TOKYO: Jepun mencatat musim luruh paling panas sejak rekod bermula 126 tahun lalu, dan menyaksikan musim daun berubah warna di negara itu tertangguh pada Disember.
“Tahun ini (2024), suhu ialah 1.97 darjah Celsius lebih tinggi daripada biasa… menjadikannya musim luruh paling panas sejak 1898, sejak perangkaan bermula,” kata Agensi Meteorologi Jepun di laman webnya pada 2 Disember.
Antara September dengan November, suhu ialah 2.4 darjah Celsius lebih tinggi daripada biasa di Tokyo; 2.9 darjah Celsius lebih tinggi di bandar pusat Nagoya; dan 1.2 darjah Celsius lebih panas di bahagian utara bandar Sapporo.
Cuaca telah menangguhkan musim dedaun luruh di negara tersebut, tempoh para pelancong berpusu-pusu datang untuk melihat daun bertukar warna menjadi kekuningan dan merah cerah.
Di Kyoto, syarikat laluan rel yang terkenal dan mengendalikan kereta api melalui hutan pokok mapel yang diterangi pada waktu malam telah melanjutkan jadualnya kerana warna daun tidak berubah secepat biasa.
Menurut Perbadanan Meteorologi Jepun, masa terbaik untuk melihat daun musim luruh di Tokyo adalah sekitar 5 Disember dan di Osaka pada 9 Disember – kedua-duanya lewat dari biasa.
Jepun merekodkan musim paling panas pada 2024 sedang gelombang haba melampau, yang menurut saintis didorong perubahan iklim yang melanda banyak bahagian dunia.
Litupan salji Gunung Fuji yang terkenal juga tidak kelihatan buat tempoh paling lama yang direkodkan pada 2024, tidak muncul sehingga awal November, berbanding purata awal Oktober. – AFP.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg