HAN YOUNIS, GAZA: Tentera Israel dilaporkan telah mengundurkan operasi ketenteraannya di hospital Al Shifa di Gaza selepas menjalankan apa yang mereka gambarkan sebagai “operasi terarah” terhadap militan Hamas yang didakwa bersembunyi di dalam kemudahan perubatan terbesar di wilayah Palestin tersebut.
Walaupun operasi sensitif yang dijalankan oleh tentera Israel pada Rabu itu berakhir tanpa banyak pertumpahan darah, Israel dilaporkan gagal memberikan bukti yang jelas untuk menyokong dakwaan mereka bahawa Hamas menyalahgunakan hospital tersebut.
Wartawan yang berada di kawasan hospital tersebut memberitahu bahawa pasukan Israel telah menarik diri dari kemudahan tersebut setelah memasukinya semalaman dan kini telah dikerahkan untuk berada di kawasan sekitar hospital tersebut.
Menurut sumber tempatan, pasukan Israel mengerahkan kereta kebal dan penembak tepat berada di sekitar hospital sementara dron dilaporkan terbang di kawasan tersebut secara berterusan.
Seorang pegawai tentera kanan, yang bercakap kepada agensi berita menyatakan bahawa tentera telah menemui “bukti konkrit” penggunaan hospital oleh Hamas sebagai kemudahan tentera.
Tentera Israel pada Rabu menyerbu hospital terbesar di Gaza, dalam usaha menjejaki militan Hamas di dalam dan di bawah kemudahan itu yang mereka percaya digunakan kumpulan itu sebagai pusat arahan dan kawalan mereka.
Serbuan itu dilakukan sekitar 2 pagi ketika bayi baru lahir dan ratusan pesakit berada dalam hospital yang telah berhari-hari tanpa bekalan elektrik dan keperluan asas lain.
Tentera Israel juga meneruskan serangan darat mereka yang mencakup kawasan yang lebih luas di sekitar hospital tersebut.
Butiran serbuan sepanjang hari itu masih tidak jelas, tetapi pegawai dari Israel dan Gaza menyampaikan laporan berbeza tentang apa yang berlaku di Hospital Al-Shifa di Bandar Gaza itu.
Tentera Israel mengeluarkan video yang menunjukkan askar membawa kotak yang dilabel sebagai “makanan bayi” dan “bekalan perubatan,” manakala pegawai kesihatan bercakap tentang kakitangan dan pesakit yang ketakutan ketika tentera bergerak melalui bangunan hospital.
Selepas mengepung Hospital Al-Shifa selama beberapa hari, Israel menghadapi tekanan untuk membuktikan dakwaannya bahawa Hamas telah menjadikan hospital itu sebagai pusat arahan dan menggunakan pesakit, kakitangan dan orang awam yang berlindung di sana sebagai perisai bagi melindungi kegiatan mereka.
Tentera Israel juga mengeluarkan video lewat Rabu mengenai senjata yang dikatakan ditemui dalam satu bangunan, tetapi pencariannya tidak menunjukkan tanda-tanda wujudnya terowong atau pusat arahan yang didakwanya itu.
Hamas dan pegawai kesihatan Gaza menafikan militan beroperasi di Al-Shifa - sebuah hospital yang menggaji kira-kira 1,500 orang dan mempunyai lebih daripada 500 katil, menurut agensi berita Palestin
Rakyat Palestin dan kumpulan hak asasi manusia berkata Israel telah secara melulu membahayakan orang awam ketika ia berusaha untuk menghapuskan Hamas.
Encik Munir al-Boursh, seorang pegawai kanan Kementerian Kesihatan Gaza berkata bahawa selama berjam-jam, tentera menggeledah ruang bawah tanah dan bangunan lain untuk mencari terowong. Tentera juga menyoal dan menyaring muka pesakit, kakitangan dan orang yang berlindung di situ. - Agensi berita
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg