BAITULMAKDIS: Tentera Israel membunuh dua remaja Palestin dalam serbuan malam ke atas sebuah bandar berhampiran Ramallah di Tebing Barat yang diduduki Israel, pada 21 November, kata para penduduk.
Keganasan semakin meningkat di wilayah itu dengan jumlah kematian yang terus bertambah.
Pasukan tersebut menembak Sami Ibrahim Mashaikha, 16 tahun dan Amr Khaled Al-Marboua, 18 tahun, di Kfar Aqab.
Kededuanya kemudian meninggal dunia akibat kecederaan, menurut Kementerian Kesihatan Penguasa Palestin, yang menjalankan pemerintahan sendiri yang terhad di Tebing Barat.
Agensi berita Palestin, Wafa, melaporkan tentera Israel telah menyerbu Kfar Aqab pada waktu malam, mengerahkan anggota tenteranya ke jalan-jalan dan ke atas bangunan-bangunan bandar itu sebelum menembak.
Polis Israel berkata dalam satu kenyataan bahawa pasukan mereka menembak ke arah empat individu yang mereka dakwa mengancam keselamatan semasa operasi di kawasan Kfar Aqab.
Individu tersebut telah dibawa keluar oleh pasukan perubatan, kata polis.
Menurut polis, operasi itu bertujuan menangani “musuh yang cuba mencederakan pasukan keselamatan dan mencetuskan kekacauan ganas".
Polis turut diserang dengan batu dan bunga api semasa operasi itu.
Tembakan senjata berat juga kedengaran, kata polis, walaupun sumber tembakan tersebut tidak dapat dipastikan.
Walaupun gencatan senjata pada 10 Oktober telah menghentikan kebanyakan peperangan di Gaza antara Israel dengan Hamas, Tebing Barat kini mengalami peningkatan keganasan.
Rakyat Palestin telah menghadapi sekatan ketenteraan yang semakin ketat sejak 2023, yang mengehadkan kebebasan pergerakan mereka.
Serangan terhadap rakyat Palestin oleh warga Israel yang membina penempatan di sana juga meningkat.
Pada waktu malam, golongan tersebut menyerang masyarakat Palestin berhampiran Nablus, membakar harta benda di Huwara dan Abu Falah, kata penduduk di sana.
Tentera Israel berkata tentera mereka bertindak balas terhadap laporan pada waktu malam mengenai orang awam Israel yang membaling batu ke arah kenderaan Palestin dan membakar harta benda di kawasan Huwara.
Tentera Israel menjalankan pencarian di kawasan tersebut tetapi tidak menemui sebarang suspek, menurut kenyataan tentera.
Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu pada 17 November berkata beliau akan bertemu menteri Kabinet untuk memastikan rakyat Israel yang terlibat dalam serangan ke atas rakyat Palestin dihadapkan ke pengadilan, menyifatkan mereka sebagai “kumpulan kecil yang ekstrem”.
Video yang tersebar luas di media sosial telah menunjukkan puluhan golongan penempatan, seringkali membawa kayu dan kadangkala senjata api, menyerang masyarakat Palestin di Tebing Barat dalam beberapa bulan kebelakangan ini.
Pasukan Israel telah membunuh enam remaja Palestin, yang berusia bawah 18 tahun, di Tebing Barat pada November, menurut Reuters.
Dalam satu insiden berhampiran Ramallah, tentera Israel berkata dua remaja berusia 16 tahun telah membaling bom petrol ke arah jalan raya awam.
Tentera Israel mengeluarkan video sembilan saat yang tidak jelas, yang didakwa mereka bahawa video itu menunjukkan dua remaja membaling bom petrol.
Namun, mereka enggan mengeluarkan video penuh atau menjelaskan sebab mereka mula menembak. – Reuters.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg