BEIRUT: Seorang pegawai Lebanon berkata tentera Israel telah mula berundur dari beberapa perkampungan sempadan, selepas mereka berkata ia akan kekal dalam lima “lokasi strategik” sebelum tarikh akhir gencatan senjata.
Terdahulu, Presiden Lebanon, Encik Joseph Aoun, menyuarakan kebimbangan bahawa Israel akan terlepas tarikh akhir 18 Februari di bawah perjanjian gencatan senjata antara Israel dengan Hezbollah, dan menggesa negara-negara supaya memberi tekanan kepada Israel agar mematuhinya.
“Pasukan Israel mula berundur dari perkampungan sempadan, termasuk Mais al-Jabal dan Blida, ketika tentera Lebanon mara ke kawasan itu,” kata pegawai keselamatan itu yang enggan namanya disebutkan.
Jurucakap tentera Israel, Leftenan Kolonel Nadav Shoshani, sebelum ini berkata bahawa “berdasarkan keadaan semasa, kami akan meninggalkan sejumlah kecil tentera buat sementara waktu di lima lokasi strategik di sepanjang sempadan Lebanon”.
Beliau berkata keputusan itu dibuat “supaya kami dapat terus mempertahankan penduduk kami dan memastikan tiada ancaman segera”.
Israel sepatutnya memuktamadkan pengunduran tenteranya pada 18 Februari, selepas ia terlepas tarikh akhir pada Januari.
“Kami khuatir pengunduran sepenuhnya tidak akan dicapai,” kata Encik Aoun.
Gencatan senjata Israel-Hezbollah berkuat kuasa pada 27 November, selepas lebih setahun permusuhan yang menyaksikan Israel melancarkan serangan darat ke atas Lebanon.
Di bawah gencatan senjata, tentera Lebanon akan ditempatkan di selatan bersama pasukan pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu ketika tentera Israel berundur dalam tempoh 60 hari yang kemudian dilanjutkan hingga 18 Februari.
Hezbollah pula akan berundur dari Sungai Litani di selatan Lebanon dan menghapuska prasarana ketenteraannya di selatan.
Encik Aoun berkata tentera negaranya bersedia ditempatkan, “di bandar dan kampung yang akan dikosongkan oleh Israel” dan untuk “melindungi sempadan”.
Lebanon berusaha “secara diplomatik untuk mencapai pengunduran penuh Israel,” ujarnya.
Sejak gencatan senjata bermula, Israel terus melancarkan serangan ke atas Lebanon, membunuh seorang komander Hamas di selatan pada 17 Februari.
Pemimpin Hezbollah, Encik Naim Qassem, pada 16 Februari berkata adalah menjadi tanggungjawab pemerintah untuk memastikan tentera Israel berundur sepenuhnya menjelang tarikh akhir 18 Februari. – AFP.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg