TEL AVIV: Tentera Israel sedang bersiap meluaskan operasi daratnya di Lebanon sementara menunggu kelulusan daripada kepimpinan politik, lapor media Israel pada 11 Mei.

“Berikutan gencatan senjata dan pelanggaran berterusan oleh Hezbollah, tentera Israel sudah bersedia meluaskan operasi daratnya di Lebanon,” lapor stesen penyiar Israel, Channel 12.

Stesen itu berkata pihak tentera sedang membuat persediaan di lapangan “untuk mewujudkan kemungkinan meluaskan pertempuran,” bergantung kepada keputusan kepimpinan politik Israel.

“Kami sedang bersiap menghadapi kemungkinan pihak kepimpinan memberi lampu hijau untuk meluaskan operasi di Lebanon,” kata stesen itu memetik sumber tentera Israel.

Tiga divisyen tentera Israel kini beroperasi di Lebanon, tambah laporan itu.

Stesen penyiar itu juga berkata “dron letupan telah menjadi ancaman utama” kepada pasukan Israel yang beroperasi di selatan Lebanon.

Ia menyatakan Hezbollah bergantung kepada dron bahan letupan “sebagai senjata utamanya dalam kempen semasa,” sambil menambah ancaman itu kini kekurangan penyelesaian operasi yang berkesan di lapangan dan telah menyebabkan kematian dan kecederaan tentera Israel.

Laporan itu menyatakan pihak berkuasa Israel sedang memperhebat perisikan untuk mengenal pasti dan menyasarkan pengendali dron tetapi menambah bahawa usaha semasa masih belum mencukupi.

Pegawai Israel semakin menyuarakan kebimbangan mengenai dron Hezbollah yang menggunakan teknologi gentian optik.

Perdana Menteri Israel, Encik Benjamin Netanyahu, sebelum ini menyifatkannya sebagai “ancaman utama” kerana kesukaran untuk mengesannya.

Dron tersebut menggunakan kabel gentian optik nipis yang boleh dilonggarkan semasa penerbangan, membolehkan pengendali menghantar arahan dan rakaman video terus melalui kabel dan bukannya isyarat radio yang boleh tersekat.

Ia juga tidak bergantung kepada isyarat Sistem Penentu Kedudukan Sejagat (GPS) atau tanpa wayar, menjadikannya lebih sukar dikesan.

Stesen penyiar itu turut melaporkan bahawa pusingan ketiga rundingan antara Israel dengan Lebanon dijangka berlangsung pada 14 Mei di Washington.

Lebanon dan Israel sebelum ini mengadakan dua pusingan rundingan di Washington pada 14 dan 23 April sebagai sebahagian daripada persediaan bagi kemungkinan rundingan damai.

Meskipun gencatan senjata dilaksanakan pada 17 April dan dilanjutkan sehingga 17 Mei, tentera Israel terus menjalankan serangan harian di Lebanon.

Sejak 2 Mac, serangan Israel ke atas Lebanon telah membunuh sekurang-kurangnya 2,869 orang, mencederakan 8,730 orang dan menyebabkan lebih 1.6 juta orang kehilangan tempat tinggal. – Agensi berita.