Topik diikuti
Pergi ke BHkuTentera upahan Russia warga Indonesia maut di Ukraine selepas kirim wang umrah ibu bapa
Tentera upahan Russia warga Indonesia maut di Ukraine selepas kirim wang umrah ibu bapa
Tentera upahan Russia warga Indonesia maut di Ukraine selepas kirim wang umrah ibu bapa
JAKARTA: Sebuah keluarga di Indonesia menuntut penjelasan pemerintah selepas anak mereka, Encik Rendi Apriyanto, 30 tahun, dilaporkan terbunuh ketika menjadi tentera upahan bersama tentera Russia dalam perang di Ukraine.
Keluarga Encik Rendi berkata mereka masih belum mendapat kepastian sama ada jenazahnya dapat dibawa pulang, selain mahu mengetahui bagaimana beliau direkrut sehingga akhirnya berada di medan perang.
Bapa Rendi, Encik Ruskamal, 56 tahun, berkata keluarga mendapat berita mengenai kematian anaknya daripada seorang lagi warga Indonesia yang turut berjuang bersama tentera Russia.
Menurutnya, lelaki itu menghubungi keluarga dan memberitahu bahawa mereka menjadi sasaran serangan dron besar-besaran.
“Rakan Rendi memberitahu kami bahawa mereka terkena serangan dron besar. Dia sendiri cedera parah akibat tembakan dan serangan dron, manakala Rendi terbunuh sekitar 18 atau 20 September,” katanya.
Encik Ruskamal berkata rakannya turut memberitahu bahawa jenazah Encik Rendi belum dapat dibawa keluar dari kawasan pertempuran kerana pertempuran sengit masih berlaku dan terdapat risiko serangan udara susulan.
Keluarga mendakwa mereka hanya mengetahui baru-baru ini bahawa Encik Rendi sebenarnya menyertai tentera Russia.
Encik Rendi, anak sulung daripada dua beradik, meninggalkan kampung halamannya di Pulau Natuna, Kepulauan Riau, pada 2022 untuk bekerja di Batam.
Beliau yang mempunyai latar belakang dalam bidang kejuruteraan elektrik pernah bekerja dengan sebuah syarikat telekomunikasi sebelum berpindah ke sebuah limbungan kapal.
Menurut bapanya, Encik Rendi kemudian pergi ke Filipina untuk bekerja sebagai juruelektrik.
Selepas kontrak pertamanya tamat, beliau pulang sebentar ke Indonesia sebelum kembali ke Filipina.
Namun, pada Februari lalu, Rendi mengejutkan keluarganya apabila memberitahu menerusi panggilan video bahawa beliau berada di Russia.
“Kami langsung tidak tahu dia hendak ke sana. Saya bertanya mengapa dia pergi ke sana sedangkan sedang berlaku perang. Dia hanya meminta saya mendoakan keselamatannya,” kata Encik Ruskamal.
Menurut keluarga, Rendi memberitahu bahawa beliau direkrut untuk melakukan kerja logistik, termasuk mengangkut bekalan, dan bukannya bertempur di barisan hadapan.
Bagaimanapun, keadaan sebenar yang menyebabkan beliau akhirnya berada di kawasan pertempuran masih belum diketahui.
Ibunya, Cik Eniyanti, berkata anaknya merancang pulang ke Indonesia dan berkahwin pada Mei 2027.
Encik Rendi juga kerap mengirim sebahagian pendapatannya kepada ibu bapanya dan mempunyai hasrat membawa mereka menunaikan umrah.
Beliau baru-baru ini menghantar wang bagi membiayai perjalanan ibu bapanya dari Natuna ke Batam sebagai sebahagian daripada persiapan tersebut.
Cik Eniyanti berkata apabila beliau mencadangkan supaya wang yang dikirim Encik Rendi digunakan untuk membeli tanah dan memulakan perniagaan, anaknya menolak kerana mahu memenuhi impiannya menghantar kedua-dua ibu bapanya ke Tanah Suci.
“Dia seorang anak yang taat dan rajin bekerja. Pesanan terakhirnya hanya meminta kami mendoakannya dari jauh,” katanya.
Keluarga kini meminta pemerintah Indonesia menjelaskan status Rendi, membantu mendapatkan hak atau bayaran yang masih terhutang kepadanya dan menyiasat ejen yang dipercayai merekrutnya.
Ketua Polis Natuna, Encik Novyan Aries Efendy, berkata pihaknya masih mengesahkan maklumat mengenai Rendi dan berhubung dengan agensi berkaitan.
“Kami sedang menyelaraskan perkara ini terlebih dahulu dengan Pejabat Imigresen dan mengumpulkan data,” katanya.
Bupati (ketua Daerah) Natuna, Cik Cen Sui Lan, pula berkata pemerintah daerah sedang berhubung dengan Kementerian Luar Indonesia dan keluarga Rendi.
“Maklumat yang kami terima masih belum jelas. Jika benar beliau sudah meninggal dunia, kami berharap ada penyelesaian supaya beliau dapat dibawa pulang secepat mungkin,” katanya.
Kes Rendi timbul ketika pihak berkuasa Indonesia menyiasat laporan bahawa sejumlah warganya direkrut untuk berjuang bagi Russia.
Duta Indonesia ke Russia dan Belarus, Encik Jose Antonio Morato Tavares, berkata Kedutaan Indonesia di Moscow menerima puluhan laporan daripada keluarga mengenai saudara mereka yang disyaki direkrut sebagai tentera upahan selepas ditawarkan gaji tinggi.
Menurutnya, ejen perekrutan menggunakan media sosial untuk menarik warga Indonesia dengan tawaran pendapatan lumayan tanpa memberikan maklumat jelas mengenai jenis pekerjaan atau syarat kontrak.
Dalam beberapa kes, pihak kedutaan menemui warga Indonesia yang datang ke Russia tetapi gagal pemeriksaan fizikal untuk menyertai perkhidmatan tentera dan membantu mereka pulang.
Pengasas firma penyelidikan keselamatan Chasseur Group, Cik Munira Mustaffa, berkata walaupun sebahagian warga asing menyertai tentera Russia secara sukarela, terdapat juga laporan individu diperdaya mengenai pekerjaan yang ditawarkan.
Menurutnya, ada yang dijanjikan pekerjaan buruh bergaji tinggi, tetapi pasport mereka dirampas sebaik tiba di Russia sebelum diberikan latihan ketenteraan selama satu atau dua minggu dan dihantar ke medan perang.
Undang-undang Indonesia mengehadkan warganya daripada menyertai angkatan tentera negara asing tanpa kebenaran pemerintah, dengan tindakan itu berpotensi menyebabkan mereka kehilangan kewarganegaraan.
Kementerian Luar Indonesia sebelum ini berkata pihak berkuasa sedang menyiasat latar belakang lapan warga Indonesia yang dilaporkan berjuang untuk Russia, termasuk kemungkinan mereka menjadi mangsa penipuan pekerjaan atau pemerdagangan manusia.
Jika unsur penipuan atau pemerdagangan manusia disahkan, pemerintah berkata mekanisme perlindungan warga Indonesia akan diaktifkan. - Agensi berita