mereka tidak perlu beratur sekali lagi untuk imigresen apabila tiba di destinasi ketibaan.
Menurut Encik Wong, Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) mempunyai potensi besar bagi kedua-dua Singapura dan Malaysia memanfaatkan kekuatan yang saling melengkapi dan berkembang bersama.
Namun, untuk memanfaatkan sepenuhnya potensi itu, keterhubungan rentas sempadan perlu dipertingkat, tambah beliau.
Dalam pada itu, ruang perindustrian yang fleksibel juga akan dibina di sekitar stesen RTS Link untuk menyokong perniagaan yang ingin memanfaatkan sepenuhnya JS-SEZ.
Antara lain, Woodlands juga akan melihat sekitar 4,000 unit flat Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) dibina bersebelahan Admiralty Park dalam projek dikenali sebagai ‘Housing by the Woods’.
Lebih jauh ke utara, pemerintah turut memperuntukkan ruang untuk membina lebih banyak rumah, termasuk perumahan awam sepanjang persisiran Woodlands.
Di Kranji pula, tapak balapan lumba kuda di sana seluas sekitar 130 hektar – atau kira-kira 200 padang bola sepak – akan diberi nafas baru, dengan Encik Wong berkata “ia adalah peluang jarang berlaku untuk transformasi besar”.
Stesen MRT baru di Sungei Kadut sedang dibina, yang akan menjadi pusat pertukaran yang menghubungkan Laluan Utara-Selatan dan Laluan Downtown.
Estet perumahan awam baru juga akan dibina di Kranji, dengan terdapat ruang bagi 14,000 rumah baru, lebih banyak daripada kawasan Bidadari.
“Rumah tersebut akan terletak di tengah-tengah kawasan hijau yang subur dan disokong oleh lebih banyak kemudahan, termasuk pusat kejiranan baru di sekitar MRT Kranji.
“Ini akan menjadi pembangunan perumahan baru yang menggabungkan kehidupan moden dengan warisan semula jadi kita yang kaya – ia sesuatu yang kita semua boleh nanti-nantikan dalam masa sekitar 10 tahun,” kata Encik Wong.
Di Sembawang pula, Limbungan Sembawang – yang memainkan peranan penting dalam perindustrian awal Singapura dan menjana pertumbuhan industri maritim negara – akan dibangunkan semula.
Antara ciri menarik kawasan itu ialah dok keringnya, yang boleh dibangunkan semula secara kreatif, seperti mengubahnya menjadi ruang masyarakat untuk sukan, konsert, persembahan dan acara, serta plaza bagi orang ramai berkumpul dengan keluarga dan rakan-rakan.
Encik Wong menambah bahawa baki tapak kawasan tersebut – sekitar tiga kali saiz Pusat Bandar Ang Mo Kio – boleh digunakan untuk “membangunkan sesuatu yang istimewa”.
“Akan terdapat rumah dengan kehidupan di persisiran. Kita boleh mempunyai konsep baru untuk menjamu selera dan membeli-belah, serta ruang masyarakat di sepanjang persiaran.
“Apabila anda menggabungkan semuanya, ini boleh menjadi destinasi persisiran bertenaga baru di kawasan utara – kaya dengan warisan, namun dibayangkan semula untuk masa depan,” kata beliau.
Sepertimana pemerintah telah mengubah dan merealisasikan kawasan Punggol, Encik Wong berkata rancangan bagi Kranji dan Sembawang juga akan menjadi kenyataan dalam tahun-tahun akan datang.
“Apabila ia berlaku, Kranji dan Sembawang akan berkembang sebagai bandar yang lebih bertenaga – penuh dengan kehidupan dan peluang.
“Begitulah caranya kami memastikan setiap bahagian Singapura bersinar – masing-masing dengan ciri tersendiri dan tempat yang kita bangga sebutkan sebagai rumah,” kata beliau.
“
“Tanah adalah terhad dan berharga di Singapura. Oleh itu, kami akan melakukan apa jua untuk melindungi apa yang kita ada hari ini. Pada masa yang sama, kami perlu secara berterusan memperbaharui dan menyegarkan tapak yang sedia ada dan membayangkan semula penggunaan baru untuknya.”Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg