Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Tentera AS kaji bina pangkalan untuk pasukan pengaman dekat Gaza

Nov 12, 2025 | 1:05 PM
Gaza, runtuhan
Para penduduk Palestin melewati bangunan yang runtuh ketika gencatan senjata antara Hamas dengan Israel dedang dilaksanakan di Gaza pada 11 November. - Foto REUTERS

GAZA: Tentera Amerika Syarikat sedang mengkaji sama ada untuk membina pangkalan sementara yang mampu menempatkan 10,000 orang berhampiran Jaluran Gaza sebagai sebahagian daripada usahanya untuk pasukan pengaman dari negara lain memantau gencatan senjata antara Israel dengan Hamas.

Tentera laut sedang mendapatkan anggaran kos daripada senarai syarikat prakelayakan untuk “pangkalan operasi tentera sementara yang berdikari dan mampu menyokong 10,000 anggota serta 10,000 kaki persegi ruang pejabat untuk tempoh 12 bulan,” menurut permintaan bagi maklumat kepada kontraktor yang layak.

Permintaan bagi maklumat itu telah mengenal pasti tapak berpotensi sebagai “berhampiran Gaza, Israel”.

Ia dihantar pada 31 Oktober dan maklum balas mengenainya perlu dikemukakan pada 3 November.

Amerika telah mendapatkan sokongan antarabangsa untuk cadangan menghantar tentera asing ke Gaza bagi melaksanakan gencatan senjata antara Israel dengan Hamas yang ditandatangani pada Oktober.

Tentera pengaman tersebut, yang digelar Pasukan Penstabilan Antarabangsa, atau ISF, akan bekerjasama dengan Israel dan Mesir juga untuk membolehkan usaha pembinaan semula selepas lebih dua tahun perang antara Israel dengan Hamas.

“Sebagai sebuah organisasi perancangan, tentera Amerika kini sedang bekerjasama dengan rakan kongsi tentera antarabangsa untuk membangunkan pilihan berpotensi untuk menempatkan tentera antarabangsa” yang akan menjadi sebahagian daripada pasukan tersebut, menurut jurucakap Pemerintah Pusat Amerika, Encik Tim Hawkins.

Menurut beliau, tiada tentera Amerika akan dikerahkan ke Gaza.

Seorang pegawai Amerika, yang juga tidak mahu namanya disebutkan, berkata permintaan bagi maklumat itu merupakan perancangan awal untuk pangkalan berpotensi di selatan Israel bagi pasukan penstabilan.

Amerika telah pun mengerahkan lebih banyak aset ke rantau itu sejak Presiden Donald Trump menyelia pemeteraian gencatan senjata, termasuk pusat arahan dengan 200 tentera Amerika dan rakan kongsi antarabangsa di selatan Israel.

Jurucakap Rumah Putih, Cik Karoline Leavitt, berkata pihaknya belum lagi meluluskan rancangan tersebut, menyifatkan dokumen itu sebagai “satu keping kertas yang dihasilkan oleh orang yang dipilih secara rawak dalam tentera”.

Permintaan bagi maklumat itu bukanlah tawaran rasmi untuk bidaan dan tidak menjamin kontrak masa depan, walaupun ia menawarkan gambaran tentang apa yang diharapkan oleh agensi persekutuan daripada syarikat swasta.

Logistik untuk melucutkan senjata Hamas memerlukan pangkalan yang besar, berasingan daripada pangkalan Israel, menurut Encik Bradley Bowman, pengarah kanan Pusat Kuasa Ketenteraan dan Politik di Yayasan Pertahanan Demokrasi. – Agensi berita.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg