Topik diikuti
Pergi ke BHkuTentera Iran umum henti operasi terhadap Israel
Tentera Iran umum henti operasi terhadap Israel
Pihak komand tentera Iran pada 8 Jun umum ia hentikan operasinya
Tentera Iran umum henti operasi terhadap Israel
TEHERAN: Pihak komand tentera Iran pada 8 Jun mengumumkan ia menghentikan operasinya terhadap Israel selepas kedua-dua pihak berbalas tembakan buat kali pertama sejak gencatan senjata berkuat kuasa pada April.
Iran telah menyampaikan “tindak balas yang menyakitkan” kepada Israel dan “sehubungan itu, pemberhentian operasi angkatan tentera dengan ini diumumkan”, pihak komand Khatam al-Anbiya berkata dalam satu kenyataan yang disiarkan oleh televisyen negara.
“Bagaimanapun, adalah ditekankan bahawa sekiranya tindakan pencerobohan dan permusuhan berterusan, termasuk di selatan Lebanon, tindakan yang lebih teruk dan menghancurkan dari sebelum ini akan menyusul,” tambahnya.
Awal dari itu, Iran dan Israel kembali saling melancarkan serangan pada 8 Jun ketika gencatan senjata rapuh bagi menghentikan perang antara Amerika Syarikat, Israel dengan Iran selama hampir dua bulan semakin menunjukkan tanda keruntuhan.
Peluru berpandu balistik Iran telah mencetuskan semboyan amaran di beberapa kawasan tengah dan selatan Israel, manakala letupan daripada sistem pertahanan udara kedengaran di ruang udara negara itu.
Tentera Israel pula melancarkan serangan udara ke atas beberapa sasaran di barat dan selatan Iran termasuk sebuah kompleks petrokimia utama, ujar tentera Israel.
Ini merupakan pertukaran serangan pertama secara langsung antara kedua-dua negara sejak April lalu apabila Presiden Amerika Syarikat, Encik Donald Trump, menghentikan sementara kempen ketenteraan bersama Israel terhadap Iran bagi membuka ruang rundingan damai dengan Teheran.
Namun, selepas beberapa minggu rundingan berlangsung tanpa penyelesaian, ketegangan kini kembali memuncak dan menimbulkan kebimbangan bahawa Asia Barat bakal terjerumus semula ke dalam perang lebih besar.
Encik Trump sebelum ini cuba mengelakkan keadaan menjadi lebih buruk dengan menggesa Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, supaya tidak membalas serangan Iran.
“Saya akan hubungi Bibi (Encik Netanyahu) sekarang dan beritahu beliau supaya jangan bertindak balas,” kata Encik Trump, kepada wartawan lam web berita, Axios.
Encik Trump turut memberitahu Fox News bahawa Iran perlu menghentikan serangan dan kembali ke meja rundingan.
“Anda sudah melancarkan peluru berpandu, itu sudah cukup. Kembali berunding dan capai perjanjian,” katanya.
Dalam wawancara bersama Financial Times pula, Encik Trump menegaskan bahawa beliau yang menentukan hala tuju konflik tersebut, bukannya Encik Netanyahu.
“Saya yang menentukan segala-galanya. Bukan beliau yang menentukan,” katanya.
Ketegangan terkini tercetus selepas Israel menyerang kawasan pinggir selatan Beirut pada 7 Jun sebagai sebahagian operasi ketenteraan terhadap Hezbollah, kumpulan bersenjata yang disokong Iran di Lebanon.
Iran sebelum ini memberi amaran sebarang serangan terhadap Hezbollah akan dibalas.
Beberapa jam selepas serangan di Beirut, Iran melancarkan gelombang peluru berpandu balistik ke arah Israel.
Tentera Israel mendakwa mereka berjaya memintas sebahagian besar serangan tersebut dan bersedia bertindak balas.
Iran pula berkata mereka menyasarkan pangkalan udara Nevatim dan Tel Nof milik Israel.
Media Israel melaporkan, beberapa letupan telah berlaku di Baitulmakdis ketika orang ramai berlindung di pusat perlindungan bawah tanah.
Tentera Israel berkata Iran melancarkan sekurang-kurangnya tiga gelombang serangan peluru berpandu pada malam 7 Jun, serangan terbesar sejak gencatan senjata berkuat kuasa pada April lalu.
Saluran Channel 12 Israel melaporkan beberapa kerosakan berlaku di bandar Tiberias akibat serangan tersebut.
Iran turut mengesahkan mereka telah menyerang Pangkalan Udara Ramat David sebagai tindak balas terhadap apa yang disifatkan Teheran sebagai “pembunuhan beramai-ramai” Israel di selatan Lebanon dan pinggir Beirut.
Konflik kian rumit apabila Hezbollah mengaku melancarkan peluru berpandu dan dron ke arah dua berek tentera Israel di utara negara itu.
Israel kemudian menyerang pusat arahan Hezbollah di kawasan Dahiyeh di Beirut.
Kementerian Kesihatan Lebanon berkata serangan itu mengorbankan dua orang dan mencederakan 20 lagi.
Dalam masa sama, tentera Israel turut memaklumkan mereka memintas satu peluru berpandu yang dilancarkan dari Yaman.
Kumpulan Houthi di Yaman sebelum ini beberapa kali melancarkan serangan ke atas Israel sebagai tanda perpaduan terhadap Iran dan Palestin.
Jurucakap Kementerian Luar Iran, Encik Ali Safari, berkata serangan Teheran itu dibuat selepas beberapa minggu Iran menahan diri daripada membalas “pencerobohan Israel”.
Kor Pengawal Revolusi Iran pula menyifatkan serangan terkini itu sebagai “amaran”.
“Jika pencerobohan seperti ini berulang, tindak balas akan lebih besar dan meliputi semua sasaran Zionis dan Amerika di rantau ini,” katanya.
Ketegangan terbaharu menyebabkan harga minyak mentah dunia melonjak apabila harapan untuk membuka semula Selat Hormuz semakin pudar.
Laluan strategik itu penting kerana hampir satu perlima perdagangan minyak dunia melalui kawasan tersebut.
Rakyat Iran juga semakin tertekan akibat ketidaktentuan yang berpanjangan.
“Keadaan hidup harian sekarang seperti jenaka. Semuanya sangat teruk. Kami hanya cuba untuk terus hidup,” kata seorang jurulatih kecergasan dari Ahvaz, Cik Elaheh, kepada agensi berita, AFP.
Beliau berkata harga barang terus meningkat sejak konflik tercetus.
Dalam perkembangan lain, Menteri Dalam Negeri Pakistan, Encik Mohsin Naqvi, tiba di Teheran pada 6 Jun bagi menyampaikan surat khas daripada Ketua Tentera Pakistan kepada pemimpin tertinggi Iran.
Pakistan dilihat memainkan peranan penting sebagai pengantara antara Teheran dengan Washington selepas rundingan awal berlangsung di Islamabad.
Penasihat ketenteraan pemimpin tertinggi Iran, Encik Mohsen Rezaei, berkata rundingan dengan Amerika kini “tersekat” dan mendesak Encik Trump agar membebaskan aset Iran bernilai AS$24 bilion ($30 bilion) yang dibekukan.
Bagaimanapun, Encik Trump berkata beliau tidak akan membuka semula akses kepada aset Iran sebelum perjanjian awal dicapai.
“Jika mereka berkelakuan baik dan melakukan perkara yang betul, barulah kita mula bercakap,” katanya kepada NBC. – Agensi berita.
