BANGKOK: Thai Airways International membatalkan 37 lagi penerbangan domestik dan antarabangsa sehingga 1 Oktober ketika syarikat penerbangan itu berusaha menangani ribuan bagasi yang tertangguh di Lapangan Terbang Suvarnabhumi akibat banjir besar di Bangkok.

Pembatalan terbaru itu menjadikan keseluruhan 59 penerbangan Thai Airways dibatalkan sejak banjir melanda Bangkok dan kawasan sekitarnya mulai 26 September, manakala banyak penerbangan lain turut mengalami kelewatan.

Krisis itu tercetus selepas banjir menghalang ratusan kakitangan syarikat penerbangan dan lapangan terbang daripada hadir bekerja di Lapangan Terbang Suvarnabhumi dan Don Mueang.

Kekurangan tenaga kerja itu menjejaskan operasi darat, khususnya pengendalian bagasi, sehingga menyebabkan kira-kira 5,600 bagasi penumpang tertangguh.

Thai Airways mengumumkan pembatalan terbaru menerusi laman Facebook rasminya pada malam 29 September, beberapa jam selepas Ketua Pegawai Eksekutifnya, Encik Chai Eamsiri, memohon maaf kepada penumpang berhubung kelewatan bagasi yang berlarutan selama beberapa hari.

Aduan semakin meningkat daripada penumpang yang terpaksa menunggu lama untuk mendapatkan bagasi, malah ada yang dilaporkan terpisah daripada barangan mereka selama beberapa hari.

Sekumpulan penumpang Thailand yang tiba dari Chengdu, China, memberitahu Bangkok Post bahawa keadaan di kawasan tuntutan bagasi di Suvarnabhumi begitu meletihkan sehingga penumpang yang menunggu kelihatan “seperti zombi”.

Kumpulan itu bagaimanapun menerima bagasi mereka selepas menunggu sekitar 40 minit.

Pembatalan penerbangan membabitkan rangkaian luas Thai Airways, termasuk beberapa destinasi utama di Asia, Eropah dan Australia.

Pada 29 September, lima penerbangan antarabangsa dibatalkan, termasuk perkhidmatan ke Dhaka, Seoul, Bengaluru, Sapporo dan New Delhi.

Pada 30 September, tujuh penerbangan domestik ke Phuket, Chiang Mai, Khon Kaen, Ubon Ratchathani dan Udon Thani turut dibatalkan.

Gangguan lebih besar berlaku pada penerbangan antarabangsa, dengan 21 perkhidmatan dibatalkan pada hari sama.

Destinasi yang terjejas termasuk Munich, Brussels, Copenhagen, Zurich, Amsterdam, London, Hong Kong, Frankfurt, Taipei, Osaka, Seoul, Tokyo, Kuala Lumpur, Singapura, New Delhi, Mumbai, Sydney dan Manila.

Empat lagi perkhidmatan antarabangsa ke Paris, Brussels, Milan dan Stockholm dijadualkan dibatalkan pada 1 Oktober.

Pembatalan penerbangan itu dilakukan ketika Thai Airways cuba mengurangkan tekanan terhadap operasi darat dan memberi ruang kepada kakitangan untuk menyelesaikan tunggakan ribuan bagasi.

Encik Chai berkata syarikat penerbangan itu sudah menambah kakitangan bagi mempercepat proses mengendalikan bagasi yang tertangguh.

Namun, skala gangguan menyebabkan syarikat itu terpaksa mengurangkan jadual penerbangannya sementara operasi dipulihkan secara berperingkat.

Suvarnabhumi merupakan hab utama Thai Airways dan antara lapangan terbang antarabangsa paling sibuk di rantau ini, menyebabkan gangguan operasi di situ memberi kesan kepada penumpang yang melakukan perjalanan melalui Bangkok.

Masalah bagasi menjadi antara kesan paling ketara daripada banjir yang melanda ibu kota Thailand dan kawasan sekitarnya sejak hujung minggu lalu.

Selain menjejaskan perjalanan pekerja ke lapangan terbang, banjir turut memberi tekanan kepada operasi pengangkutan dan prasarana di beberapa bahagian Bangkok.

Thai Airways sudah menyediakan prosedur khusus bagi membantu penumpang yang terjejas, termasuk maklumat mengenai gangguan penerbangan, bayaran balik dan bantuan lain.

Namun, syarikat penerbangan itu belum menetapkan bila operasi dijangka kembali normal kerana proses menyelesaikan tunggakan bagasi masih diteruskan.

Penumpang yang dijadualkan melakukan perjalanan melalui Bangkok dinasihatkan supaya memeriksa status penerbangan masing-masing sebelum menuju ke lapangan terbang, terutama ketika pembatalan dan kelewatan masih berlaku. – Agensi berita.

Ikuti topik ini:
Log masuk untuk ikuti