JENIN (Tebing Barat): Tiga anggota komando Israel yang menyamar sebagai pekerja perubatan dan wanita Islam, telah menyerbu masuk ke dalam sebuah hospital di Tebing Barat pada 30 Januari dan membunuh tiga militan Palestin, seorang daripada mereka lumpuh di atas katil, kata saksi dan pihak berkuasa.
Tentera Israel berkata tiga militan itu terbunuh dalam operasi penyamaran bersama oleh tentera, perkhidmatan keselamatan Shin Bet dan polis sempadan di hospital Ibn Sina di Jenin, Tebing Barat, yang diduduki Israel.
Tentera Israel mengenal pasti salah seorang lelaki itu sebagai Encik Mohammad Walid Jalamna, seorang anggota Hamas yang dikatakan merancang serangan di selatan Israel pada 7 Oktober. Sepucuk pistol ditemui bersamanya.
Dua yang lain ialah adik beradik Encik Basel Al-Ghazzawi dan Encik Mohammad Al-Ghazzawi. Mereka adalah anggota Briged Jenin dan sayap bersenjata Jihad Islam, kata tentera Israel.
Kementerian Kesihatan Palestin mengesahkan kematian mereka itu dan menggesa Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) supaya menjamin perlindungan pusat kesihatan.
“Pendudukan Israel sedang melakukan pembunuhan baru secara beramai-ramai di dalam hospital,” katanya dalam satu kenyataan.
Rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dari hospital berkenaan menunjukkan sekumpulan kira-kira 10 orang, mengenakan pakaian awam dan perubatan, termasuk tiga wanita bertudung, dilihat mundar-mandir di koridor, bersenjatakan senapang.
“Kami tidak mahu menjadikan hospital sebagai medan perang, dengan pesakit di sebelah kanan dan doktor dan jururawat di sebelah kiri, dan pengganas di tengah,” kata ketua tentera Israel, Encik Herzi Halevi.
“Tetapi kami tidak akan membenarkan hospital di Gaza, Yudea dan Samaria, Lebanon, di atas tanah atau dalam terowong di bawah hospital, menjadi tempat perlindungan untuk keganasan,” tambahnya.
Pengarah hospital itu, Dr Naji Nazzal, berkata: “Mereka membunuh secara kejam dengan melepaskan peluru terus ke kepala mereka di dalam bilik tempat mereka dirawat.,”
Kumpulan militan Jihad Islam yang disokong Iran berkata kedua-dua beradik Al-Ghazzawi adalah anggota sayap bersenjatanya, manakala Hamas mengesahkan bahawa Jalamna adalah anggota Briged Al Qassam.
Jenin, di bahagian utara Tebing Barat, telah menyaksikan beberapa pertempuran terbesar, dengan serangan berulang Israel ke atas kem pelarian Palestin yang padat bersebelahan dengan bandar itu. – Reuters.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg