Dunia
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Tentera Laut AS sekat Iran daripada rampas kapal tangki di Teluk Oman

Jul 6, 2023 | 3:18 PM
GAGALKAN  RAMPASAN: Imej yang dikeluarkan oleh Jabatan Pertahanan Amerika Syarikat menunjukkan kerosakan ke atas kapal dagang Richmond Voyager akibat tembakan yang dilepaskan oleh kapal tentera laut Iran.
GAGALKAN RAMPASAN: Imej yang dikeluarkan oleh Jabatan Pertahanan Amerika Syarikat menunjukkan kerosakan ke atas kapal dagang Richmond Voyager akibat tembakan yang dilepaskan oleh kapal tentera laut Iran. - Foto AFP

DUBAI: Tentera Laut Amerika Syarikat berkata ia telah campur tangan untuk menghalang Iran merampas dua kapal tangki komersial di Teluk Oman pada Rabu, dalam siri serangan terbaru ke atas kapal di perairan itu sejak 2019.

Dalam satu kenyataan, Tentera Laut Amerika berkata bahawa pada 1 pagi waktu setempat pada Rabu (5 pagi waktu Singapura), sebuah kapal tentera laut Iran menghampiri kapal tangki minyak TRF Moss yang menggunakan bendera Kepulauan Marshall di perairan antarabangsa di Teluk Oman.

“Kapal Iran beredar dari tempat kejadian apabila kapal pemusnah peluru berpandu Tentera Laut Amerika USS McFaul tiba di sana,” katanya dalam satu kenyataan, sambil menambah bahawa aset pengawasan, termasuk pesawat peronda maritim, telah dikerahkan.

Tentera Laut Amerika selanjutnya berkata sekitar tiga jam kemudian ia menerima panggilan kecemasan dari kapal tangki minyak Richmond Voyager yang menggunakan bendera Bahamas ketika kapal itu berada lebih 32 kilometer dari pantai Muscat, Oman dan transit perairan antarabangsa.

“Sebuah lagi kapal tentera laut Iran mendekati Richmong Voyager dalam jarak satu batu sambil mengarahkan kapal tangki komersial itu supaya berhenti,” kata kenyataan Tentera Laut Amerika sambil menambah bahawa USS McFaul kemudian bergegas ke arah kapal dagang itu pada kelajuan maksimum.

“Sebelum ketibaan McFaul di tempat kejadian, kakitangan kapal Iran telah melepaskan tembakan berkali-kali.

Richmond Voyager tidak mengalami sebarang kemalangan jiwa atau kerosakan ketara. Bagaimanapun, beberapa tembakan mengena badan kapal berhampiran bilik anak kapal. Kapal tentera laut Iran beredar apabila McFaul tiba,” jelas kenyataan itu.

Syarikat minyak Amerika Chevron mengesahkan ia mengendalikan Richmond Voyager, kru di atas kapal selamat dan kapal itu beroperasi seperti biasa.

Pengurus TRF Moss yang berpangkalan di Singapura, yang disenaraikan dalam pangkalan data sebagai Navig8 Chemicals Asia, tidak segera menjawab permintaan untuk komen.

“Amerika Syarikat akan respons terhadap pencerobohan Iran bersama sekutu sejagat kami dan rakan kongsi kami di rantau Timur Tengah untuk memastikan kebebasan pelayaran melalui Selat Hormuz dan laluan air penting lain,” kata jurucakap Majlis Keselamatan Negara Rumah Putih.

Sejak 2019, terdapat beberapa siri serangan ke atas kapal di perairan Teluk yang strategik pada masa ketegangan antara Amerika dengan Iran.

Iran merampas dua kapal tangki minyak dalam masa seminggu lebih sebulan lalu, kata Tentera Laut Amerika. – Reuters.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg