TEHERAN: Dunia dikejutkan oleh serangan ketenteraan berskala besar oleh Amerika Syarikat terhadap tiga tapak nuklear utama Iran pada 21 Jun 2025.
Serangan yang dinamakan ‘Operasi Midnight Hammer’ itu bukan sahaja mempamerkan kekuatan ketenteraan Washington, bahkan turut mencerminkan kesungguhan Amerika Syarikat untuk menyekat kemajuan program nuklear Teheran yang semakin mencemaskan.
Serangan itu melibatkan gabungan tujuh pesawat pengebom B-2, lebih 125 pesawat sokongan, dan lebih dua dozen peluru berpandu, Tomahawk, yang dilancarkan dari kapal selam di perairan Teluk.
Dalam satu sidang media di Pentagon pada 22 Jun, Jeneral Dan Caine, Pengerusi Ketua Turus Bersama Tentera Amerika, menjelaskan bahawa serangan itu turut menyaksikan penggunaan pertama bom ‘bunker-buster’ terbesar milik Amerika, GBU-57 Massive Ordnance Penetrator (MOP) dalam konflik.
Bom seberat 13 tan itu direka khusus untuk menembusi kemudahan bawah tanah yang sukar dimusnahkan dengan senjata biasa.
“Kami telah menggugurkan 14 butir bom MOP ke atas dua sasaran, dan ia satu operasi yang sangat berjaya,” dakwa Jeneral Caine.
Walaupun Iran secara rasmi tidak memiliki senjata nuklear, laporan Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA) mendapati Teheran telah mengumpul bekalan uranium yang mencukupi untuk menghasilkan sehingga sembilan bom nuklear.
Proses menjadikan uranium yang diperkaya kepada senjata sebenar sememangnya rumit, tetapi hakikat bahawa bahan mentah itu sudah ada menimbulkan kebimbangan sejagat.
Serangan oleh Amerika bertujuan menghalang Iran daripada terus memperkayakan uranium kepada tahap 90 peratus – tahap yang paling sesuai untuk membina senjata nuklear.
Pakar kawalan senjata Encik Robert Einhorn, berkata: “Kita kini berhadapan risiko sebenar Iran mengambil keputusan untuk benar-benar membina senjata. Serangan ini mungkin mempercepat desakan dalaman ke arah itu.”
Tiga kemudahan nuklear yang menjadi sasaran serangan ialah:
Fordow – Lokasi paling dilindungi, terletak di gunung berhampiran Qom, dan menempatkan lebih 3,000 pengempar atau peralatan pengayaan uranium termasuk IR-6 yang lebih canggih. Lokasi itu penting kerana ia digunakan untuk memperkayakan uranium hingga ke tahap 60 peratus.
Natanz – Tapak pengayaan uranium terbesar dan telah beberapa kali menjadi sasaran serangan siber dan sabotaj oleh Israel.
Isfahan – Merangkumi makmal kimia, loji penukaran uranium, kemudahan membuat pengempar dan pusat pemprosesan logam – semua penting dalam rantaian pembangunan senjata nuklear.
Sebelum ini, pada 13 Jun, Israel telah melancarkan serangan ke atas Natanz dan Isfahan, tetapi Amerika membawa operasi itu ke tahap seterusnya dengan serangan lebih menyeluruh dan menggunakan senjata berat seperti MOP dan Tomahawk.
“Kami percaya serangan ini akan menghentikan kegiatan pengayaan uranium buat masa yang lama,” kata Setiausaha Pertahanan Amerika, Encik Pete Hegseth.
Namun, ada juga suara yang lebih berhati-hati.
Seorang pegawai ketenteraan Israel memberitahu New York Times, “Fordow mungkin rosak teruk, tetapi kami percaya Iran telah memindahkan sebahagian bahan nuklear keluar sebelum serangan”.
Imej satelit dari Maxar menunjukkan Iran telah menutup semua enam pintu masuk ke kemudahan bawah tanah Fordow dengan batu dan pasir, dipercayai sebagai langkah pertahanan.
Terdapat juga laporan bahawa Iran mungkin telah membanjiri dewan emparan dengan gas lengai untuk mengurangkan kesan serangan dan pencemaran radioaktif.
Mengikut IAEA, Iran memiliki sekurang-kurangnya 400 kilogram uranium yang telah diperkaya kepada 60 peratus, tahap yang sangat hampir kepada keperluan senjata.
Sebelum ini, uranium itu dipercayai disimpan di kemudahan bawah tanah di Isfahan.
Namun kini, lokasi sebenar bekalan itu tidak diketahui secara rasmi.
Naib Presiden Amerika, Encik J.D. Vance berkata: “Kami akan berusaha bersama sekutu untuk memastikan bahan itu dikawal sepenuhnya.”
Kehilangan kawalan terhadap bahan tersebut bukan sahaja membimbangkan, bahkan juga meningkatkan risiko percambahan, iaitu penyebaran teknologi dan bahan nuklear kepada negara atau kumpulan lain.
“Ini adalah saat yang amat genting. Jika kita tidak tahu di manakah uranium itu, maka risiko keselamatan meningkat secara eksponen,” ujar Ketua IAEA, Encik Rafael Grossi.
Iran masih belum memberikan reaksi ketenteraan besar.
Namun Parlimen Iran dilaporkan telah meluluskan resolusi untuk menutup Selat Hormuz, yang merupakan laluan kepada hampir 20 peratus bekalan minyak sejagat.
Jika ini berlaku, ia boleh mencetuskan krisis tenaga yang jauh lebih besar. Majlis Keselamatan Nasional Iran akan membuat keputusan muktamad berhubung langkah ini.
“Iran masih boleh memilih untuk membalas dengan terhad, seperti yang mereka lakukan selepas pembunuhan Jeneral Soleimani pada 2020,” kata Encik Einhorn.
“Tetapi kali ini, tekanan dalaman mungkin mendorong mereka ke arah strategi lebih keras.”
Serangan itu turut memberi kesan domino kepada negara lain.
Korea Utara sudah tentu tidak menyesal memiliki senjata nuklear, dan negara seperti Arab Saudi, Jepun, dan Korea Selatan kini mempersoalkan sama ada mereka harus bergantung sepenuhnya kepada jaminan keselamatan Amerika.
“Saya rasa kita tidak boleh terlalu yakin dengan ‘payung nuklear’ Amerika,” kata mantan Duta Amerika, Encik Christopher Hill.
Di Timur Tengah, Arab Saudi dikatakan bersedia mempercepat program nuklear sendiri jika Iran benar-benar mencapai tahap senjata.
Rundingan antara Amerika dengan Riyadh mengenai program nuklear awam kini tertangguh ekoran perang Israel-Hamas.
Namun, sejarah turut menunjukkan banyak negara yang cuba membina senjata nuklear akhirnya gagal – Iraq, Syria dan Libya adalah contoh jelas.
Libya, khususnya, menghentikan program senjatanya pada 2003, tetapi rejim Encik Muammar Gaddafi tumbang lapan tahun kemudian.
“Strategi Iran untuk tidak memiliki bom tetapi memperkayakan uranium tidak cukup untuk menghalang serangan,” kata Profesor Gary Samore, dari Universiti Brandeis,
Serangan, Operasi Midnight Hammer, memberi tamparan hebat kepada program nuklear Iran, tetapi bukan penamatnya.
Yang lebih penting ialah apakah yang berlaku selepas ini.
Adakah Iran akan membalas dengan kekerasan, atau duduk semeja untuk rundingan baharu?
Adakah dunia akan menyaksikan kelahiran kuasa nuklear baru, atau dapat mengelakkan krisis lebih dahsyat?
“Segalanya bergantung kepada tindak balas Iran.
“Jika mereka memilih rundingan, masih ada harapan. Jika tidak, kita mungkin berdepan gelombang baru ketidakstabilan di Asia Barat,” tegas Encik Einhorn. – Agensi berita.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg