Singapura akan mengenakan sekatan kewangan serta melarang kemasukan empat warga Israel dengan serta-merta, kata Kementerian Ehwal Luar (MFA) pada 21 November.
Keempat-empat individu itu ialah Meir Mordechai Ettinger, Elisha Yered, Ben-Zion Gopstein dan Baruch Marzel.
Mereka didapati terlibat dalam tindakan keganasan terhadap rakyat Palestin di Tebing Barat.
“Individu-individu ini telah terlibat dalam tindakan keganasan ekstremis yang keterlaluan terhadap rakyat Palestin di Tebing Barat.
“Tindakan sedemikian tidak sah di sisi undang-undang serta melemahkan dan menjejas prospek penyelesaian dua negara,” kata MFA.
Menekankan penempatan Israel di Tebing Barat adalah haram di sisi undang-undang antarabangsa, kementerian itu berkata, kehadiran dan peluasan tersebut akan menyukarkan usaha mencapai penyelesaian dua negara.
Memandangkan Singapura merupakan penyokong kuat undang-undang antarabangsa dan penyelesaian dua negara, negara ini menentang sebarang cubaan sehala untuk “mengubah fakta di lapangan” melalui tindakan haram.
“Kami menyeru pemerintah Israel supaya mengekang tindakan keganasan individu yang terlibat dalam penempatan dan memastikan mereka dipertanggungjawabkan,” kata kementerian itu.
Dalam satu kenyataan menteri pada 22 September, Menteri Ehwal Luar, Dr Vivian Balakrishnan, berkata Singapura akan mengenakan sekatan khusus terhadap pemimpin kumpulan penempatan sayap kanan radikal yang bertanggungjawab dalam tindakan keganasan terhadap rakyat Palestin di Tebing Barat.
Langkah itu dibuat menyusuli keputusan pemerintah Israel meneruskan penempatan E1 di Tebing Barat, yang akan memecahbelahkan wilayah tersebut serta memisahkan bandar Arab di wilayah Palestin yang diduduki, kata Dr Balakrishnan.
Berdasarkan maklumat daripada laporan berita sebelum ini, keempat-empat lelaki itu mempunyai hubungan dengan kumpulan sayap kanan radikal, lapor The Straits Times (ST).
Ettinger, 34 tahun, ialah cucu kepada Meir Kahane, seorang rabai Israel kelahiran Amerika Syarikat, yang menggesa pengusiran besar-besaran rakyat Arab dan dianggap sebagai tokoh ekstremis.
Menurut laporan Times of Israel bertarikh 6 Ogos 2015, Kahane ditahan oleh perkhidmatan perisikan domestik Israel, Shin Bet, atas dakwaan penglibatannya dalam serangan membakar sebuah rumah Palestin di Tebing Barat yang mengakibatkan kematian pasangan dan anak mereka yang berumur 18 bulan.
Ettinger juga dianggap sebagai pemimpin kumpulan ekstremis, Hilltop Youth, yang dikenakan sekatan oleh Kesatuan Eropah (EU) dan Jabatan Perbendaharaan Amerika pada 2024.
Amerika menyifatkan kumpulan tersebut dalam kenyataan Oktober 2024 sebagai “berulang kali menyerang rakyat Palestin serta memusnahkan rumah dan hartanah rakyat Palestin di Tebing Barat”.
Yered, 24 tahun, juga merupakan anggota Hilltop Youth.
Dia ditahan oleh penguasa Israel pada September 2023, berhubung tembakan terhadap seorang remaja Palestin berusia 19 tahun pada Ogos 2023, susulan pertembungan antara kumpulan terlibat dalam penempatan dengan rakyat Palestin di Tebing Barat.
Tentera Israel telah melarang Yered daripada memasuki wilayah itu selama enam bulan mulai September 2023, lapor media Israel Haaretz.
Kededua Ettinger dan Yered turut dikenakan sekatan oleh Australia, Canada dan EU, antara lain.
Gopstein, 54 tahun, ialah pengasas Lehava, sebuah kumpulan sayap kanan Israel, dan mempunyai hubungan dengan Menteri Keselamatan Negara, Encik Itamar Ben-Gvir, lapor Reuters pada Julai 2024.
Amerika juga telah mengenakan sekatan terhadap kumpulan itu pada 2024, yang digambarkan terlibat dalam “tindakan ekstremisme ganas”.
Pada Januari 2024, Gopstein didapati bersalah atas hasutan perkauman, selepas membuat pelbagai kenyataan provokatif terhadap rakyat Arab antara 2012 dengan 2017, termasuk menggelar mereka ‘barah’, lapor Times of Israel.
Dia juga merupakan pelajar rabai Meir Kahane, bersama Marzel, 66 tahun, yang juga anggota Lehava.
Dalam laman web arkib milik Jewish National Front – sebuah parti politik agama sayap kanan Israel yang telah dibubarkan pada 2012 – Marzel disifatkan sebagai ‘orang kanan’ rabai tersebut, yang telah menubuhkan parti politik ekstremis Kach.
Gopstein telah dikenakan sekatan oleh Amerika, Canada dan EU, manakala Marzel dikenakan sekatan oleh EU.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg