BANGKOK: Thailand dijangka mengadakan pilihan raya umum pada 29 Mac 2026, menurut seorang pegawai kanan kerajaan pada 23 Oktober, selepas Perdana Menteri Anutin Charnvirakul membincangkan perkara itu dengan Suruhanjaya Pilihan Raya (EC) negara tersebut.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Encik Paradorn Prissananantakul, berkata tarikh itu kini menjadi pilihan utama kerajaan selepas rundingan rasmi diadakan antara pihak pentadbiran dan EC.
“Kerajaan dan Suruhanjaya Pilihan Raya telah membincangkan tempoh masa untuk mengadakan pilihan raya. Tarikh yang paling berkemungkinan ialah 29 Mac,” kata Encik Paradorn kepada Reuters.
Beliau turut mendedahkan bahawa kerajaan merancang untuk mengadakan dua referendum serentak dengan pilihan raya – satu mengenai perlembagaan baharu, dan satu lagi untuk memutuskan sama ada Thailand perlu membatalkan dua perjanjian lama berkaitan penetapan sempadan dengan Kemboja.
“Rakyat akan diberikan peluang untuk menyuarakan pandangan mereka tentang masa depan politik dan hubungan sempadan negara,” jelasnya.
Walaupun Suruhanjaya Pilihan Raya belum mengesahkan tarikh rasmi, pengerusinya Encik Ittiporn Boonpracong berkata, butiran lanjut mengenai kedua-dua referendum dan proses pengundian akan diumumkan tidak lama lagi.
Encik Ittiporn turut menjelaskan bahawa anggaran bajet pilihan raya dan referendum itu berjumlah 9 bilion baht (S$356.8 juta), dengan kira-kira 53 juta rakyat Thailand layak mengundi.
Encik Anutin, yang memenangi undian Parlimen pada September lalu untuk menjadi Perdana Menteri ketiga Thailand sejak Ogos 2023, dilantik selepas partinya Bhumjaithai menarik diri daripada gabungan pemerintah pimpinan Parti Pheu Thai.
Untuk membentuk kerajaan baharu, Anutin memperoleh sokongan daripada Parti Rakyat, kumpulan pembangkang terbesar di Parlimen ketika itu. Namun, antara syarat utama sokongan tersebut ialah beliau perlu mengadakan pilihan raya dalam tempoh empat bulan selepas mengambil alih jawatan, serta mengadakan referendum terhadap draf perlembagaan baharu.
“Langkah ini menunjukkan Anutin mahu memberi mandat semula kepada rakyat dan membuka ruang pembaharuan politik secara demokratik,” ujar seorang penganalisis politik dari Chulalongkorn University yang enggan dinamakan.
Dalam perkembangan berasingan, bekas Perdana Menteri Thailand, Cik Paetongtarn Shinawatra, mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Ketua Parti Pheu Thai pada 22 Oktober bagi memberi laluan kepada reformasi menyeluruh parti menjelang pilihan raya tahun depan.
Cik Paetongtarn, 39, berkata langkah itu adalah sebahagian daripada visinya untuk memperbaharui parti dan mendekatkan semula Pheu Thai dengan aspirasi rakyat.
“Hari ini, saya memutuskan untuk meletak jawatan sebagai ketua Parti Pheu Thai dengan niat memulakan pembaharuan parti secara menyeluruh,” katanya dalam satu mesyuarat khas di ibu pejabat parti di Bangkok.
Beliau menekankan bahawa Thailand kini sedang melalui fasa peralihan kritikal, di mana politik lama tidak lagi dapat menampung realiti sosial dan ekonomi baharu negara. “Kita hidup dalam era yang kompleks dan sukar dijangka. Oleh itu, pembaharuan Parti Pheu Thai mesti dimulakan tanpa berlengah,” ujarnya.
Cik Paetongtarn turut menegaskan bahawa beliau akan kekal sebagai ahli parti dan terus berkhidmat kepada rakyat. Setakat ini, parti itu belum mengumumkan pengganti rasmi bagi jawatan ketua.
Anak bongsu kepada bekas Perdana Menteri Encik Thaksin Shinawatra dan anak saudara kepada Cik Yingluck Shinawatra itu dilantik mengetuai Pheu Thai pada 2023. Beliau kemudian dipilih sebagai Perdana Menteri ke-31 Thailand pada Ogos 2024, menjadikannya pemimpin termuda dalam sejarah negara.
Namun, karier politiknya tergugat selepas Mahkamah Perlembagaan melucutkan jawatannya pada Ogos 2025 kerana melanggar etika berikutan kebocoran perbualan telefon dengan pemimpin Kemboja, Hun Sen.
Peletakan jawatan Cik Paetongtarn kini dilihat sebagai langkah strategik untuk memulihkan imej Pheu Thai selepas siri kemelut politik dan undang-undang yang menggugat reputasi parti itu.
“Saya percaya masa depan Thailand bergantung pada kemampuan parti politik untuk berubah, mendengar suara rakyat, dan bergerak ke hadapan bersama-sama,” katanya. - Agensi berita


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg