SPH Logo mobile
Langgan|

Tentera Pakistan dakwa tembak jatuh 12 dron India

Tentera Pakistan dakwa tembak jatuh 12 dron India

May 8, 2025 | 4:10 PM

Tentera Pakistan dakwa tembak jatuh 12 dron India

Penunjuk perasaan melaungkan slogan semasa protes anti-India di Rawalpindi pada 29 April 2025. Tentera Pakistan dilaporkan telah menembak jatuh sebuah dron India di sepanjang sempadan de facto Kashmir, menurut radio pemerintah di Islamabad, seminggu selepas serangan paling dahsyat ke atas orang awam di wilayah yang dipertikaikan itu dalam beberapa tahun kebelakangan ini.
Penunjuk perasaan melaungkan slogan semasa protes anti-India di Rawalpindi pada 29 April 2025. Tentera Pakistan dilaporkan telah menembak jatuh sebuah dron India di sepanjang sempadan de facto Kashmir, menurut radio pemerintah di Islamabad, seminggu selepas serangan paling dahsyat ke atas orang awam di wilayah yang dipertikaikan itu dalam beberapa tahun kebelakangan ini. - Foto AFP

ISLAMABAD: Ketegangan antara dua kuasa nuklear Asia Selatan, India dan Pakistan, terus meningkat apabila tentera Pakistan mendakwa telah menembak jatuh 12 buah dron yang didakwa dihantar oleh India ke ruang udaranya sehari selepas serangan udara India ke atas beberapa lokasi di Pakistan.

Jurucakap tentera Pakistan, Mejar Jeneral Ahmed Sharif Chaudhry, dalam sidang media 7 Mei berkata, kesemua dron yang ditembak jatuh itu adalah model Harop buatan Israel dan telah dikesan di beberapa lokasi strategik termasuk berhampiran Karachi dan Lahore.

“Dron India terus menceroboh ruang udara Pakistan... (India) akan terus menanggung akibat besar atas pencerobohan terbuka ini,” tegas Mejar Jeneral Chaudhry.

Menurut beliau, operasi dron tersebut telah menyebabkan seorang awam terkorban dan empat anggota tentera cedera. Salah satu dron dilaporkan telah menyerang sasaran ketenteraan berhampiran Lahore.

Menurut laporan Arab News yang memetik pegawai polis tempatan, Encik Mohammad Rizwan, salah satu dron ditembak jatuh berhampiran Lapangan Terbang Waltan, sebuah kawasan perumahan yang turut menempatkan kemudahan ketenteraan kira-kira 25 kilometer dari sempadan India.

Media tempatan turut melaporkan dua lagi dron berjaya ditumpaskan di kawasan lain di wilayah Punjab dan Lahore. Dua pegawai keselamatan Pakistan memaklumkan bahawa dron kecil milik India berjaya dipintas oleh sistem pertahanan udara, namun tidak mengesahkan sama ada dron itu dilengkapi senjata.

Sehingga kini, pemerintah India dan Kementerian Pertahanan negara itu masih belum memberikan sebarang maklum balas terhadap dakwaan tersebut.

Insiden dron itu berlaku hanya sehari selepas India melancarkan serangan ketenteraan melalui ‘Operasi Sindoor’ yang menyasarkan kem pengganas di enam lokasi berasingan dalam wilayah Pakistan dan kawasan yang diduduki Pakistan di Kashmir (PoK).

Susulan itu, tentera Pakistan pula melancarkan tembakan artileri secara agresif sepanjang Garis Kawalan (LoC) yang memisahkan kedua-dua negara. Tentera India dilaporkan membalas serangan tanpa provokasi itu di beberapa sektor utama termasuk Kupwara, Baramulla, Uri dan Akhnoor.

Penduduk di daerah Poonch di Jammu dan Kashmir terpaksa dipindahkan ke kawasan lebih selamat berikutan serangan mortar dan peluru artileri Pakistan yang bermula lewat malam.

Seorang pegawai tentera India berkata: “Tentera Pakistan menyasarkan kawasan awam dengan senjata berat, termasuk peluru mortar dan artileri. Ini merupakan pelanggaran paling serius terhadap gencatan senjata sejak 2021.”

Dalam serangan dari seberang sempadan itu, tiga lelaki Sikh dilaporkan maut apabila peluru meriam mengenai Gurdwara dan rumah bersebelahan di bandar Poonch, mencetuskan kemarahan dalam kalangan komuniti Sikh di wilayah Punjab.

Kawasan terjejas lain termasuk Krishna Ghati, Shahpur, Mankote, Balakote, Mendhar, Gulpur, Kerni dan juga kawasan ibu pejabat daerah Poonch. Beberapa rumah dan kenderaan penduduk awam turut musnah akibat tembakan artileri.

Pihak berkuasa India masih menilai kerosakan dan jumlah sebenar mangsa akibat serangan yang berlarutan hampir semalaman itu.

Pemerhati keselamatan memberi amaran bahawa keganasan yang semakin memuncak ini boleh mencetuskan konflik berskala besar antara dua negara yang memiliki senjata nuklear.

“Setiap pelanggaran gencatan senjata kini boleh mencetuskan tindak balas tidak terkawal. Dunia perlu mendesak kedua-dua negara supaya menahan diri,” kata seorang penganalisis pertahanan yang enggan dinamakan. - Agensi berita

Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Berita Harian di Mudah Alih

  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg