Teori konspirasi AI selubungi ‘kematian Netanyahu’ di tengah konflik Iran
Teori konspirasi AI selubungi ‘kematian Netanyahu’ di tengah konflik Iran
TEL AVIV: Dakwaan bahawa video terbaharu Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, bersama Duta Amerika Syarikat ke Israel, Mike Huckabee, dijana oleh kecerdasan buatan (AI) semakin tular di media sosial, ketika teori konspirasi mengenai keadaan beliau terus berlegar di tengah konflik Israel-Iran yang memuncak sejak akhir Februari.
Spekulasi ini tercetus susulan beberapa video yang dimuat naik antara 13 hingga 18 Mac, termasuk rakaman sidang media dan kemunculan di sebuah kafe, yang didakwa mengandungi kecacatan visual seperti “jari tambahan”, pergerakan tidak semula jadi serta perbezaan fizikal.
Namun, setakat ini tiada bukti kukuh yang menyokong dakwaan bahawa rakaman tersebut adalah palsu atau bahawa Encik Netanyahu telah terbunuh atau digantikan dengan imej AI.
Lebih mencetuskan perdebatan ialah satu lagi rakaman yang menunjukkan Encik Netanyahu bersama Encik Huckabee pada 18 Mac, yang turut dipersoalkan oleh pengguna media sosial sebagai kemungkinan “deepfake” atau pemalsuan mendalam walaupun tiada pengesahan menyokong dakwaan tersebut.
Gelombang spekulasi bermula apabila imej Encik Netanyahu dalam keadaan cedera dan berlumuran darah tersebar luas di platform media sosial sekitar pertengahan Mac. Gambar tersebut kemudian dikenal pasti sebagai kandungan palsu yang dijana AI oleh alat pengesanan digital.
Penyebaran imej itu berlaku ketika konflik meningkat susulan serangan udara besar-besaran oleh Amerika Syarikat dan Israel terhadap Iran pada 28 Februari, yang mencetuskan pelbagai naratif tidak disahkan mengenai kepimpinan Israel.
Bagi menangkis dakwaan tersebut, Encik Netanyahu tampil dalam siaran langsung sidang media pada 13 Mac. Namun, rakaman itu segera dipersoalkan apabila pengguna media sosial mendakwa terlihat “jari keenam” pada tangannya.
Walaupun pemeriksa fakta tidak menemui sebarang bukti kecacatan tersebut, dakwaan itu terus tular dan diperkuat oleh akaun-akaun yang menyebarkan teori konspirasi.
Sebagai respons, Encik Netanyahu pada 15 Mac memuat naik sebuah lagi video dari sebuah kafe, secara jelas menunjukkan kedua-dua tangannya sebagai “bukti kehidupan”, satu langkah yang mencerminkan tekanan baharu terhadap pemimpin dunia dalam era digital.
Pakar menyifatkan insiden ini sebagai contoh jelas fenomena liar’s dividend, iaitu keadaan di mana kewujudan teknologi AI membolehkan kandungan sebenar dinafikan sebagai palsu.
Penyelidik penyebaran maklumat palsu dari Citizen Lab, Encik Alberto Fittarelli, berkata fenomena ini membuka ruang luas untuk manipulasi persepsi awam. “Ini bukan ancaman teori. Sesiapa yang memahami teknik manipulasi dan sanggup menggunakannya akan mengeksploitasi keadaan ini untuk mengelirukan realiti,” katanya.
Sejak konflik tercetus, ribuan imej dan video sama ada sahih atau dijana AI membanjiri ruang digital, menjadikan semakin sukar untuk orang awam membezakan antara fakta dan manipulasi.
Dalam beberapa kes, rakaman sebenar serangan, kemusnahan dan korban awam turut dituduh sebagai palsu walaupun telah disahkan oleh pelbagai sumber bebas.
Pakar teknologi dari organisasi Witness, Cik Mahsa Alimardani, berkata persekitaran maklumat kini berada pada tahap yang lebih kompleks dan berbahaya. “Kewujudan kandungan AI menjadikan lebih mudah untuk menolak bukti sebenar sebagai palsu, sekali gus melemahkan kepercayaan terhadap dokumentasi konflik,” katanya. - Agensi berita

